Thursday, November 1, 2007

IMPIAN TERINDAH DAN ANGKASAWAN



Oleh Ku Fatimah Ku Jusoh (pengulas novel)

Sejak kemunculan novel pertama pada 1994, Norzailina Nordin telah mengketengahkan pelbagai jenis isu di dalam novelnya. Antaranya kisah benar, novel remaja (13-17 tahun) dan novel berunsur cinta. Di dalam setiap novelnya, dia memastikan ada mesej segar dan ilmu bermanfaat untuk pembaca.

Novel ke-23 ini membawa mesej yang berbeza. Norzailina mengangkat sebuah kisah zaman akan datang atau futuristik. Menurutnya, sepanjang menghasilkan novel, dia cuba mencari kelainan. “Saya suka sesuatu yang mencabar minda. Menulis Impian Terindah (IT) adalah dugaan yang besar tetapi berkat dorongan keluarga, teman-teman dan komitmen pihak penerbit, akhirnya novel ini terbit.”

Apabila memperkatakan tentang futuristik, kita tidak akan dapat lari daripada istilah ‘sains fiksyen’. Namun begitu, fiksyen bukan sekadar memetik ilham di awang-awangan. Bagi novelis ini, melakukan kajian adalah agenda penting setiap kali sebelum mula berkarya. “Untuk IT, saya buat research selama lima bulan. Oleh kerana cerita ini ada kaitan dengan angkasa lepas, saya berlanggan www.nasa.com dan www.angkasa.gov.my serta melayari banyak laman web berkaitan angkasa lepas bagi mendapatkan berita semasa tentang apa yang telah, sedang dan akan berlaku di cakerawala.”

Selain itu, dia juga mempersiapkan minda untuk menulis dengan membaca novel-novel Bahasa Inggeris yang memperkatakan tentang angkasa lepas dan dunia futuristik. Katanya lagi, “Inilah pertama kali saya mengumpulkan bahan sebelum merangka plot. Mula-mula saya hanya ada idea. Saya belum tahu bagaimana saya perlu menulisnya. Jadi, selepas cukup bahan, barulah saya dapat gambaran sebenar. Dari situ, saya mula membuat plot.”

Ia berbeza dengan novel-novel lain yang mana plot atau jalan cerita daripada bab 1 sehingga akhir ditulis terlebih dulu. Norzailina mengakui, dia tidak tahu banyak perkara tentang angkasa lepas sebelum mula melakukan kajian. Pada pendapatnya, novel sedemikian amat bertepatan dengan pemergian anak Malaysia yang pertama, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke International Space Station.

Inilah waktunya rakyat Malaysia mulai terdedah pada isu berkaitan angkasa lepas. Jadi, dia berharap novel ini akan dapat menjadi bahan bacaan tambahan terutama kepada mereka yang masih menganggap angkasa lepas sesuatu yang penuh misteri dan asing. Semenjak berada di pasaran pada Mac 2007 yang lalu, banyak respons positif yang telah diterimanya.

Golongan pembaca yang paling muda adalah di kalangan remaja 14 tahun. Malah ada yang mengatakan, selama ini mereka hanya membaca novel sedemikian dalam bahasa Inggeris. Mereka tidak sangka penulis Melayu juga boleh menghasilkan novel futuristik-sains fiksyen. Ini juga merupakan sebuah nukilan yang dapat dinikmati oleh mereka yang kurang mahir berbahasa Inggeris.

Meskipun novel IT berlatar belakangkan kejadian pada 2124, ia berdasarkan penemuan saintis pada masakini. Norzailina ‘melihat ke dunia hadapan’ dengan teknologi yang sedang diterokai pada abad ini. Jadi, ia bukanlah imaginasi novelis semata-mata. Dia membayangkan, pada waktu itu, manusia sudah membina penempatan di atas bulan. Keadaan ekologi bumi juga amat berbeza. Berpandukan isu ‘global warming’ yang sedang hangat diperkatakan sekarang, kira-kira 120 tahun lagi, beberapa kotaraya telah tenggelam.

Watak utamanya, Sheikh Qirdan seorang jurutera aeroangkasa ditugaskan membina pelantar untuk pelepasan roket ke planet Marikh. Di sinilah timbul konflik di antaranya dengan Yuhanez, saintis genetik agrikultur dengan Dario, anak Ketua Kaunselor di penempatan angkasa lepas itu. Di tengah-tengah kemelut perebutan kasih, mereka terpaksa berhadapan dengan situasi runcing. Sebuah asteroid dijangka melanda bulan dan memusnahkan mereka.

Pelukisan kehidupan di bulan begitu terperinci, menampakkan kesungguhan Norzailina menangani kisah futuristik ini. Tentang bagaimana bumi dilihat dari bulan pada waktu matahari terbit dan matahari terbenam. Juga tentang ekologi di dalam penempatan itu sendiri, bagaimana bahan buangan dikitarsemula di sebuah kolam buatan manusia yang dapat menampung tumbuh-tumbuhan hidroponik.

Atas saranan editor penerbit, Norzailina mengaitkan watak utamanya, Sheikh Qirdan dengan Angkasawan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Di dalam IT, Sheikh Qirdan merupakan generasi ke-4 angkasawan tersebut. “Dr. Sheikh Muszaphar rasa terharu kerana diberi penghormatan di dalam novel ini,” kata Norzailina. “Saya menghantarkan emel menceritakan hasrat saya, dan dia bersetuju. Malah, kata-kata perangsangnya ada dalam novel ini juga.”

Membaca IT umpama sebuah perjalanan yang penuh dengan ketakjuban dan kegementaran. Ada suspens, misteri dan mistik yang diadun dengan sebegitu rupa. Ada keindahan panorama di bulan dan lukisan gambaran gerhana dilihat dari bulan, tidak dari bumi. Ia adalah buah tangan yang tidak ternilai harganya. Sebuah pengalaman yang hanya boleh dikutip daripada sebuah novel.

No comments: