Saturday, November 17, 2007

JANGAN KEDEKUT, SELALULAH BERSEDEKAH

Ingatan dan pesanan ini dipetik daripada blog - DALILAH TAMRIN @ RADEN GALOH

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera....
Saya dapat pesanan ini dari kawan kepada kawan kepada kawan kepada kawan. Kali ini saya ingin berkongsi pesanan dan ingatan ini kepada semua yang mengunjungi blog ini. Semoga
kita dapat manfaat bersama.

Saya teringat pesan rakan saya seorang yang berjaya. Katanya: "Kalau kau rasa kau kesempitan rezeki, duit tak cukup, harta rasa tak banyak, masa itulah masa paling sesuai untuk bersedekah." Dia menyambung "Kalau kau sudah senang setelah sempit, banyakkan lagi sedekah kau itu pada masa tersebut. Nescaya Allah akan meluaskan pintu rezeki".

Saya cuba berpegang pada pesanan ini. Setiap kali saya sempit, bila buka wallet
ada RM2 saya sedekahkan RM1. Kalau ada RM40 saya sedekahkan RM10. Kalau ada
lebihan saya sedekahkan sedikit. Kalau ada rakan susah nak pinjam duit, saya
pinjamkan dengan niat kalau dia bayar, Alhamdullilah... Kalau tak saya anggap
saya sedekah. Alhamdullilah, rezeki Allah permudahkan setakat ini dan
harapnya pada masa akan datang. Itu juga amalan kawan saya.

Pernah suatu hari kawan kepada kawan saya, yang kehidupannya mewah mendapat kemalangan kereta. Dalam masa yang sama kena saman polis. Lepas tu duit dia hilang. Kena pulak sakit pergi hospital dan keluar beberapa ribu. Pendekata lepas satu, satu ujian ditimpakan ke atasnya. Seorang sahabat berpesan kepadanya, mungkin Allah nak pesan agar dia memberi sedikit harta yang Allah berikan kat dia. Alhamdullilah lepas dia bersedekah, saya nampak kehidupan dia nampak mudah dan rezeki dia nampak luas. Alhamdulillah juga, dia ni seorang yang terbuka. Rata-rata, orang kita bila ditegur begini 'melatah' cepat sekali.

Tapi kita kena ingat. Rezeki luas tak bermakna akan jadi kaya raya terus. Kadang-kadang, bak kata mak saya, rezeki luas nie\ macam makan seperti biasa, tapi rasa lebih kenyang dan puas. Gaji seperti biasa, tapi seolah-olah cukup. Kita kena sentisa bersyukur dengan nikmat yang ada. Jangan sampai serakah dalam mencari rezeki sampai kita jadi kufur nikmat. Na'uzubillah.

Betapa Allah itu Maha Penyayang dan Maha Lembut. Di dalam kesukaran kita acapkali Dia turunkan bantuan dari sumber yang kita sendiri tak sangka. Sekali lagi kita kena sentisa mensyukuri pemberian Allah kepada kita yang datang dalam berbagai-bagai bentuk. Ucapan 'Thank You Allah' atau 'Alhamdulillah' biarlah datangnya dari hati dan kita menghayati maksudnya bukan hanya lontaran perkataan dari mulut kita.

"Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah (ikhlas). Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup, sedangkan kamu sedikit pun tidak akan dianiaya."
(Surah al-Baqarah, ayat 272).

Hadis dari Abu Hurairah yang diriwayatkan Al-Bukhari bahwa seseorang berkata kepada Nabi saw., "Sedekah yang mana yang lebih utama itu?" Nabi bersabda, "Engkau bersedekah dalam keadaan senang (shahih) dan berkeinginan (harish)."


Dalam riwayat Ibnu Hibban dan Hakim dari 'Uqbah ia mendengar Rasulullah bersabda, "Setiap orang bernaung di bawah perlindungan sedekahnya hingga ditetapkan hisab (perhitungan) di antara manusia di Yaumil Akhirat."


Saya bukan yangg terbaik untuk memberikan nasihat hanyalah sekadar memperingatkan sesama insan betapa Maha Pengasihnya Allah kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa..........

Sekadar untuk berpesan. Semoga ada manfaat.


(Renungan Rimau : Saya amat bersetuju dengan Dalilah mengenai sifat-sifat pemurah ini. Cubalah formula ini untuk menceriakan hidup kita. Rezeki ini ibarat satu peti besi yang memerlukan kunci untuk membukanya. Memberi sedekah terutama kepada anak yatim akan memudahkan kita mendapat kunci kepada rezeki kita yang memang tersedia. Ia mungkin tersorok di dalam hutan, di sebalik bukit, di dalam tanah atau di dalam telaga. Mulakan pencarian.)

No comments: