Monday, November 19, 2007

PEMBANGKANG BOIKOT MEDIA PERDANA?

Ini berita yang dilaporkan oleh news portal KLPOS yang diterajui oleh Saudara Helmi mengenai tindakan pembangkang untuk memulaukan media "pro-Barisan Nasional". Pro-barisan? Apa maksud ni? Media perdana kini diterbitkan oleh NSTP, Kumpulan Utusan dan Star Publications. Menurut berita KLPOS, gabungan NGO dan parti-parti pembangkang akan mengadakan satu kempen besar-besaran memboikot media akan dilancarkan tidak lama lagi.

KLPOS memetik sumber yang memberitahu kempen itu -seperti perhimpunan BERSIH, akan diketuai oleh PAS dengan sokongan NGO dan parti-parti pembangkang lain. Matlamat utama boikot itu adalah supaya media memainkan peranannya secara adil.

Sumber itu menerangkan media adalah salah satu institusi sosial yang penting dalam sistem pemerintahan demokrasi, bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan sepenuhnya untuk mereka dapat membuat pilihan yang saksama antara pelbagai pihak yang menawarkan pelbagai dasar dan pendekatan.

"Kempen boikot media pro Barisan Nasional ini amat penting terutamanya menjelang pilihanraya umum akan datang," kata sumber itu. Jelasnya, kebanyakkan media arus perdana dipunyai secara langsung oleh parti-parti dalam BN.

"Dari pengalaman kita setiap kali menjelang pilihanraya umum, media yang dikuasai kerajaan dan dimiliki oleh syarikat-syarikat yang rapat hubungannya dengan BN akan melakukan apa saja bagi memastikan 'tuan-tuan mereka' menang," dakwa sumber berkenaan.

KLPOS melaporkan sumber itu mendakwa, "Media yang dikuasai kerajaan ini tidak lagi menjadi sumber maklumat yang bertanggungjawab dan berwibawa, jadi pilihan terbaik adalah kita seru orang ramai boikot saja media-media yang memihak ini dari sekarang,"kata sumber tersebut.

Ketika ditanya oleh KLpos.com apakah tujuan sebenar kempen boikot tersebut, apakah parti-parti pembangkang cuba membangkitkan rasa tidak percaya rakyat kepada media arus perdana, kata sumber tersebut, matlamat utama boikot itu adalah supaya media memainkan peranannya secara adil.

"Kita mungkin akan keluarkan satu senarai media yang perlu diboikot, kemudian jika kita dapati laporannya adil dan tidak berat sebelah, kita akan keluarkan media itu dari senarai tersebut, bagitulah sebaliknya." Pembangkang pernah mengadakan kempen boikot media pada tahun 1999 dengan diketuai oleh ahli akademik, kolumnis dan intelektual terkenal Rustam A Sani.

Ditanya siapakah yang akan mengetuai kempen boikot media kali ini, kata sumber terbabit, "Kami mempertimbangkan beberapa nama, saya tidak boleh mendedahkan butirannya secara terperinci lagi sehingga pengumuman mengenainya dibuat tidak lama lagi," katanya.

(Renungan Rimau : Jika pemulauan itu benar-benar berlaku, sudah pasti ia memberi kesan kepada penjualan akhbar yang akan membawa pengurangan keuntungan. Ini akan menjejaskan pendapatan syarikat media terutama akhbar Melayu dan pasti "membingungkan" pengurusannya untuk membayar gaji pengarang dan wartawan yang kebanyakannya bangsa Melayu. Akhbar Melayu kini menghadapi masalah untuk mendapatkan iklan kerana pengiklanan dikuasai oleh kaum lain. Maka semakin parahlah syarikat akhbar Melayu nanti. Peribahasa Melayu ada menyebut, BIAR MERANGKAK, JANGAN MENJALAR yang membawa maksud lebih baik rosak sedikit asal jangan rosak semuanya. Fikir-fikirkanlah. Politik-politik juga, rezeki bangsa Melayu jangan dilupakan).

1 comment:

Anonymous said...

Saya rasa hairan juga kalau orang veteran macam Saudara Tiger ni pun boleh percaya berita-berita macam ni.

;-)