Petang ini, saya ingin bercakap mengenai perkahwinan. Bukan saya, tetapi anak murid ketika mengajar di MIIM dulu. Su akan berkahwin dengan lelaki Melayu pilihannya pada akhir bulan ini. Ibu bapa, adik beradik dan saudara mara tidak menentang malah memahami hasratnya itu. Su masih tinggal bersama ibu bapa di Melaka dan mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam.
"Doa saya dimakbulkan Allah SWT" katanya ketika bercerita mengenai penerimaan keluarganya apabila beliau menyatakan hasrat memeluk Islam. Tiada masalah besar yang dilalui Su berbanding apa yang dihadapi oleh rakan saya, Dan yang masih dianggap "musuh" oleh ibunya setiap kali beliau bertandang ke rumah ibu bapanya.
Setiap kali Dan menjejaki ke rumah mereka, ibunya sering berkata, "Datang hendak menggalakkan orang sini masuk Islam ke?" Hati Dan pedih tetapi beliau sabar dan tabah. Orang lain mungkin tidak datang menjengok ibu bapa mereka, jika sentiasa dihamburkan dengan perkataan itu. Tidak bagi Dan. Beliau faham dengan ajaran agama. Dalam Islam, ibu tetap ibu walaupun berlainan agama. Perlu menghormati mereka sepanjang masa. Saya mungkin akan bercerita panjang lagi mengenai Su dan Dan pada masa akan datang.
Khutbah Jumaat hari ini juga memperkatakan mengenai perkahwinan. Majlis perkahwinan diadakan untuk memberitahu mengenai pernikahan antara lelaki dan perempuan selain menggelakkan fitnah. Namun, perkahwinan yang diadakan perlu dibuat dengan kemampuan kita. Dalam ertikata lain jangan berbelanja besar dan berhutang. Perkahwinan juga diadakan dengan niat yang baik tanpa membuat sesuatu perkara seperti hanya menjemput golongan kaya saja. Tindakan itu tidak betul dan akan dilaknati Allah SWT. Jemput saudara mara dan jiran tetangga tanpa mengira miskin atau kaya.
(Renungan Rimau : Selamat Pengantin Baru Su. Semoga kekal sehingga ke anak cucu. Bakal suami Su pula harus memahami bahawa isteri itu adalah anugerah Allah SWT. Jangan mempersia-siakan hidup mereka. Jangan cepat merasa jemu kerana kasih sayang dan saling memahami akan memanjangkan jodoh. Selesaikan masalah jika ada perselisihan ibarat KALAU DIGALI TANAH BERBINGKAH, TANAH BERDERAI YANG AKAN BERTEMU. Bagi Dan, sentiasa bersabar menghadapi dugaan kerana Allah SWT menyayangi hambanya yang sabar dan tabah. Sabar itu separuh daripada iman).
Friday, November 2, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment