Saturday, November 10, 2007

MENGHARIMAUKAN LEMBU


Ini patung lembu yang diwarnakan dengan belang harimau. Dalam ertikata lain, lembu itu ingin dipaparkan sebagai harimau. Tetapi sudah tentu anda tidak akan terkeliru kerana lembu tetap lembu. Lembu tidak boleh jadi harimau walaupun dicat dengan belang harimau. Jika kita lembik jangan fikir kita kuat atau garang.

Menonton saluran Animal Planet, kita akan dipaparkan dengan kisah di India, di mana ada golongan yang minum kencing lembu kerana menganggap perbuatan itu suci. Itu keyakinan mereka dan tidak siapa perlu pertikaikan. Biarlah dia minum, mungkin untuk kesihatan dan kesegaran minda. Walaupun ada sesetengah pihak yang menganggap lembu itu suci tetapi bagi bangsa Melayu, lembu selalu dikaitkan dengan kebodohan. Ungkapan bodoh macam lembu sering diutarakan untuk memaparkan seseorang yang bodoh atau lembab.

Lembu sejak dulu digunakan untuk menarik kereta beroda yang dinamakan kereta lembu. Kereta lembu masih ada di Melaka Bandaraya Bersejarah untuk membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Bandar Hilir, Melaka. Manusia menggunakan lembu untuk menarik kereta lembu yang memberi pendapatan kepada mereka.

Dalam zaman moden ini, kita jangan jadi lembu di mana orang memperalatkan kita untuk membuat sesuatu demi kepentingan mereka. Jika dia suruh kita terjun gaung, kita pun terjun gaung dan bersepailah kepala kita apabila terkena batu di bawahnya. Orang yang menyuruh kita terjun itu tidak mati tetapi orang yang bodoh macam lembu terjun ke gaung kerana mengikut arahan seseorang itu akan menjadi mangsanya. Oleh itu, jangan jadi bodoh macam lembu. Fikir-fikirkanlah.

No comments: