Wednesday, November 21, 2007

PAKU SEBATANG, KUAT BUNYI TUKULNYA

Ramai pihak mungkin mempersoalkan mengapa Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dibayar gaji tinggi. Malah lebih tinggi daripada CEO di GLC lain. Jawapannya ialah CEO TNB akan menjadi tempat semua peringkat "melepaskan geram" dan "menghamburkan sumpah seranah" jika bekalan elektrik terputus di mana saja di negara ini. CEO TNB akan dimaki walaupun kejadian itu berpunca daripada kecuaian atau kelemahan kakitangan bawahan. Pengurus tidur, pekerja bawahan pasti dilamun mimpi. Pengurus segar, pekerja bawahan pasti bekerja baik.

Ketika mengambil pingat Datuk Seri yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Melaka tahun lalu, CEO TNB juga menghadapi "kepanasan" kerana kebetulan ketika itu bekalan elektrik terputus di dewan penganugerahan pingat. Itulah nasib CEO TNB dan mungkin ramai yang akan menolak pemberian jawatan itu jika bekalan elektrik sering terputus. Bayangkan jika gaji CEO TNB rendah dan bekalan elektrik sering terputus. Sudah tentu tidak berbaloi menjadi "punching bag".


Malaysiakini melaporkan hampir separuh bahagian Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan elektrik selama lebih sejam mulai jam 3.20 petang semalam dipercayai berpunca daripada saluran utama pembekalan elektrik ke bahagian pulau di Juru terpelantik.

Antara kawasan yang terlibat ialah sekitar Jalan Datuk Keramat, Komtar, Jalan Sultan Ahmad Shah, Lebuh Light, Lebuh Pantai, Lebuh Chulia dan beberapa kawasan sekitarnya.

Kebanyakan peniaga di beberapa pusat beli-belah di Georgetown terpaksa menggunakan lilin untuk meneruskan operasi mereka manakala sebahagiannya menutup kedai bagi memastikan keselamatan harta benda semasa ketiadaan bekalan elektrik.

Sebahagian besar kakitangan awam yang bertugas di bangunan Komtar berhimpun di perkarangan bangunan dan pasukan Bomba dan Penyelamat bergegas ke Menara Komtar bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di dalam lif di situ.

(Renungan Rimau : Kakitangan TNB perlu memberikan perkhidmatan terbaik untuk memastikan CEO dan pengurusan tertingginya tidak dijadikan "punching bag" jika berlaku bekalan elektrik terputus. Menteri juga akan memarahi mereka jika berlaku insiden berkenaan. Kecuaian kakitangan TNB juga boleh menyebabkan kerugian dalam bidang ekonomi di samping memberikan imej buruk kepada negara. Pelabur asing akan berfikir dua kali untuk datang ke sini jika bekalan elektrik sering terputus. Dalam pada itu, jika menjadi CEO GLC kita jangan meninggi diri dan cakap banyak kerana peribahasa Melayu ada menyebut, PAKU SEBATANG, KUAT BUNYI TUKULNYA BERTALU-TALU, yang membawa maksud bercakap besar tetapi bukti kerja tidak ada.)

No comments: