Monday, November 19, 2007

SEGALA YANG BERLAKU ADA HIKMAHNYA.

Tengahari ini saya makan dengan dua orang kawan di Lucky Garden, Bangsar. Dua cerita menarik yang boleh dikongsikan bersama. Kehidupan di Kuala Lumpur, kehidupan di bandar besar.

Seorang yang bekerja sendiri dan seorang lagi yang bekerja dengan swasta. Kehidupan A yang bekerja sendiri itu sudah tentu ada "turun naik"nya apatah lagi menjalankan perniagaan yang banyak persaingan. Kehidupan B pula yang berpengalaman luas terpaksa melalui "tekanan" kerana kurang diberikan perhatian oleh orang atas. Yang menariknya "orang atas" itu adalah kawan-kawannya dahulu tetapi berada di atas kerana nasib dan rezeki mereka. B merasakan dirinya terhina dan dipermain-mainkan.

Hendak dijadikan cerita, dalam perbualan kami itu, A menceritakan bagaimana mulianya kawannya yang sanggup membantu beliau yang dalam kesusahan. Kawan yang sanggup membantu itu adalah rakan sekolej dulu yang saling "memberi dan meminta" ketika menghadapi masalah kewangan. "Adakalanya saya meminjamkannya sepuluh ringgit dan begitulah sebaliknya." Yang membuat beliau terharu ialah kawannya itu walaupun bergelar jutawan tidak pernah sombong dan selalu menelefonnya. A tidak pernah meminjam wang daripada rakannya itu sejak keluar daripada kolej.

Hari ini membuktikan segala-galanya. Beliau menemui rakannya untuk meminjam "sedikit wang" kerana cek bayaran perkhidmatannya masih belum ditunaikan. Memang beliau "tersangkut" hari ini dan A hanya mahu sedikit wang. Beliau tidak menceritakan bahawa beliau sebenarnya mempunyai wang yang belum boleh ditunaikan. Yang membuat A terharu ialah kawannya itu sanggup memberi jumlah yang lebih tinggi daripada apa yang diinginkan oleh beliau. A tetap menolak kerana beliau meminjam bukan kerana tiada duit tetapi untuk sementara waktu sebelum wangnya boleh dikeluarkan dua hari lagi. Itulah keistimewaan kawan A, tidak sombong dan baik hati.

B pula merungut kerana kawan-kawan tidak membantunya sehinggakan beliau berfikir untuk meletakkan jawatan. "Pengalaman saya tidak dipedulikan dan diberikan kerja yang tidak setimpal dengan pengalaman. Mereka tidak mengendahkan permintaan saya untuk diberikan jawatan yang lebih baik dan setimpal. Mereka ini kawan-kawan dulu. Tidakkah mereka mempunyai sifat kawan tolong kawan?" Saya menasihatkan beliau bersabar kerana apa yang berlaku ada hikmahnya.

B kecewa dengan sikap kawan-kawannya itu. B hairan mengapa kawan-kawannya berubah sikap. "Mereka lupa, ada turun naiknya dalam kehidupan. Banyak contoh yang menunjukkan orang yang di atas satu ketika, kini berada di bawah. Ketika mereka di atas dulu tidak membantu orang, lihatlah bagaimana keadaan mereka sekarang. Mereka ini tidak dipedulikan orang juga. Tunggulah masa dan ketikanya." Saya menasihatkannya agar bertenang dan bersabar. Bagi saya, itulah lumrah kehidupan sekarang. Mungkin ada sebab kawannya tidak boleh membantu beliau. Hanya kawannya saja yang boleh menjawab. Bagi saya, kita tidak perlu meminta-minta dan perlu memberikan yang terbaik di mana kita berada atau ditempatkan. Mudah-mudahan Allah SWT akan membuka pintu rezeki di tempat lain jika kita berusaha bersungguh-sungguh.

2 comments:

Anonymous said...

Datuk,

Saya tertarik dengan cerita Datuk tentang kawan. Saya hampir setahun mengambil 'optional retirement' untuk berniaga kecil-kecilan. Tapi setahun ini banyak mengajar saya siapa kawan dan siapa sahabat. Yang si A miliki dalam cerita Datuk itu bagi saya ialah sahabat tetapi yang dimiliki si B pula ialah kawan. Kawan datang dan pergi tetapi sahabat akan tunggu untuk ketawa dan menangis bersama. Di akhir zaman ini susah hendak cari sahabat. Melalui pengalaman sendiri apabila kita tidak mempunyai jawatan dan kedudukan, kawan-kawan takut mendekati kita. Yang masih menelefon dan datang ajak kita minum teh tarik di Lucky Garden hanya beberapa orang sahabat saja. Itupun boleh dikira sebelah tangan. Saya sendiri sedang melaluinya walaupun ia perit untuk dikenang. Kawan-kawan yang pernah saya tolong dulu tidak lagi menelefon, malah panggilan telefon dan sms tidak lagi berjawab. Datuk tentu pernah melaluinya dulu,kan? Apapun yang kita miliki bagi saya yang penting diri kita sendiri. Kita hendaklah menjadi diri kita sendiri walaupun kedudukan kita tinggi tauapun rendah. Biarlah kedudukan rendah dipandangan kawan-kawan tetapi tinggi di pandangan ALLAH....

PUTRAGABAN said...

Macam nasib aku. Ada banyak kawan tapi tak boleh menolong, kecuali datuk t. Dah tak heran dah.