Monday, November 12, 2007

BONGKOK DIRI SENDIRI TINGGAL KEKAL

Pagi ini, saya ditanya oleh beberapa rakan mengenai perhimpunan haram, Sabtu lalu. Haram kerana tiada permit daripada polis. Haram kerana orang ramai tetap berkumpul dan berarak walaupun pihak polis menyatakan tidak boleh berhimpun. Jawapan saya kepada mereka ialah rakyat negara ini harus bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku sama ada kepada kumpulan yang berkumpul dan juga pihak berkuasa keselamatan. Seribu kali syukur.

Pandangan ini mungkin berbeza daripada orang lain tetapi sebagai rakyat, inilah pandangan saya. Fikirlah dengan bijak dan jangan diperalatkan oleh orang lain terutama yang memerlukan sokongan. Maki dan kritiklah jika tidak bersetuju dengan pandangan ini. Yang jelas ada juga pihak yang tidak bersetuju atau mengutuk perhimpunan haram yang menimbulkan kesusahan kepada rakyat lain.

Bayangkanlah apa akan terjadi kepada negara ini jika berlaku pertumpahan darah. Mungkin pendemonstrasi tiada niat berbuat demikian tetapi apa akan jadi jika peluang itu disambar oleh anasir luar. Ia mungkin bermula dengan seketul batu. Orang lain akan merayakan "kejadian" itu dan mula memaparkan di dada akhbar dan televisyen mereka. Malah itupun sudah berlaku apabila Al-Jazeera melaporkan kejadian itu dan seluruh dunia boleh menonton perhimpunan dan pancutan air polis. Ada juga blog persendirian dan news portal seperti Malaysiakini menyiarkan berita dan gambar-gambar perhimpunan berkenaan.

Rakan terus bertanya, "Siapakah yang mendapat mileage daripada perhimpunan ini?". Jawapan saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Hadi Awang dan Lim Kit Siang. Kejayaan perhimpunan ini selari dengan hasrat mereka untuk mendapatkan semula sokongan rakyat kepada mereka. Malah inilah kelebihan DSAI untuk menganjurkan demonstrasi sejak dari dulu lagi. Saya mengikuti ucapannya sebelum masuk UMNO dan setelah keluar UMNO. Di Universiti Malaya dan Masjid Negara. Resipi tarikan untuk orang berhimpun ialah berucap berapi-api mengkritik dan membelasah kerajaan.

Apapun, sekali lagi kita harus bersyukur kepada Allah SWT kerana tiada kejadian buruk berlaku. Jika ia berlaku, tidak sukar untuk menuding jari kepada ketiga-tiga pemimpin itu. Mereka sepatutnya lebih matang untuk menyedari risiko yang mungkin berlaku. Tidak perlu berarak dan berhimpun jika sekadar hendak menghantar memorandum. Mungkin bagi mereka ini satu perlambangan bantahan atau rasa tidak puas hati. Apa erti perlambangan jika negara menjadi huru-hara?

Bacalah memorandum di bawah ini dan fikir-fikirkanlah jika berlaku pertumpahan darah akibat perhimpunan haram sekadar menunjukkan kekuatan dan menghantar memorandum. Saya mungkin bodoh dalam bidang politik tetapi saya mengutamakan keamanan negara melebihi segala-galanya. Negara ini perlu aman dan sentosa. Kita tidak perlu pengacau atau pengkhianat bangsa. Hidup Malaysia. Anda bagaimana?


Memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung

Daripada:

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH)

Tarikh:

10 November 2007


1. BERSIH adalah sebuah jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil di Malaysia.

2. Hanya menerusi pilihanraya yang bebas dan adil sahajalah, rakyat Malaysia mampu untuk menentukan nasib mereka sendiri Malaysia dan mengharapkan mereka yang menjawat jawatan-jawatan awam untuk bertindak dengan pertanggungjawaban dan berkesan. Selagimana, rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir golongan jahat dalam pemerintahan negara, maka selagi itulah harapan untuk mendaulatkan undang-undang, melindungi hak asasi manusia, mengadakan urus-tadbir kerajaan yang baik dan menggalakkan pembangunan rakyat yang berterusan/lestari akan terus tertakluk kepada budibicara ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Matlamat utama untuk menukar kerajaan hari ini adalah merupakan kunci ‘semak dan imbang’ dalam menentang penyalahgunaan kuasa pemerintah.

3. Adalah amat malang bagi Malaysia kerana walaupun sudah 50 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih gagal untuk mengendalikan proses pilihanraya yang bebas dan adil. Kesimpulan ini bukan sahaja dipersetujui oleh masyarakat sivil, parti-parti politik dan pemerhati antarabangsa, malah ia juga diakui sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya. Selepas pilihanraya umum pada bulan Mac 2004 yang dihantui oleh pelbagai penyelewengan dan kontroversi yang jauh lebih serius daripada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya, maka, beliau merasakan perlu dan setuju dengan tuntutan awam untuk menjalankan penyiasatan bebas. Namun, amat mengecewakan penyiasatan bebas tersebut akhirnya tidak dijalankan.

4. Proses pengendalian pilihanraya yang tidak telus ini menimbulkan pelbagai persoalan khususnya persoalan terhadap kuasa mutlak badan pemerintah negara ini. Keadaan sebegini jika dibiarkan berterusan akan membawa petanda yang buruk untuk masa depan masyarakat dan boleh memusnahkan keutuhan sistem politik negara kita. Ini dapat dilihat pada negara-negara yang telah mengalaminya iaitu Thailand, Filipina dan Taiwan. Oleh yang demikian, BERSIH merasakan adalah perlu bagi semua rakyat Malaysia berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk membawa perubahan yang menyeluruh dalam proses pilihanraya yang mendatang. Justeru, kami mencadangkan agenda perubahan jangka-panjang dan tiga sasaran kerja dengan segera.

5. Dalam masa jangka-panjang yang akan membatasi batas pilihanraya akan datang, BERSIH yakin dan percaya bahawa kelapan-lapan aspek ini perlu dikaji dan diperbaharui secara keseluruhannya:

a. Sistem pilihanraya:

i. Adalah perlu untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang tinggi antara undian rakyat dan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya, dimana undi sebanyak 64% boleh diterjemahlkan kepada 91% kerusi bagi parti pemerintah. Ini adalah kerana berteraskan kepada prinsip asas ‘First-Past-The-Post’ atau ‘Yang-Pertama-Melepasi-Tiang’ dan juga manipulasi menerusi pembahagian kawasan pilihanraya yang bericirikan ‘agihan-timpang’ dan ‘curang’ atau ‘tipu-belit’.

ii. Adalah perlu untuk memperkenalkan satu sistem yang menyenaraikan semua perwakilan parti, supaya jumlah minima 30% perwakilan wanita di parlimen terjamin.

iii. Adalah perlu untuk memperkenalkan semula pilihanraya tempatan dengan sistem pilihanraya yang lebih adil, termasuk memberikan ruang yang lebih kepada penglibatan wanita dan kelompok terpinggir dalam masyarakat.

b. Pentadbiran pilihanraya:

i. Adalah perlu untuk merubah Suruhanjaya Pilihanraya sekarang yang ternyata gagal untuk bertindak sebagai sebuah institusi yang bebas dengan bergerak ke arah struktur perwakilan pelbagai parti sebagaimana yang dipraktikkan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi

ii. Memperuntukkan undang-undang yang berkaitan dengan hak pemerhati-pemerhati antarabangsa dan tempatan

c. Penamaan calon dan parti - bahawa ketimpangan ini mesti diperbetulkan:

i. Kuasa berasaskan budibicara yang diberikan kepada Pendaftar Pertubuhan menyebabkan keputusan berkaitan pendaftaran dibuat secara sewenang-wenagnya. Ini dapat dilihat dalam kes Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Malaysian Dayak Congress (MDC);

ii. Keputusan berat sebelah dan sewenang-wenang oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya yang akhirnya menggugurkan kelayakan calon-calon pembangkang adalah tidak adil;

iii. Klausa kontroversi yang membenarkan calon menarik diri selepas penamaan yang akhirnya membawa kepada pertuduhan rasuah dan kemenangan tanpa bertanding yang menyangsikan.

iv. Wang deposit pilihanraya yang tertinggi di dunia yang secara langsung menghalang penyertaan warga Malaysia yang kurang sumber kewangannya, termasuk golongan wanita dan beberapa kumpulan terpinggir dalam masyarakat.

d. Kempen pilihanraya – Peruntukan undang-undang bagi perkara-perkara berikut:

i. Menetapkan satu tempoh berkempen wajib yang jauh lebih panjang daripada tempoh 8 hari berkempen dalam pilihanraya lepas yang nyata tidak bermakna langsung;

ii. Memberikan hak kebebasan bersuara dan berkumpul yang sebenar-benarnya sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia;

iii. Pengawalan secara berkesan dan menyeluruh dalam proses pembiayaan kos untuk berkempen untuk membendung amalan rasuah

iv. Pertimbangan untuk mengadakan pembiayaan awam bagi kos berkempen kepada parti-parti politik khususnya bagi calon wanita, kumpulan-kumpulan terpinggir dalam masyarakat dan latihan yang mesra gender.

e. Media;

i. Merombak undang-undang yang sedia ada yang telah membolehkan media cetak dan penyiaran dimonopoli oleh para proksi Barisan Nasional

ii. Peruntukan undang-undang bagi membolehkan semua parti politik mendapat akses atau capaian percuma kepada TV dan radio awam serta akses secara adil (percuma atau berbayar) kepada media swasta

iii. Peruntukan undang-undang bagi menjamin hak semua parti politik dan calon untuk menjawab segala bentuk tuduhan dan kritikan ke atas mereka menerusi media.

f. Kerajaan Sementara atau Caretaker

i. Bahawa kerajaan lama adalah dilarang sama sekali untuk membuat sebarang polisi atau keputusan berkaitan dengan pembangunan bilamana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

ii. Bahawa menyalahgunakan semua sumber dan instrumen negara bagi tujuan memenangi pilihanraya atau untuk kepentingan parti adalah merupakan kesalahan jenayah

iii. Bahawa penyediaan dan penyemakan daftar pemilih perlu dibuat secara telus dan tertakluk kepada semakan kehakiman

g. Daftar Pemilih:

i. Bahawa daftar pemilih perlu dikemaskinikan dan tepat, untuk mengelakkan (i) penyingkiran dan pemindahan secara tidak sukarela para pengundi yang sah dan (ii) penyamaran dan pengundian berganda oleh ‘pengundi hantu’.

ii. Bahawa semua rakyat yang layak mengundi perlu secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

h. Undi:

i. Melaksanakan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) untuk menghalang pengundian berganda;

ii. Memansuhkan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi yang berada di luar negara memandangkan pertanggungjawaban dan kerahsiaan amat terancam dalam amalan semasa

6. Untuk jangka terdekat, BERSIH telah menyeru kepada Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abd. Rashid bin Abd. Rahman dan Datuk Kamaruzaman bin Mohd Noor untuk melaksanakan empat pembaharuan yang diperlukan dan boleh dilaksanakan serta-merta:

(a) penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan;

(b) penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda;

(c) pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara; dan

(d) akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihanraya.

Malangnya, setakat ini, pihak SPR cuma bersetuju dengan satu permintaan iaitu penggunaan dakwat kekal.

7. Dalam menjalankan kempen kesedaran di seluruh Negara, BERSIH telah berhadapan dengan satu tragedi sehingga pihak berkuasa menggunakan senjata dan menembak orang awam dengan peluru hidup. Peristiwa ini berlaku di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu pada 9hb September lalu. Bahkan, BERSIH dilontarkan tohmahan sebagai memulakan satu rusuhan. Penyiasatan bebas juga tidak dijalankan oleh badan-badan yang dipertanggungjawabkan.

8. Kami memohon Ke Bawah Duli Tuanku agar Tuanku akan

Menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihanraya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya diRaja untuk mengkaji pembaharuan sistem and proses pilihanraya.
Menggunakan kuasa Tuanku di bawah Perkara 40(2), Perlembagaan Persekutuan, untuk menolak apa jua permintaan untuk membubar Parlimen selagi empat pembaharuan serta-merta di atas tidak dilaksanakan.

Ditandatangani oleh organisasi-organisasi berikut:

Parti Politik:



1. Parti Keadilan Rakyat (People’s Justice Party) (KeADILan)

2. Democratic Action Party (DAP)

3. Parti Islam SeMalaysia (Malaysian Islamic Party) (PAS)

4. Parti Sosialis Malaysia (Malaysian Socialist Party) (PSM)

5. Sarawak Nation Party (SNAP)

Pertubuhan Bukan Kerajaan:

Save Ourselves (SOS Penang)
Tamil Foundation
Group of Concerned Citizens (GCC)
Citizens’ Health Initiative (CHI)
Aliran (reform movement for justice, freedom and solidarity)
Writers’ Alliance for Media Independence (WAMI)
Jaringan Rakyat Tertindas (Oppressed People’s Network) (JERIT)
Pusat Janadaya (EMPOWER)
Community Action Network (CAN)
Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Malaysia (Malaysian National Society for Human Rights ) (HAKAM)
Malaysian Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
Malaysian Trades Union Congress (MTUC)
Suara Rakyat Malaysia (Voice of the Malaysian People) (SUARAM)
Labour Resource Centre (LRC)
Pusat Komunikasi Masyarakat (Social Communications Centre) (KOMAS)
Civil Rights Committee of the Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (CRC-KLSCAH)
Persatuan Ulama Malaysia (Malaysian Ulama Association) (PUM)
Women’s Development Collective (WDC)
ERA Consumer
Centre for Independent Journalism (CIJ)
Unit Pemikiran Politik, Institut Kajian Dasar (Political Thought Unit, Policy Research Institute) (UPP-IKD)
Malaysian Voters’ Union (MALVU)
All-Women’s Action Society (AWAM)
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Malaysian Islamic Students’ Coalition) (GAMIS)
Research for Social Advancement (REFSA)
Solidariti Mahasiswa Malaysia (Malaysian Students’ Solidarity) (SMM)
Gerakan Anti Korupsi (GERAK)
Citizen Think Tank
Police Watch Committee


(sumber : Citizen Think Tank)

(Renungan Rimau : Ada sesetengah orang yang hanya tahu menyalahkan orang lain. Ibarat peribahasa Melayu, PANDAI SEPERTI PISAU RAUT : BONGKOK ORANG DAPAT DIBETULKAN (DILEPASKAN), BONGKOK DIRI SENDIRI TINGGAL KEKAL. Bijak Kita, Bijak Malaysia).

1 comment:

petai bakaq said...

Tiger,
Dalam banyak-banyak peribahasa tu jangan lupa satu peribahasa lagi..telunjuk lurus kelingking berkait...ah ah tulis kiri tulis kanan ah ah demi nak cari makan.