Saturday, September 20, 2008

AHLI UMNO SEMAKIN RASIONAL?


(Muhyiddin, Ali, Najib dan Paklah. Gambar oleh AgendaDaily)

Oleh Ibrahim Yahaya
(Mingguan Watan. Ruangan - Paya Berumput)

Sejak mengikuti perjalanan politik UMNO pada tahun 1980an sebagai seorang wartawan dan kemudiannya sebagai ahli parti, saya mendapati bahawa ahli-ahli UMNO adalah golongan yang amat taat kepada pemimpin apatah lagi pemimpin yang mereka hormati.

Ini kerana ahli UMNO sudah dilatih di peringkat cawangan lagi agar menghormati ketua cawangan, ketua bahagian dan seterusnya pemimpin di peringkat tertinggi. Dalam ertikata lain, mereka yang memilihnya, merekalah yang perlu menghormati pilihan itu.

Jika ada berlaku pertandingan, pelbagai faktor boleh dikaitkan kepada punca pertandingan berkenaan. Faktornya hampir sama di semua peringkat kecuali di cawangan yang ditambah dengan kemunculan pemimpin payung terjun yang berwibawa.

Antara faktor wujudnya pertandingan ialah disebabkan kelemahan pucuk pimpinan sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau nasional. Apabila pucuk pimpinan lemah, maka orang bawah pasti mahu menggantikan pemimpin berkenaan.

Selain itu, ada desakan daripada bawah agar pucuk pimpinan tertinggi dicabar untuk mengejutkan pemimpin yang lemah atau memberi "signal" kepada penyandang itu agar berbuat sesuatu sebelum usaha mengetepikannya dilakukan.

Ada juga usaha diambil oleh individu tertentu untuk mencabar pemimpin kerana rasa tidak puas hati yang teramat sangat. Mereka ini adakalanya mendapat sokongan kumpulan yang menganggap pemimpin sedia ada lemah atau perlu disedarkan.

Antara contohnya ialah apabila Ketua Penerangan UMNO, Haji Sulaiman Palestin menentang Tun Hussein Onn yang menyaksikan Perdana Menteri Ketiga itu bersara daripada politik dengan alasan kesihatan. Tun Hussein sedar bahawa ada pihak yang mahu beliau turun daripada memimpin UMNO.

Langkah berundur itu dilihat oleh ramai pihak sebagai sifat seorang negarawan.
Namun, ibu kepada pertandingan dalam UMNO ialah apabila ada dua kumpulan dikenali sebagai Team A dan B “bertembung” demi untuk menguasai pucuk tertinggi parti.

Ini berlaku pada 1987 yang menyaksikan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) mengalahkan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Tun Ghafar Baba menjadi regu TDM manakala bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam, rakan gandingan Kuli. Ia juga meleret sehingga kemunculan UMNO Baru.

Sejak itu, tiada lagi "signal" menentang yang diberikan kepada pucuk tertinggi parti apatah lagi diperkuatkan lagi dengan pengenalan sistem kuota yang menetapkan peratusan tertentu untuk bertanding jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT).

Ramai pihak meminta sistem itu dihapuskan termasuk TDM dan Kuli. Terbaru termasuklah TS Rafidah Aziz dan Tengku Ahmad Rithauddeen. Sehingga sekarang tiada sebarang perubahan walaupun ramai yang meminta agar diadakan perhimpunan luar biasa untuk meminda Perlembagaan UMNO berhubung sistem kuota itu.

Kemerosotan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) pada Mac lalu menyebabkan semua pihak mula mempersoalkan kepemimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi mereka, orang nombor satu itu bertanggungjawab terhadap keputusan PRU12. Ada pihak yang meminta Paklah mengundurkan diri dan menyerahkan tampuk kepemimpinan segera kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, kesegeraan penyerahan itu tidak dilaksanakan sebaliknya Paklah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib pada pertengahan 2010.

Sejak itu, tiada desakan agar Paklah berundur sehinggalah kenyataan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin minggu lalu yang mahu Perdana Menteri menyegerakan proses peralihan itu kerana menurutnya itulah kehendak akar umbi sekarang.

Sekali lagi, isu peralihan berkenaan timbul semula dan bagi Paklah ia satu kenyataan yang mengejutkan apatah ia disuarakan oleh salah seorang anggota Kabinetnya.

Dalam satu sidang akhbar khas, Paklah menegaskan tempoh peralihan yang dipersetujui itu bertujuan untuk memberikan masa kepadanya untuk memperbaiki segala kelemahan terutama memperkukuhkan semula parti dan kerajaan.

Baginya, tempoh itu bukan masanya untuk bersukaria kerana beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab berat untuk memulihkan sokongan rakyat kepada BN dan Kerajaan. Malah beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Mohamad Hassan meminta Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan kerana mengkritik ketuanya.

Namun, adakah ahli UMNO yang selama ini taat kepada pemimpin akan terus menyetujui pandangan Paklah itu atau mereka akan “bersuara” pada Oktober ini? Mereka bersuara ketika membuat pencalonan pemimpin tertinggi terutamanya Presiden dan Timbalannya.

Inilah perkembangan yang menarik dalam politik UMNO yang menguji setakat mana “ketaatan” ahli UMNO kepada Presiden mereka.

Mereka sudah pasti taat kepada ketua tetapi mereka juga mahu bersuara. Suara inilah yang akan menentukan nasib Paklah sama ada timbul atau sebaliknya. Suara seluruh negara itu sudah pasti mengambilkira kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sama-samalah kita tunggu perkembangan ini yang juga akan menentukan arah tuju parti pada masa akan datang.

(Renungan Rimau: Perbincangan hangat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi pada Khamis lalu mengenai peralihan tampuk kepemimpinan mungkin akan menyaksikan satu perkembangan baru yang tidak memerlukan ahli parti bersuara untuk memberi signal tertentu pada mesyuarat Bahagian yang bermula 9 Oktober nanti. Tidak perlu signal lagi kerana seperti program TV Survivor, "puak sudah bersuara". Maka anda terpaksa dikeluarkan untuk meneruskan pertandingan menjadi juara Survivor.)

No comments: