Sunday, September 21, 2008

AHLI UMNO SEMAKIN RASIONAL?


(Muhyiddin, Ali, Najib dan Paklah. Gambar oleh AgendaDaily)

Oleh Ibrahim Yahaya
(Mingguan Watan. Ruangan - Paya Berumput)

Sejak mengikuti perjalanan politik UMNO pada tahun 1980an sebagai seorang wartawan dan kemudiannya sebagai ahli parti, saya mendapati bahawa ahli-ahli UMNO adalah golongan yang amat taat kepada pemimpin apatah lagi pemimpin yang mereka hormati.

Ini kerana ahli UMNO sudah dilatih di peringkat cawangan lagi agar menghormati ketua cawangan, ketua bahagian dan seterusnya pemimpin di peringkat tertinggi. Dalam ertikata lain, mereka yang memilihnya, merekalah yang perlu menghormati pilihan itu.

Jika ada berlaku pertandingan, pelbagai faktor boleh dikaitkan kepada punca pertandingan berkenaan. Faktornya hampir sama di semua peringkat kecuali di cawangan yang ditambah dengan kemunculan pemimpin payung terjun yang berwibawa.

Antara faktor wujudnya pertandingan ialah disebabkan kelemahan pucuk pimpinan sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau nasional. Apabila pucuk pimpinan lemah, maka orang bawah pasti mahu menggantikan pemimpin berkenaan.

Selain itu, ada desakan daripada bawah agar pucuk pimpinan tertinggi dicabar untuk mengejutkan pemimpin yang lemah atau memberi "signal" kepada penyandang itu agar berbuat sesuatu sebelum usaha mengetepikannya dilakukan.

Ada juga usaha diambil oleh individu tertentu untuk mencabar pemimpin kerana rasa tidak puas hati yang teramat sangat. Mereka ini adakalanya mendapat sokongan kumpulan yang menganggap pemimpin sedia ada lemah atau perlu disedarkan.

Antara contohnya ialah apabila Ketua Penerangan UMNO, Haji Sulaiman Palestin menentang Tun Hussein Onn yang menyaksikan Perdana Menteri Ketiga itu bersara daripada politik dengan alasan kesihatan. Tun Hussein sedar bahawa ada pihak yang mahu beliau turun daripada memimpin UMNO.

Langkah berundur itu dilihat oleh ramai pihak sebagai sifat seorang negarawan.

Namun, ibu kepada pertandingan dalam UMNO ialah apabila ada dua kumpulan dikenali sebagai Team A dan Team B “bertembung” demi untuk menguasai pucuk tertinggi parti.

Ini berlaku pada 1987 yang menyaksikan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) mengalahkan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Tun Ghafar Baba menjadi regu TDM manakala bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam, rakan gandingan Kuli. Ia juga meleret sehingga kemunculan UMNO Baru.

Sejak itu, tiada lagi "signal" menentang yang diberikan kepada pucuk tertinggi parti apatah lagi diperkuatkan lagi dengan pengenalan sistem kuota yang menetapkan peratusan tertentu untuk bertanding jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT).

Ramai pihak meminta sistem itu dihapuskan termasuk TDM dan Kuli. Terbaru termasuklah TS Rafidah Aziz dan Tengku Ahmad Rithauddeen. Sehingga sekarang tiada sebarang perubahan walaupun ramai yang meminta agar diadakan perhimpunan luar biasa untuk meminda Perlembagaan UMNO berhubung sistem kuota itu.

Kemerosotan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) pada Mac lalu menyebabkan semua pihak mula mempersoalkan kepemimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi mereka, orang nombor satu itu bertanggungjawab terhadap keputusan PRU12. Ada pihak yang meminta Paklah mengundurkan diri dan menyerahkan tampuk kepemimpinan segera kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, kesegeraan penyerahan itu tidak dilaksanakan sebaliknya Paklah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib pada pertengahan 2010.

Sejak itu, tiada desakan agar Paklah berundur sehinggalah kenyataan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin minggu lalu yang mahu Perdana Menteri menyegerakan proses peralihan itu kerana menurutnya itulah kehendak akar umbi sekarang.

Sekali lagi, isu peralihan berkenaan timbul semula dan bagi Paklah ia satu kenyataan yang mengejutkan apatah ia disuarakan oleh salah seorang anggota Kabinetnya.

Dalam satu sidang akhbar khas, Paklah menegaskan tempoh peralihan yang dipersetujui itu bertujuan untuk memberikan masa kepadanya untuk memperbaiki segala kelemahan terutama memperkukuhkan semula parti dan kerajaan.

Baginya, tempoh itu bukan masanya untuk bersukaria kerana beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab berat untuk memulihkan sokongan rakyat kepada BN dan Kerajaan. Malah beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Mohamad Hassan meminta Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan kerana mengkritik ketuanya.

Namun, adakah ahli UMNO yang selama ini taat kepada pemimpin akan terus menyetujui pandangan Paklah itu atau mereka akan “bersuara” pada Oktober ini? Mereka bersuara ketika membuat pencalonan pemimpin tertinggi terutamanya Presiden dan Timbalannya.

Inilah perkembangan yang menarik dalam politik UMNO yang menguji setakat mana “ketaatan” ahli UMNO kepada Presiden mereka.

Mereka sudah pasti taat kepada ketua tetapi mereka juga mahu bersuara. Suara inilah yang akan menentukan nasib Paklah sama ada timbul atau sebaliknya. Suara seluruh negara itu sudah pasti mengambilkira kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sama-samalah kita tunggu perkembangan ini yang juga akan menentukan arah tuju parti pada masa akan datang.

(Renungan Rimau: Perbincangan hangat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi pada Khamis lalu mengenai peralihan tampuk kepemimpinan mungkin akan menyaksikan satu perkembangan baru yang tidak memerlukan ahli parti bersuara untuk memberi signal tertentu pada mesyuarat Bahagian yang bermula 9 Oktober nanti. Tidak perlu signal lagi kerana seperti program TV Survivor, "puak sudah bersuara". Maka anda terpaksa dikeluarkan daripada meneruskan pertandingan menjadi juara Survivor.)

11 comments:

terubuk jantan said...

Salam Hari mINGGU dATO,
Saya amat tertarik dengan tulisan dato kali ini.Saya selaku akar umbi Umno menyokong dan amat bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh tsmy kerana ada asasnya.rata-rata kami ahli umno mahukan perubahan dan peralihan segera sebaiknya sebelum 9 oktober(mesyuarat bahagian).Dato,saya suka dengan frasa yang dato gunakan,"langkah berundur itu disifatkan oleh orang ramai sebagai sifat seorang negarawan".

Quantum Metal Consultant said...

Terlalu lama pemimpin korowan di dalam UMNO berdiam sehinggalah di MT hari khamis yang lepas terdengar suara suara serak basah yang tersekat sekat. Berbanding dengan ahli akar umbi yang telah bersuara lama, rakyat juga telah menghantar tanda.

Seperti kata paklah, dia mendengar semuanya dan akan berbincang dengan 'pak turut' dan 'pak sanggup' disebelahnnya, seterusnsya paklah menganggap jika ada lagi pertanyaan dari wartawan, maka dianggapnya wartawan tak faam faham ( tak reti bahasalah kot..)

Yang tersirat sebenarnya, apa sahaja suara di MT pada hari tersebut, paklah mendengar di telinga kanannya dan kemudian keluar semuanya di telinga kiri. Tidak akan ada pengunduran awal kerana paklah mempunyai banyak lagi tugas untuk memakmurkan rakyat, salah satunya ialah memastikan KJ menang sebagai Ketua Pemuda.

Sifat dan sikap kekuatan (kedegilan) paklah ini bolehlah diambilkira sebagai ciri ciri kenegarawan yang belum pernah ada pada mana mana Perdana Menteri yang terdahulu.

Fazrulls said...

Salam Tuan,

Ahli-ahlo UMNO semakin matang dan ini telahpun di tunjukkan pada pilihanraya yang baru lepas...

Salam mesra,

JantanGiler said...

Besar kemungkinan Pak Lah tidak akan meletakan jawatan sebelum 9/10 dan akan mempertahankan jawatan Dis ini. Pak Lah gagal menganalisis 'Environmental scanning'secara sedar kerana disekelilingi oleh pendorong pendorong yg berkepentingan. sebagaimana kesilapan mengadakan pilihan raya sebelum waktu kerana percaya kepada tuan penasihat disekiling nya. Walaupun amaran bahawa akan disinkirkan jika bertanding Dis ini, pendorong ini bersedia utk bid dan Pak Lah adalah 'ayam sabung' mereka. Kalau Pak Lah di control oleh pendorong nya dan bakal PM dicontrol oleh nasi kankang apakah nasib yg bakal menimpa Melaysia selepas era Pak Lah ? ..dan ahli UMNO akan merajuk terus dan hilang kepercayaan.

ibrahim yahaya said...

Sdr TJ,

Ahli politik perlu bekerja keras untuk meningkat dalam hiraki kepemimpinan parti. Ada yang berjaya dan ada juga yang setakat separuh jalan. Ada yang naik seperti roket, ada juga yang jatuh seperti nangka busuk.

Ada ahli politik yang menggunakan tulang empat kerat dan idea bernas manakala ramai juga yang menggunakan "sumber kewangan" dan "rangkaian" masing-masing untuk mendaki ke puncak.

Apabila berada di atas tidak ramai yang mahu turun secara sukarela. Mereka sayang dengan jawatan. Mereka takut untuk melepaskannya. Ada yang sudah jatuh sakit pun masih ada hati untuk memegang jawatan. Itulah dunia politik. Oleh itu, mereka yang berundur untuk memberikan peluang kepada orang lain adalah seorang yang berjiwa besar. Tapi, tak ramai.

ibrahim yahaya said...

Sdr Kluangman,

Sikap pemimpin yang baik ialah suka mendengar apa yang disampaikan oleh orang bawah. Maklumat yang diterima kemudian dianalisis bagi memudahkan pemimpin itu membuat keputusan. Namun, ada pemimpin yang terlalu mendengar cakap penasihat sehingga tidak tahu membuat keputusan. Akhirnya, keputusan yang dibuat tidak betul dan mendatangkan bencana. Yang menanggung beban ialah pemimpin, yang tidak peduli apa yang dirasai oleh pemimpin ialah penasihat. Jauhilah punahsihat.

ibrahim yahaya said...

Sdr Fazrul,

Elok tunjukkan kematangan pada pemilihan parti bukan pada pilihan raya kecil atau umum. Selalunya jika kerusi dah terlepas, kena kerja kuat sikit untuk merampasnya semula. Adakalanya terus melekat ke parti lain sampai dua tiga pilihanraya. Camna?

manggis said...

SDR BAIM ( UNTUK IBRAHIM DALAM SINETRON TITIPAN ILAHI)

SATU YANG ORANG ORANG UMNO DAN AHLI-AHLI UMNO LUPA IALAH KUASA Y6ANG ADA PADA TANGAN MEREKA.

JAHIL SANGAT KAH ORANG-ORANG UMNO INI SEHINGGA LUPA KEPADA PERKARA ASAS YANG TELAH PUN TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN UMNO?

MISKIN SANGATKAH ORANG-ORANG UMNO INI SEHINGGA TUNDUK DAN SUJUD KEPADA WANG?

UMNO BUKAN ABDULLAH ATAU NAJIB PUNYA ATAU MANA-MANA INDIVIDU DALAM PARTI. BER(UANG) KAH, MISKINKAH, TERPELAJARKAH, TIDAK TERPELAJARKAH, MASING-MASING ADA KUASA MENENTUKAN KEPIMPINAN PARTI.

APA YANG AHLI PARTI PERLU SEDAR IALAH KUASA YANG ADA DITANGAN MEREKA. GUNAKAN "WITHOUT FEAR OR FAVOUR".

PEMIMPIN PATUT SEDARKAN AHLI AKAN PERANAN DAN KUASA YANG MEREKA (AHLI)ADA, BUKAN PEMIMPIN BERCAKAP SESAMA SENDIRI TENTANG KUASA YANG MEREKA (PEMIMPIN) ADA.

KALAU UMNO NAK TERUS RELEVAN "STOP ALL THOSE BULL SHIT"

Anonymous said...

Sekarang ni pun ramai yang mendesak semua ni sebab ada kepentingan sendiri juga. Orang macam Ku Li ni daripada dulu kerja nak menentang je. Sejarah dah tunjuk perangai dia memang macam tu. Jenis gila kuasa juga, sampai sekarang perangai tu ada, tak habis lagi. Cuba kalau peralihan kuasa tu jatuh dekat dia, tengok dia punya diam macam mana nanti.

Anonymous said...

Pak Lah bukannya naik macam roket.dah bertahun-tahun barulah dia dapat jadi PM.itupun sebab memang rezeki dia atas krisis Anwar dulu.jadi memang tak salah jika Pak Lah ingin mempertahankan jawatan dia.

suara-suara yang menyokong usul Muhyiddin pastinya niat mereka tersendiri.mereka tidak akan menyokong dan menentang secara buta tuli tanpa memikirkan apa yang mereka perolehi nanti.

saya bersetuju dengan kata-kata datuk tentang penasihat.yang menerima padah bukannya penasihat tetapi pemimpin.jauhilah punahsihat!

Unknown said...

samada semakin rasional atau semakin terdesak?

mungkin mereka yang bersuara meminta Pak Lah meletak jawatan adalah kerana terdesak serta risau akan kedudukan diri sendiri.ataupun kerana menginginkan jawatan yang dipegang Pak Lah.

ataupun mengambil kesempatan kerana pemimpin kali ini lebih terbuka?