Sunday, September 28, 2008

KANAK-KANAK PALING GEMBIRA BERAYA

Minggu ini, saya terbaca satu tulisan mengenai keperluan untuk "membuang" amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak pada hari raya bagi mewujudkan budaya tidak mengharapkan "habuan" ketika berkunjung ke rumah orang.

Saya tidak berapa setuju dengan pandangan itu kerana bagi saya kanak-kanak terutama di kampung-kampung, adalah golongan yang paling bergembira menyambut raya. Ini kerana pada hari rayalah mereka dapat duit. Ini berbeza dengan kanak-kanak di bandar.

Apakan tidaknya kerana selepas "berhempas pulas" berpuasa sebulan (terutama ketika musim panas), kini mereka menunggu hari raya untuk mendapat sedikit duit raya untuk membeli barangan yang mereka suka. Duit sendiri katakan.

Ketika kecil dulu, saya akan berkunjung ke hampir setiap rumah di kampung untuk berhari raya. Ketika itulah, saya sebagai "duta kecil" keluarga dan tuan rumah akan mengetahui siapa ibu bapa saya. Malah mereka akan bertanya khabar ibu bapa saya dan akan meminta saya menyampaikan salam.

Saya dan kawan-kawan pun tidaklah meminta wang raya kerana kami dinasihatkan oleh ibu bapa jangan meminta duit raya. Pesan ibu, jika orang hendak memberi kita ambil tetapi jangan sekali-kali meminta-minta. Kita pun amat taat dengan nasihat itu.

Tetapi sebagai tuan rumah yang baik, termasuk golongan tidak berada, mereka tetap memberi wang walaupun lima sen kepada kanak-kanak yang mengunjungi rumah mereka. Selepas hari pertama, dapatlah lebih kurang seringgit setengah atau dua ringgit. Adakalanya dapat lebih terutama jika tanaman padi "menjadi" atau harga getah naik.

Sebagai kanak-kanak, kami amat seronok dan selepas berjaya mengumpul duit raya, mulalah berjalan kaki sepanjang tiga kilometer ke Pekan Masjid Tanah untuk membeli permainan di kedai tauke Cina yang dibuka untuk menerima "tetamu cilik" ini.

Ketika itu, permainan yang amat digemari ialah askar plastik yang boleh berdiri ataupun mercun yang akan dimainkan "sakan" pada sebelah malam. Permainan itulah yang akan diulit selama setahun sebelum tibanya hari raya seterusnya.

Rumah yang paling digemari ialah rumah Paklong saya yang terletak di atas bukit berdekatan Pekan Masjid Tanah. Paklong akan memberi duit banyak sikit iaitu lima puluh sen kerana mendapat rezeki yang baik bekerja di Singapura.

Oleh itu, pemberian duit raya ini sebenarnya memberi kegembiraan kepada kanak-kanak selain kita mengetahui anak siapa yang datang ke rumah kita.

Kini, giliran saya pula menerima kunjungan kanak-kanak daripada jiran tetangga yang datang berkunjung. Daripada kunjungan itulah saya mengetahui ibu bapa mereka terutama yang jarang bertemu kerana kesibukan kerja dari pagi hingga petang.

Tapi kali ini, tidak boleh bagi sepuluh atau lima puluh sen lagi. Nak beli apa dengan 50 sen sekarang? Dulu nasi lemak boleh dibeli lima sen sekarang hampir tiga ringgit. Cepatnya masa berlalu.

10 comments:

Mazlan, said...

Amalan DUIT RAYA ini berbangkit setiap kali Hari Raya. Itulah penghubung silaturahhim sebenarnya. Tetapi yang meberi kena ikhlas dan jangan merungut selepas memberi. Apa salahnya niat bersedekah kepada kanak-kanak setahun sekali. Jangan jadi HJ BAKHIL. Kalau dah allah taala melimpahkan rezeki takkan nak bersedekah satu ringgit pun berkira. Kena tunggu CIKGU MURNI datang mohon sumbangann?
Kalau nak hapus, hapuskan Envelope atau Sampul Duit yang dicetak banyak-banyak oleh Kementerian, Bank, Syarikat-syarikat MNC.

Kulupbana said...

Salam Datuk,
Dulu, kanak-kanak akan beratur panjang di halaman 'menaksah' (surau) menantikan beberapa orang dewasa memberikan duit biasanya dua kupang dan juga lima kupang.Ada jugak kawan-kawan yang tipu ulang alik beratur untuk mendapatkan habuan lebih; sekarang depa dah jadi pegawai polis, guru, pensyarah, peguam mahupun jurutera.

Ayah pula akan sediakan banyak syiling dalam batil kaca untuk kami anak-anak bagikan pada rombongan budak-budak kampung yang datangnya entah dari mana. Lucunya bila ada budak komplen dia cuma dapat sekeping syiling dua kupang sedangkan kawannya dapat dua keping syiling sekupang.

Ada juga budak yang boleh pulangkan duit $9.80 bila ayah dah kehabisan syiling. Wah, kaya tu.

Sekarang tak main kupang-kupang lagi dah. Paling koman RM2 yang diisi dalam angpau. Jika di kalangan sanak saudara mesti tak kurang RM5 atau RM10. Jap lagi nak pergi bank tukar note RM1, RM5 dan RM10. Pening jugak kepala tapi wife (puan sri) tak boleh kompromi dalam aspek ini sekaligus tak mau kalah dengan puan sri puan sri yang lain (sepupu sepapat dia).

Tak pa lah, harap-harap duit tu tak habis pakai, boleh juga 'cover' petrol dan tol nak balik KL nanti. He he ..

Datuk dan peminat blog Datuk, saya ucapkan selamat AIDILFITRI; jangan tension, letak tepi masalah dunia seketika, Hari Raya adalah untuk dirayakan. Demi anak anak dan isteri.

junkopile said...

assalamualaikum tok tiger
betul tok amalan memberi ni patut diteruskan cuma yang perlu diterapkan keikhlasan dalam kunjung mengunjung dan mengeratkan persaudaraan..
juga keihlasan dalam memberi dan menerima nih tok bukan mengharap balsan jadi pm ke jd menteri ke ni yang tak betul tok
kalau setakat berkongsi kegembiraan untuk kanak2 supaya mereka dapat makan nasi ayam hainan masjid tanah ke apalah salahnya..
tok salam aidilfitri dan maaf zahir batin atas segala kesilapan
p/s jgn amalan bermaafan pn nak dihentikan dahler tok sebab elakkan byk buat salah

Andin Salleh said...

Salam,

Memberi duit raya kepada kanak-kanak bukan perkara baru. Ia sudah jadi budaya. Jadi saya tak fikir amalan itu akan dapat dihapuskan.

Ia sama juga seperti memberi ang pow di kalangan masyarakat Cina.

Lagipun memberi duit raya itu mungkin boleh juga dikaitkan dengan konsep sedekah. Jadi ia satu amalan yang baik, yang selaras pula dengan tuntutan Islam.

abe MIE 'TERJAH' said...

datuk...

zakat sebelum hari raya dibayar kat majlis agama atau bagi kat orang miskin...

zakat semasa dan selepas hari raya kat budak lah...

itu dah tradisi. orang cina punya raya lagi besar duit raya dia. kalau bagi macam kita, kira tak meriah raya mereka...

raya mementingkan metarialistik atau menghayati raya?

apa komen datuk

http://pkrpasdap.blogspot.com

LIMAUDONG said...

Salam DIY
Dato , mungkin kali ini konsep " Akta Hubungan Kaum boleh digunakan pakai sebab Akta itu bukan untuk budaya sendiri malah budaya kaum dalam Malaysia seperti adat resam, bahasa , kebudayaan dan sejarah etc . YANG BAIK KITA AMALKAN, KALAU ADA lebih RM $$ BOLEHLAH BERI DUIT RAYA !!!

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SEMUA PEMINAT BLOG DUNIATIGER

Cheguman said...

Saya setuju dgn pandangan tuan blogger. Salah satu kebaikannya saya lihat ia menggalakkan org lebih aktif cari duit sebab malu jika tak dpt sediakan duit raya.

Saya sokong cadangan 'anakmahmud' agar sampul duit raya dihapuskan. Belum sampai muka pintu budak2 dah koyakkan sampul tu.

Selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir batin.

tok janggut said...

Amalan memberi duit raya adalah salah satu amalan bersedekah yang banyak diperkatakan oleh Allah dalam Quran. Sepatutnya kita tak payah bersedekah bila musim perayaan sahaja, bila-bila masa boleh bersedekah. Tapi kalau bersedekah pada musim raya nampak meriah sikit raya. Saya rasa tak salah.

Masa saya kecil-kecil dulu, duit rayalah yang menjadi duit saku perbelanjaan sekolah saya. Seronok tak terkata.

Anonymous said...

SALAM TOK TIGER,

Memberi lebih baik dari menerima.
Memberi duit raya kepada kanak-kanak semasa Aidilfitri...hanyalah satu budaya turun temurun dalam masyarakat Melayu.

Segala pemberian perlulah ikhlas dan relahati.Suasana hari raya perlulah kita gunakan dengan sebaik-baiknya.

Menggembirakan kanak-kanak adalah satu tugas yang mulia.Disamping itu kita boleh memberikan nasihat supaya mereka dapat menabung demi masa depan...jangan dihabiskan duit raya dengan benda-benda yang sia-sia sahaja dan merugikan. SALAM SYAWAL.

rayliew said...

Budaya tersebut hendaklah dikekalkan kerana ianya adalah satu usaha untuk mengeratkan talian silaturahim antara golongan muda dengan golongan tua...Mereka yang memberi duit raya hendaklah menilai keupayaan sendiri dan jangan pula berbelanja lebih untuk tujuan tersebut semata-mata untuk menandingi orang lain..