Wednesday, December 31, 2008

SELAMAT TAHUN BARU

Apa yang anda mahu berlaku pada tahun hadapan?

Tidak payahlah sebut azam baru.

Azam yang lama pun tidak tercapai....bagi sesetengah orang termasuk saya.

Hanya yang rasional saja.

TIADA KALI LAGI DI NST

THE New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) mengumumkan perletakan jawatan Datuk Seri Kalimullah Hassan sebagai Timbalan Pengerusinya, berkuat kuasa hari ini.

Kalimullah menyertai NSTP sebagai Ketua Pengarang Kumpulan (GEIC) pada 1 Januari 2004 hingga 31 Disember 2005.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengerusi pada 1 Januari 2006. (Sumber - Berita Harian)

Tuesday, December 30, 2008

KITA MENUMPANG TANAH TUAN

Semalam saya banyak belajar mengenai adat perpatih daripada Dato' Seri Diraja Khalid Bonget yang ditemuramah oleh RTM dalam lintas langsung.

Secara sedar saya kini mengetahui mengenai perlantikan satu daripada sembilan Raja-Raja Melayu di negara ini. Saya juga berharap rakyat negara ini tidak kira asal keturunan menyanjungi tinggi institusi raja yang menjadi "tuan" di negara ini.

Raja-Raja Melayu sebagai "Tuan" di negara ini, layak dihormati, disanjungi dan tiada siapa yang berhak mempertikaikan kekebalan mereka dalam melakukan apa saja yang terbaik untuk rakyat dan negara ini. Raja agung, raja disanjung.

Oleh itu, pihak yang ingin "memandai-mandai" menyerahkan tanah Melayu milik "Tuan" negara ini kepada bukan Melayu adalah tindakan penderhaka kepada Raja-Raja Melayu. Tanah itu milik Tuan dan ia perlu dikekalkan kepada Tuan di negara ini.

Monday, December 29, 2008

DAULAT TUANKU, TUNKU MUKHRIZ

Posting Ketujuh - 6.20 petang

Majlis Pemakaman Al-Marhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman, selesai.

Diikuti penyiraman air mawar dan bunga-bungaan.

Posting Keenam - 6 petang

Kini majlis doa diadakan oleh Yang Berhormat Dato' Mufti Negeri Sembilan.

Posting Kelima - 5.20 petang

Upacara pemakaman dilaksanakan oleh pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Jenazah Al-Marhum kini diturunkan ke liang persemadian.

Doa akan dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Posting Keempat - 5.15 petang

Sultan Melayu yang hadir ialah DYMM Sultan Kedah yang juga Timbalan Yang DiPertuan Agong dan Sultan Brunei.

Antara pemimpin negara yang hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri-Menteri Kabinet.

Posting Ketiga - 5.05 petang

Wartawan lokasi dan pengacara RTM bermula jam 4.55 petang ialah Syed Munawar Syed Mustar.

Perarakan membawa jenazah Al-Marhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman masih diteruskan ke perkarangan Masjid Diraja Tuanku Munawir terletaknya Makam Diraja Seri Menanti iaitu kira-kira 500 meter daripada Istana Seri Menanti.

Yam Tuan mangkat, Yam Tuan Menanam. Itulah amalan Adat Perpatih yang dijalankan iaitu pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 yang kemudiannya mengiringi pemakaman Al-Marhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman.

Pemasyhuran itu dilaksanakan oleh Undang Sungai Ujong.

Posting Kedua - 4.50 petang

Ketika ini, siaran langsung oleh RTM pemakaman Al-Marhum Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman. Wartawan lokasi ialah Gadaffi yang menemuramah pakar rujuk adat perpatih, Datuk Seri Diraja Khalid Bonget.

Al-Marhum Tuanku Jaafar adalah seorang raja yang berjiwa rakyat. Dimaklumkan bahawa baginda suka menemui rakyat jelata dengan menyamar seperti orang biasa.

Baginda juga gemar membeli petai daripada orang Asli dan antara masakan yang digemari ialah gulai pedas ayam.

Baginda juga seorang pelukis dan pencinta setem. Beliau menaiki takhta selama 41 tahun.

Al-Marhum seorang raja yang suka membantu rakyat jelata.

Posting Awal- 3.52 petang

Tunku Mukhriz Tunku Munawir dimasyhurkan sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus ke-11, sebentar tadi.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Majlis pemasyhuran disiarkan secara langsung oleh RTM.

Selepas pengumuman itu, Tunku Naquiyuddin Tuanku Jaafar menghulur tangan menyembah salam tahniah kepada Tunku Mukhriz yang duduk di sebelahnya.

Selepas itu diadakan majis menghadap sembah oleh undang luak.

Tunku Mukhriz duduk di singgahsana yang mempunyai tangga tujuh tingkat.

TOKOH MAAL HIJRAH 1430

Mufti Perak Darul Ridzuan, Dato' Seri Harussani Zakaria dan Prof Dr Wahbah Mustaffa Al-Zuhayli dari Syria dipilih penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1430H.

Dato' Seri Harussani anak bongsu daripada lima beradik. Beliau belajar di peringkat rendah di Parit Buntar, Perak dan pernah mendapat pendidikan di London.

Dato' Seri Harussani pernah menerima darjah kehormat doktor syariah daripada Universiti Malaya.

Tahniah. Semoga ia menjadi pendorong kepada umat Islam.

Sunday, December 28, 2008

SATU MULUT, DUA TELINGA

Selamat Menyambut Maal Hijrah.

Sesungguhnya Allah SWT memberikan manusia satu mulut, dua telinga.

Oleh itu, pada tahun baru ini eloklah kita banyak mendengar dan kurangkan bercakap. Ikutlah peratusan mulut dan telinga.

Ahli politik bagaimana?

Eloklah banyak mendengar rintihan masyarakat daripada berucap berapi-api atau gemar membuat dakwaan dan tuduhan.

Jika bangsa Melayu pernah mendengar cerita kisah 10 GRO Melayu yang kelahapkan wang sehingga sanggup berbogel, melakukan blow-job dan bersetubuh di khalayak ramai kerana ditawarkan wang RM50, RM100 dan RM250 oleh seorang kontraktor bukan Melayu pada satu malam, maka sudah sampai masanya ahli politik Melayu banyak bekerja, membantu bangsa dan bukan bertelagah atau memburukkan satu sama lain.

GUNAKAN ISTILAH YANG TEPAT

Bagi petugas televisyen terutama pengacara atau wartawan lokasi, membuat lintas langsung adalah satu tugas yang mencabar. Perlu mempunyai pelbagai maklumat dan menguasai suasana. Tidak boleh gabra dan kelam kabut. Tenang dan menyakinkan.

Adakala tidak perlu bercakap banyak tetapi short and sharp. Lagi banyak bercakap, lagi banyak buat kesalahan. Waktu tertentu pula memerlukan wartawan lokasi memberi maklumat tambahan yang tepat dan menarik. Maklumat kurang, orang tidak faham.

Dari segi teknikal, membuat siaran siaran langsung boleh dilakukan beberapa cara termasuk menggunakan alat B-GAN iaitu menerusi satelit atau SNG yang dihantar menerusi menara telekomukasi tertentu ke stesen penyiaran.

Umpamanya, siaran langsung RTM menampilkan wartawan lokasi, Rosli Nordin, petang semalam menggunakan B-GAN di mana penonton menyaksikan gambar adakalanya terputus-putus atau berwarna-warni. Ini kerana B-GAN menggunakan satelit yang bergantung pula kedudukan mukabumi dan cuaca. CNN juga mengalami keadaan yang sama.

Satu lagi ialah penggunaan istilah mestilah tepat terutama membabitkan Raja-Raja Melayu seperti perkataan baginda menggantikan beliau, mangkat menggantikan meninggal dunia dan perkataan tepat yang lain seperti pemakaman, berangkat, mencemar duli dan kerabat.

Saturday, December 27, 2008

TUANKU JAAFAR MANGKAT (1922-2008)

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, mangkat jam 11.45 pagi ini.

Al-Fatihah.

EMAK BANTU MEMBANGUNKAN ANAK

Bagaimana anda mahu bangun pagi jika tiada jam loceng atau orang bantu mengejutnya?

Di rumah, suami biasanya dikejut oleh isteri tercinta. Jika dihotel, anda mungkin boleh meminta receptionist membuat morning call. Sebut saja jam berapa. Pasti beres.

Zak, rakan sekolah mempunyai tugas penting mengejutkan anaknya. Tiga anak kesayangan.

Anak Zak belajar di tiga benua. Jadi Zak yang tinggal di Malaysia menjadi "alat penggera" atau "jam loceng" untuk mengejutkan anaknya yang belajar di sana termasuk di London.

Umpamanya, ada tempat anaknya belajar ialah waktu pagi sedangkan di Malaysia waktu petang, maka Zak akan diminta membuat morning call untuk anaknya.

Sebagai ibu, beliau terpaksa berbuat demikian kerana memikirkan permintaan anak itu penting kerana ada kemungkinan mereka menghadapi peperiksaan atau kuliah penting.

Selamat mengejutkan anak.

Friday, December 26, 2008

ULANGTAHUN KEEMPAT TSUNAMI

Mungkin ramai yang terlupa tarikh 26 Disember 2004.... hari ini genap empat tahun bencana tsunami menggemparkan penduduk dunia. Kejadian yang amat menyayatkan hati.

Gempa bumi berukuran 9.0 skala ritcher yang berlaku di bumi Aceh, hasil daripada pergerakan plat di lautan Hindi telah menghasilkan gelombang tsunami yang melanda beberapa lokasi di Asia termasuk, Sri Lanka, Phuket Thailand dan juga beberapa pantai barat Utara malaysia.

Semoga kejadian itu memberikan banyak pengajaran kepada kita.

(Renungan Rimau : Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kini banyak pokok bakau ditanam di tepi pantai berbanding pada masa lalu di mana orang suka menebangnya. Tsunami menyedarkan kita bahawa membina rumah di tepi pantai juga akan mendatangkan malapetaka dan meragut nyawa. Ada orang mendapat rumah baru yang dibina kerajaan tetapi terus mengekalkan rumah lama di tepi pantai. Jagalah nyawa keluarga)

Thursday, December 25, 2008

APA PUNYA HOTEL DAA...

Petang ini, saya check in satu hotel di bandaraya. Lima bintang katakan, sesuai untuk raja-raja kot. Kawan yang belanja kerana menghadiri majlis perkahwinan anaknya.

Tetapi, yang sakit hati ialah mereka "memisahkan" saya dan isteri kerana memberikan saya bilik yang mempunyai dua katil single. Two single bed for husband and wife? Apa punya hotel daa...

Saya memohon agar diberikan bilik yang ada satu katil besar tetapi mereka memberi alasan semua bilik seperti itu sudah habis ditempah. Wah..bagus ke hotel ni?

Yang peliknya, kawan saya tempah pagi tadi untuk saya dan isteri.

Apabila ditanya mengapa saya tidak diperuntukkan untuk bilik yang mempunyai satu katil besar, mereka mempunyai jawapan tersendiri.

Menurut receptionist hotel itu, ketika membuat tempahan pagi tadi kawan saya tidak menyatakan mahu bilik yang mempunyai satu katil. Halo...suami isteri mestilah mahu satu katil besar, bukan dua katil single. Apa ni?

Tolonglah nasihat mereka ni.

Bagi mereka yang bekerja di hotel, apa pendapat anda?

Wednesday, December 24, 2008

KEROPOK LEKOR KUALA TERENGGANU (1)

Apakah isu yang akan dimainkan oleh parti-parti politik yang akan bertanding di P36 Kuala Terengganu selepas penamaan calon 6 Januari ini? Apakah mereka akan menimbulkan isu nasional atau isu tempatan? Apakah mereka akan terus membuat serangan peribadi terhadap calon atau pemimpin tertentu seperti sebelum ini? Apakah mereka akan membuat kejutan tertentu seperti sumpah menyumpah atau keluar parti? Entahlah.

Inilah 1001 persoalan yang bermain di fikiran saya menjelang Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini. Persoalan yang sama pasti berlegar dalam pemikiran ahli politik Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) terutama ejen 007 yang bekerja keras merangka bahan ceramah yang akan diutarakan.

Ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, PR mendahului BN dari segi memainkan isu tertentu sebelum penamaan calon terutama yang paling terkemuka ialah kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengenai isu kuota 10 peratus kemasukan bukan Melayu ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ibarat pemancing yang handal, umpan Tan Sri Khalid dimakan oleh pihak tertentu terutama pengurusan tertinggi UiTM yang dilihat menyerang semula bekas pemimpin PNB dan Guthrie itu. Mereka menyifatkannya sebagai manusia yang tidak mengenang budi atau pemimpin politik yang sudah ketandusan isu.

Hakikatnya, TS Khalid tidak ketandusan isu tetapi mahu melontarkan isu berkenaan bagi menarik perhatian masyarakat kaum lain bahawa PR seolah-olah mahu memperjuangkan nasib mereka terutama dari segi kesaksamaan dalam pendidikan.

Namun di sudut hati TS Khalid, beliau tahu perkara itu mustahil boleh dilaksanakan apatah lagi beliau memahami mengenai dasar penubuhan UiTM dan apa yang terkandung dalam Perlembagaan mengenai hak-hak istimewa orang Melayu.

Ikan yang lapar atau kurang cerdik terus memakan umpan yang ditarik ke sana ke mari. Akhirnya isu itu menjadi besar dan sudah pasti dilihat oleh masyarakat bukan Melayu sebagai isu yang menidakkan keadilan dari segi pendidikan kepada semua kaum. Walaupun ia tidak benar tetapi cara dibawakan isu itu seolah-olah mereka adalah pejuang.

Ketika ini, isu Hudud dimainkan oleh PAS dengan kenyataan Husam Musa mengenai hasrat parti itu untuk melaksanakan hudud apabila memerintah di peringkat pusat. Sudah tentu cadangan itu mendapat bantahan oleh parti yang menganggotai PR terutama DAP.

Persoalannya, adakah bantahan ini hanya satu sandiwara atau usaha menabur umpan untuk dimakan oleh ikan-ikan yang lapar atau mabuk? Apakah DAP membuat bising-bising semata-mata mahu menarik perhatian lebih 9,000 pengundi Cina di P36?

Monday, December 22, 2008

KEROPOK LEKOR LOSONG KAK YAH

Hari ini saya bertemu dengan tauke keropok lekor losong bernama Kak Yah.

Kak Yah sungguh mesra melayan kami. Khalid yang mengenali Kak Yah memperkenalkan kami.

Yang menariknya Kak Yah membuka restoran keropok lekor di sebelah kedainya yang menjual keropok lekor, pelbagai jenis keropok dan ikan masin. Kedai itu berkembar dengan rumahnya.

Pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum.

Kak Yah berkata beliau mahu memperbesarkan restorannya kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Terengganu dan orang luar.

Bagi saya hasrat Kak Yah amat baik dan perlu disegerakan.

Ini kerana mulai sekarang semakin ramai akan melawat Kuala Terengganu berikutan pilihanraya kecil Parlimen kawasan itu. Penamaan calon akan diadakan pada 6 Januari dan pemilihan pula pada 17 Januari.

Selamat berkeropok lekor dan berkempen.

Sunday, December 21, 2008

MAHU BN, PILIH WAN FARID

Pengumuman sudah dibuat. Wan Farid adalah calon pilihan BN. Pemilihan itu sudah tentu menimbulkan pelbagai reaksi dan seribu persoalan.

Reaksi dan pandangan itu timbul seperti juga jika calon lain diutarakan. Persoalannya siapa yang sebenarnya layak? Yang layak pula... pilihan siapa?

Mengapa Wan Farid? Ramai yang bertanya. Mungkin mereka tidak mengenali Wan Farid. Atau terlalu kenal Wan Farid. Abangnya. Atau keluarga mereka. Ada yang kata mereka golongan bangsawan. Betul ke? Apa maksud bangsawan tu?

Bukankah Wan Farid Ketua Bahagian UMNO KT? Apakah menawarkan Timbalan Menteri sebagai calon BN tidak sesuai untuk KT?

Mengapa pula BN tidak mengemukakan calon lain? Ada pula yang membuat cadangan nama lain. Mereka ada alasan tersendiri. Mereka mahu BN menang. Apakah meletakkan calon lain, BN akan menang? Entahlah.

Hakikatnya, siapa pun nama yang dikemukakan...mereka adalah calon BN. Jika mahu BN, pilihlah calon BN.

Saturday, December 20, 2008

MANUSIA HANYA BERANI DENGAN BUMI

Bunyi ombak laut di Teluk Cempedak, Kuantan pagi ini mengingatkan saya semasa kecil berkelah di dua pantai utama di Masjid Tanah. Pantai Pengkalan Balak dan Pantai Tanjung Bidara.

Selepas peperiksaan MCE, bersama rakan-rakan saya berkhemah di Pulau Besar, Melaka. Pulau yang ketika itu masih asli tanpa pembangunan. Amat indah.

Bunyi ombak sungguh mengasyikkan. Memaparkan kesibukan alam menjalankan tugasnya.

Walaupun, manusia mampu menghancurkan keindahan bumi dengan meratakannya atau merosakkan pemandangan di atas bukit dengan membina rumah atau pangsapuri mewah, laut biasanya terselamat sedikit.

Manusia mungkin berani dengan bumi tetapi takut dengan laut. Mungkin kos tinggi untuk memusnahkan laut, menghalang mereka seketika.

Kerakusan memusnahkan bumi menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Kegilaan memuja wang dengan mencari untung banyak di bukit dan gunung, merosakkan harta benda sekelip mata.

Manusia memusnahkan manusia lain.

Manusia akan sedar seketika apabila berlaku malapetaka.

Mereka mudah lupa dan setelah suasana reda, terus menggila.

Jadilah manusia sebenar.

Manusia budiman - berbudi dan beriman.

Friday, December 19, 2008

LONGKANG BERSIH, TIADA NYAMUK

Persidangan Dewan Rakyat penggal ini tamat semalam. Ini memberi ruang kepada semua ahli Parlimen mengimbas kembali “perjuangan” mereka di Dewan Rakyat.

Perjuangan murni dan bukan merapu untuk mencari publisiti murahan. Bukan mengeluarkan kenyataan yang bertujuan untuk merendahkan ahli Parlimen lain tetapi memberi cadangan membina bagi membangunkan negara tercinta ini.

Dua rang undang-undang yang diluluskan dalam persidangan kali ini iaitu Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM) dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman 2008 (SPK) banyak mendapat perhatian.

Kedua-dua rang undang-undang itu mencuri perhatian ahli Parlimen dengan perbahasan panjang lebar oleh kedua-dua pihak, penyokong kerajaan dan pembangkang. Menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz dihujani pelbagai kemusykilan khususnya pembangkang.

Kebijaksanaan DS Mohamad Nazri menjawab segala soalan berhubung kedua-dua rang undang-undang itu perlu diberi pujian. Beliau pandai mematahkan hujah termasuk Ketua Pembangkang dengan penjelasan yang menyakinkan. Ketika ada segelintir ahli dewan masih mendakwa tiada perbezaan ketara dengan kaedah dahulu, DS Nazri menyangkal dakwaan itu dengan membuat perbandingan dengan baik.

Akhirnya kedua-duanya diluluskan pada peringkat dasar dan jawatankuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang turut berada di Dewan Rakyat mengikuti penggulunggan rang undang-undang berkenaan sehingga diluluskan, berasa gembira dan berpuas hati.

Kegembiraan Perdana Menteri itu boleh difahami kerana dalam pertemuan dengan pengarang media di Parlimen yang turut dihadiri penulis, Paklah menjelaskan matlamat sebenarnya kedua-dua rang undang-undang itu dibentangkan.

Menurutnya, pembentangan itu adalah lanjutan daripada pendekatan yang diambilnya sebelum ini iaitu menyusun semula institusi penguatkuasa dan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Selepas penyusunan semula institusi ini kini tibalah masa untuk mewujudkan undang-undang untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan. Dalam ertikata lain rang undang-undang ini akan memberi jaminan kepada rakyat untuk mendapat perlindungan adil dan saksama. Untuk anak cucu kita.

Bagi Paklah, rang undang-undang itu bukanlah dibentangkan secara tergesa-gesa kerana dakwaan sesetengah pihak untuk meninggalkan satu legasi tetapi ia adalah kesinambungan apa yang ingin dilakukan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada 2004 dan diteruskan pada 2008.

Di akhir pertemuan itu, Paklah menggunakan analogi sebuah rumah yang dipenuhi nyamuk. Menurutnya, kejayaan menghapuskan semua nyamuk di dalam rumah dengan menggunakan bahan semburan terbaik tidak memadai, jika longkang di belakang rumah masih kotor dan nyamuk boleh terus membiak.

Oleh itu, selain menggunakan semburan terbaik untuk menghapuskan nyamuk, tindakan pantas untuk membersihkan longkang kotor dan berair perlu dilaksanakan bagi menghapuskan nyamuk yang boleh membawa kepada kehancuran.

Thursday, December 18, 2008

KOMUNITI KREATIF RAMAI DAN DINAMIK

Baru-baru ini, ketika bersembang dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek di kantin Parlimen bersama dengan beberapa rakan lain, beliau menyatakan impiannya untuk mewujudkan c-community atau komuniti kreatif yang lebih dinamik di negara ini.

Sebagai Menteri Penerangan, bukan Menteri RTM, beliau mahu RTM bergerak ke arah itu bagi memastikan komuniti kreatif ini dapat dibentuk segera dengan pembabitan ramai golongan muda yang keluar daripada institusi pengajian tinggi.

Ketika ini, bilangan pemain (players) atau penggerak industri kreatif masih kecil iaitu kurang 500 produser berbanding Korea yang telah mempunyai 6,000 pemain industri. Korea juga sudah mengeskport hasil karya mereka ke seluruh dunia. Winter Sonata dan Coffee Princess disiarkan di negara ini.

Baginya, ketika ini banyak institusi pengajian tinggi termasuk swasta yang menawarkan pengajian dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat. Jika tiada ruang diberikan kepada mereka, sudah pasti kreativiti itu "terbantut" dan mungkin berkubur.

Oleh itu, langkah melaksanakan program pendigitalan oleh RTM akan dapat membina lebih banyak ruang bagi golongan kreatif ini menghasilkan karya mereka. Dalam rancangan pendigitalan itu, adalah dijangka lebih 15 saluran baru akan diadakan.

Oleh itu, produser mempunyai ruang untuk menyiarkan karya-karya mereka bukan lagi tertumpu kepada dua saluran RTM sekarang.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah mencari sponsor atau penaja yang boleh membayar kos produksi untuk menghasilkan karya bermutu.

Wednesday, December 17, 2008

HINGGA SAAT AKHIR....



Oleh Agendadaily

Menjelang tiga bulan terakhir memegang jawatan Perdana Menteri, banyak spekulasi yang berlegar mengenai usaha-usaha pembaharuan yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ada pandangan yang sinikal yang mempersoalkan apa yang boleh dilakukan oleh Abdullah dalam tempoh tiga bulan sebelum melepaskan jawatannya Mac depan.

Lebih khusus, usaha pembaharuan dalam bidang pencegahan rasuah dan institusi kehakiman melalui pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Kehakiman di Dewan Rakyat mendapat reaksi yang bukan sahaja daripada pembangkang tetapi juga kalangan ahli-ahli parti pemerintah sendiri.

Ada yang mempertikaikan kenapa rang undang-undang tersebut perlu diadakan, Adakah ia mempunyai muslihat tertentu daripada sudut politiknya dan pelbagai andaian lain.

Menjawab segala persoalan tersebut, Abdullah dengan tegas berkata, beliau tidak akan lari daripada amanah dan tanggungjawab yang digalasnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya akan tunaikan semua tanggungjawab yang ada…selagi saya masih Perdana Menteri saya akan melaksanakan amanah tersebut sampai ke saat terakhir,” ujarnya sambil menegaskan, beliau tidak akan hanya berdiam diri menunggu masa untuk bersara.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas dengan Agendadaily di kediamannya di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur hari Selasa.

“Saya akan terus berada di sini bagi menyelesaikan apa yang telah saya janjikan,” tegas Abdullah lagi.

Pada pertemuan tersebut, Abdullah melahirkan segala yang hasrat dan harapan beliau untuk melihat institusi kerajaan diperkasakan dan mendapat keyakinan semula daripada masyarakat ekoran wujudnya pelbagai persepsi negatif khususnya institusi pencegahan rasuah, kehakiman dan penguatkuasaan.

Abdullah turut ditanya, apakah kekecewaan yang dirasainya dalam usaha melakukan agenda perubahan berkenaan.

Katanya, jika ada pun rasa kecewa terhadap sikap ahli-ahli UMNO dan BN dalam usaha beliau melakukan perubahan sepanjang tempoh menjadi PM ialah mereka terlalu diselubungi dengan persepsi negatif.

”Mereka hanya lihat sesuatu pembaharuan itu daripada sudut negatif sahaja tanpa mahu memahami apa yang tersirat di sebalik hasrat. Segalanya mereka lihat daripada apa yang tersurat sahaja,” jelasnya.

Rasa kecewa beliau itu lebih merujuk kepada sikap yang tidak mahu memahami hasrat serta pandangan negatif yang diberikan terhadap pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Kehakiman di Dewan Rakyat.

Di sela-sela pertemuan berkenaan, Abdullah turut ditanya adakah beliau akan terima jawatan sebagai Menteri Kanan selepas bersara Mac depan seperti yang disuarakan oleh beberapa pemimpin UMNO.

“Biaq pi kat depalah,” ujarnya sambil gambarkan tidak pernah terlintas di fikirannya mengenai perkara itu.

Mengenai adakah beliau akan memantau kerajaan selepas bersara nanti, beliau menegaskan, “saya tidak akan jadi macam itu”.

Malah pada pertemuan berkenaan beliau turut menegaskan, tidak akan mengganggu kerajaan pimpinan baru selepas Mac depan.

(Renungan Rimau : Pemimpin yang baik akan tetap disanjungi dan dikenang walaupun pelbagai dakwaan, tuduhan mahupun fitnah dilemparkan terhadap diri dan keluarganya. Hanya tuhan saja yang akan membalas jasa pemimpin yang baik dan memperjuangkan kepentingan rakyat)

Tuesday, December 16, 2008

FITNAH SIBER YANG MENGHANCURKAN

Semalam, saya bersembang dengan seorang sahabat yang menceritakan satu berita sedih.

Rakan baiknya teraniaya. Ia disebabkan gejala fitnah siber.

Apa yang berlaku ialah gambar rakannya digunakan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan satu laman web yang menawarkan perkhidmatan seks. Gambar rakan itu diambil daripada laman web peribadinya.

Tidak cukup dengan itu, pihak tidak bertanggungjawab telah menyebarkan kad sambutan deepavali yang menggunakan namanya tetapi mencaci penganut Hindu.

Lebih parah lagi beliau yang beragama Islam juga dikaitkan dengan laman web yang menghina Nabi Muhammad.

Insan ini adalah mangsa fitnah siber.

Semoga ini memberi pengajaran kepada kita.

Monday, December 15, 2008

BERFIKIRAN SEMPIT DAN TIDAK TENTU ARAH

Kebelakangan ini, ramai pihak termasuk blogawan yang menulis mengenai "keadaan" orang Melayu sekarang termasuk Datuk A Kadir Jasin. Antara lain mereka menyentuh mengenai apa sudah jadi dengan bangsa Melayu sekarang di samping asakan daripada kaum bukan Melayu. Bukan sekali tetapi beberapa kali. Apa sudah jadi?

Apa yang berlaku sekarang ialah apa saja yang ingin dilakukan oleh kerajaan atau institusi tertentu pasti bermotifkan perkauman termasuk apa yang dilakukan oleh RTM terhadap rancangan yang tidak popular yang memerlukan dilakukan pembaharuan. Jika mereka suarakan pula tidak pula dilihat bermotif perkauman. Habis camna?

Hari ini, dalam Utusan Malaysia Wak Risau dari Sungai Buloh membidas pihak yang mempertikaikan usaha yang dilakukan oleh RTM terutama memberhentikan program "What Say You".

Sebenarnya, ada golongan kini melihat apa yang ingin dilakukan oleh RTM bermotifkan perkauman sedangkan mereka lupa ada pihak yang membelasah program RTM yang tidak bermutu serta perlu dilakukan pembaharuan. Rating tak ok, perlulah pembaharuan. Salah ke?

Jika ditambah tidak pula mereka membebel tetapi hendak diberhentikan sekejap kerana tujuan pembaharuan, maka pelbagai tuduhan dilemparkan termasuk dakwaan hendak mengurangkan atau mematikan program berbahasa Mandarin. Apa punya orang daa...

Sunday, December 14, 2008

APA NIAT SEBENAR MAJLIS PEGUAM?

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa sudah seminggu berlalu.

Pelbagai peristiwa sedih dan hiba dilalui oleh penduduk terutama mereka yang kehilangan orang terdekat. Rumah mereka hilang sekelip mata dan kini perlu memikirkan di manakah tempat sesuai untuk berteduh.

Jika laporan "keselamatan kawasan" itu hanya boleh dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan,penduduk yang terbabit perlu mencari tempat berteduh alternatif. Bagi yang memiliki dua tiga rumah, masalah tidak begitu mendesak. Bagaimana pula mereka yang hilang satu-satunya rumah dalam kejadian Sabtu lalu?

Dalam pada itu, dua persatuan penduduk "muncul" yang mengemukakan pelbagai pandangan berhubung tragedi tanah runtuh. Ada yang mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan yang bertindak pantas menyelamatkan mereka.

Mereka memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia yang menggunakan alat pembesar suara meminta mereka keluar segera sejurus kejadian tanah runtuh itu. Kumpulan ini tahu untuk berterima kasih kepada mereka yang telah membantu.

Namun, ada juga yang membuat pelbagai dakwaan termasuk menyatakan pasukan penyelamat lambat datang untuk membantu mereka. Apakah benar dakwaan mereka?

Dalam perkembangan yang sama, Majlis Peguam dengan beraninya mengesyorkan agar Rela yang anggotanya banyak membantu penduduk yang terbabit dengan tanah runtuh itu, dibubarkan. Siapa yang mengemukakan idea ini? Presiden? Setiausaha? Atau orang luar?

Apa yang mereka tidak tahu bahawa Rela yang anggotanya memberi khidmat secara sukarela, telah banyak membantu rakyat negara ini sejak dulu lagi. Mereka berkhidmat tidak kira masa termasuk menjaga keselamatan ketika majlis kenduri kahwin, pesta, perayaan dan keagamaan termasuk bertugas di kuil dan berhala.

Blogawan, C-BOK yang memuji sikap cemerlang anggota pasukan keselamatan ketika tragedi Sabtu lalu, mempersoalkan niat sebenar Majlis Peguam.

SIAPA LAYAK CAKAP PASAL RASUAH?

Ketika isu rasuah sibuk diperkatakan sekarang, persoalan yang timbul ialah siapakah yang layak untuk bercakap mengenai rasuah.

Kelayakan seseorang untuk bercakap mengenai rasuah sudah tentu mereka yang bersih daripada rasuah. Bersih bermaksud tidak pernah mengambil rasuah.

Kalau mereka sendiri yang melakukan rasuah, tidak payahlah beria-ia untuk memperkatakannya.

Dalam tulisan di blognya, Maharaja Blogger menyifatkan ada pemimpin negara juga tidak layak bercakap mengenai rasuah.

Betul ke tidak layak? Mengapa pulak?

KAYVEAS ELOKLAH KELUAR BN

Oleh Awang Selamat

Tindakan Presiden PPP, M. Kayveas menggugut untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) jika kerajaan tidak meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri , sudah keterlaluan.

Ia bukan kali pertama Kayveas berbuat demikian. Beliau pernah mengancam meninggalkan BN jika PPP tidak diberi kuota menteri dan kerusi Parlimen tertentu.

Beliau juga diketahui kerap membidas dasar kerajaan antaranya berkaitan isu Hindraf dan perkhidmatan awam. Sebab itu, Awang lega dengan reaksi Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi bahawa PPP bebas keluar BN.

Awang menghitung hari untuk melihat PPP keluar dan anehnya sampai hari ini, parti itu masih mahu kekal. Ternyata Kayveas tidak berlaku adil kepada BN. Setelah apa yang dilakukan, beliau masih mahu menjadi anggota komponen. Tindak- tanduknya tidak boleh dibiarkan lagi kerana ia akan terus menjadi duri dalam daging.

Selama ini pun, ramai melihat prestasi PPP di bawah Kayveas tidak menyerlah malah kini menjadi liabiliti kepada BN.

Menurut Penasihat PPP, S.I Rajah, Kayveas sepatutnya meletakkan jawatan kerana prestasi hambar sepanjang 15 tahun mengetuai PPP. Kayveas juga tewas teruk di kerusi Parlimen Taiping dan sepatutnya mengambil tanggungjawab dengan berundur.

Sentimen orang ramai juga negatif terhadap Kayveas. Berdasarkan bancian Utusan Online, hampir 70 peratus responden berpendapat Kayveas tidak wajar kekal dalam BN. Pada Awang, sudah sampai masanya BN perlu lebih tegas. Singkirkan saja PPP. Atau jika BN tidak cukup keberanian kerana mahu mengambil kira pelbagai faktor termasuk persiapan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, jangan beri kerusi pilihan raya umum akan datang kepada parti kecil itu yang tidak tahu diuntung.

(Renungan Rimau : Takyahlah hendak mengugut lagi. Keluar saja lebih baik. Sepatutnya sebagai pemimpin parti yang menjadi komponen BN, Kayveas patut tahu tujuan ISA dibuat. Kalau tak faham lagi, baik keluar saja BN. Taklah menyusahkan orang lain)

Saturday, December 13, 2008

BANGLA PUN TIPU BANGLA JUGA

Posting Ketiga - 6.35 petang

Semalam, saya menyaksikan bagaimana "cool" atau "kesabaran yang tinggi" seorang insan.

Tidak marah, walaupun arahannya tidak diikuti. Bersahaja dan ketawa. Memberi arahan semula dan terus mengingatkan agar arahannya diikuti. Bukan orang lain.

Yang bersalah pula, berusaha mencari jalan untuk menipu. Tapi tidak berjaya. Tapi mukanya selamba saja. Habuk pun tarak.

Mr Cool tetap cool sepanjang masa. Inilah insan berjiwa besar.

Semoga terus berjaya Mr Cool.

Posting Kedua - 1.40 petang

Salam juga menceritakan mengenai kejayaan rakan sekampungnya.

Rakan beliau yang pernah bekerja di Pulau Pinang dan Korea, kini seorang usahawan berjaya.

Rakan beliau yang berusia 34 tahun kini mempunyai tiga kedai di Afrika Selatan.

Kejayaan itu membolehkan rakannya menunaikan haji tahun ini.

Pagi tadi, rakan beliau sudah berada di Bangladesh dan mengikut budaya negara itu mereka yang baru kembali daripada mengerjakan haji akan "dikuarantin" dan "tidak boleh bercakap banyak" selama 41 hari.

Ini bermakna rakannya tidak boleh bercakap sembarangan dan tidak boleh terbang ke luar negara. Hanya boleh berada di sekitar kampungnya saja.

Selamat kurang bercakap.

Posting Asal - 11.29 pagi

Jika anda berpeluang berbual dengan rakyat asing yang bekerja di sini, tanyalah mereka pelbagai pengalaman pahit manis yang dihadapinya ketika berada di negara ini.

Mereka pernah ditipu, tidak makan dua tiga hari atau merempat di bawah jejambat. Ini gara-gara golongan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap mereka.

Pagi ini, saya bersembang dengan Salam, pekerja tempat mencuci kereta dari Bangladesh.

Bos pertamanya ialah orang Melayu yang bergabung dengan orang Bangladesh.

Tiada masalah pada peringkat awal sehinggalah bosnya, orang Bangladesh membuat hal. Gaji mereka tidak dibayar walaupun bos Melayu sudah menyerahkan wang itu kepada bos Bangla. Bangla tipu Bangla. Apa ni?

Seorang rakannya juga pernah ditipu oleh agensi dari Bangla. Rakan itu sepatutnya dihantar ke Afrika Selatan tetapi ditipu dan dibawa ke Malaysia.

Bangla pun tipu Bangla. Apa dah jadi?

LIMA MAUT DI AWAL PAGI

Lima maut di Jalan Syed Putra Kuala Lumpur pagi ini.

Wartawan RTM, Along Shafeek, memberitahu DT sebentar tadi.

Friday, December 12, 2008

SESEKALI PERLU JUGA MENGAUM

Posting Kedua - 7.50 malam

Kebetulan?

Khutbah Jumaat tengahari tadi ialah mengenai kepentingan mengawal perasaan marah.

Posting Asal - 9.58 pagi

Pagi ini, saya bertukar menjadi harimau.

Marah kerana kereta saya dihalang oleh lori penjual ayam di Bangsar.

Kejadian kereta dihalang ini bukan perkara baru. Sebagai penghuni kota, saya sudah biasa dengan keadaan berkenaan. Ini kerana masalah kekurangan tempat meletak kereta di Kuala Lumpur ditambah pula dengan bilangan kereta yang meningkat.

Double parking ini boleh dibuat tetapi dengan syarat ia tidak menyusahkan orang lain. Ada yang parking menghalang kereta orang lain tetapi lupa dengan keadaan itu sehingga menyebabkan orang terpaksa menunggu atau "sakit jiwa".

Jika kita menghalang kenderaan orang lain, adalah lebih baik jika diletakkan nombor telefon untuk dihubungi atau bertindak pantas apabila mendengar bunyi hon pertama.

Pagi ini, saya terpaksa membunyi hon hampir lima kali. Itupun tidak diendahkan tetapi jeritan saya yang kuat mungkin menyedarkan pemandu lori ayam itu. Beliau segera memindahkan kenderaannya.

Sesekali perlu menjadi harimau. Suara saja, tidak menggigit.

Wednesday, December 10, 2008

TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA (3)

Posting Kedua - 3.20 petang

Kerjasama antara anggota Pasukan Keselamatan untuk membantu mangsa tanah runtuh memaparkan keupayaan mereka dalam menghadapi bencana. Artikel saya dalam Sinar Harian .

Posting Asal - 11.21 pagi






(Kyoto Garden - penduduk kondominium ini turut "terkandas" selama dua hari)

Melihat kedudukan rumah dan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang seolah-olah melihat kesan serangan garuda terhadap penduduk di situ. Ia juga seperti gempa bumi berlaku di negara ini. Gempa bumi ini sebenarnya dibuat oleh manusia sendiri. Amat sedih. Gambar oleh DIY kecuali gambar DIY di tempat kejadian.

TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA (2)


(DASC berbual dengan salah seorang penduduk yang mahu pergi ke rumah mereka menggunakan jalan denai yang dibina oleh pasukan Tentera.)


(Brig-Jen Datuk Azman menerangkan sesuatu kepada DASC mengenai usaha yang dilakukan oleh ATM.)


(DASC bersama dengan seorang pegawai kanan Hotel Concorde yang menyediakan makanan untuk petugas dan mangsa tanah runtuh.)


(DASC, Datuk Khalid Abu Bakar dan Tan Sri Ismail Omar sedang mendengar penerangan daripada Brig-Jen Datuk Azman dari Kor Jurutera ATM. Turut kelihatan ialah Puan Saptuyah Samson dari Jabatan Penerangan yang bekerja keras memberi updates kepada wartawan dan penduduk terbabit.)

Lawatan Dato' Ahmad Shabery Cheek di kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Isnin lalu amat menggembirakan penduduk di situ kerana melihat pemimpin kerajaan turun padang. Beliau menemui penduduk di kawasan itu untuk mengetahui masalah yang dihadapi sejak berlakunya tragedi itu Sabtu lalu. Dato' Shabery yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara turut berbual dengan pihak yang menyediakan pelbagai bantuan termasuk makanan. Sehari sebelum itu, beliau menerima taklimat mengenai kejadian daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar. Gambar oleh DIY.

TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA (1)






(Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek bersembahyang Hari Raya Aidiladha dan kemudiannya bersalaman dengan penduduk di Bukit Antarabangsa)

Monday, December 8, 2008

BERHARI RAYA DI BUKIT ANTARABANGSA

Posting Ketiga - 9.15 malam

Salah satu insiden hari ini ialah tindakan dua rakyat Myanmar yang memakai jaket Tentera disoalsiasat oleh polis. Pekerja Myanmar itu dikatakan diarah oleh majikannya untuk membawa barang keluar daripada rumah. Yang menjadi hal ialah mengapa mereka memakai "jaket Tentera". Takyahlah mencari pasal ketika pihak berkuasa penat bertugas mengawal keselamatan. Jangan susahkan orang lain.

Posting Kedua - 8.50 malam

Pagi ini, saya berpeluang mengikuti pasukan keselamatan yang membawa Timbalan Pengerusi Bencana, Dato' Ahmad Shabery Cheek, melalui jalan alternatif yang dibuat oleh Tentera. Jalan ini untuk membolehkan pelbagai bantuan dibawa untuk "meringankan beban dan penderitaan" penduduk di taman yang tiada jalan keluar kecuali denai.

Saya dapat menyaksikan bagaimana Tentera berusaha membina jalan alternatif itu sejak dua hari lalu dengan mendapat nasihat daripada pakar tanah agar jalan itu tidak mendatangkan bahaya kepada bakal pengguna.

Akhirnya mereka menggunakan laman tepi rumah seorang penghuni untuk membina jalan permulaaan bagi jalan alternatif menerusi bukit ke beberapa taman perumahan di atas bukit termasuk Kyoto Garden.

Kami terpaksa melalui jalan yang belum siap untuk menyaksikan laluan itu sebelum Tentera menggunakan lapisan khas untuk menutup jalan yang berbecak itu. Akhirnya tugas membina jalan alternatif itu berjaya dan bantuan segera disalurkan.

Jalan alternatif itulah yang akan digunakan oleh penduduk untuk membawa keluar kenderaan mereka atau berulang-alik ke tempat kerja setelah mula bekerja esok.

Apa yang menarik ialah "penduduk di taman di atas bukit" berteriak riang apabila melihat kumpulan kami. Ada yang berpakaian baju Melayu mempelawa untuk menikmati "hidangan" hari raya aidiladha sambil bersempatan untuk bertukar-tukar pandangan dengan DASC. Antaranya ialah mengenai kawalan keselamatan.

Turut hadir dalam kumpulan kami ialah Timbalan KPN, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar. TS Ismail memberi jaminan bahawa Polis akan menjaga keselamatan mereka termasuk rumah yang ditinggalkan. Mereka yang menghadapi masalah segera membuat laporan agar siasatan boleh dijalankan.

Sebelum itu, DASC bertemu dengan Duta Romania, Petru Petra, yang tidak dapat keluar kerana jalan alternatif belum siap. Duta itu kemudiannya dibawa dengan 4WD Polis melalui jalan alternatif untuk membawanya ke bandaraya.

Posting Asal - 8.14 pagi


(Inilah surau yang digunakan untuk bersembahyang aidiladha oleh penduduk, anggota pasukan keselamatan dan petugas NGO. Gambar kurang baik sebab hujan.Alasan. NE90)

(Saya bersembahyang raya bersama penduduk di Bukit Antarabangsa. Selepas sembahyang aidiladha, semua petugas terus menjalankan tugas mereka)

Sunday, December 7, 2008

SALAM AIDILADHA

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pelayar blog DuniaTiger.

Semoga apa yang kita lakukan dulu, kini dan selamanya diberkati oleh Allah SWT.

PASSION VS "CARI MAKAN".

By Jailani Harun
(extracted from Jai's blog)

I remember journalism during the 80s and early 90s. So much fun, so much excitement and lots of energy. When I mention energy, the stories, the write-ups and the impacts were.

Journalism then was not only a profession but an arena to carry the people's voice across. The reporters did not depend much on assignment but created their own instead. They produced good analysis and comments to the satisfaction of readers.

However, it is sad to note that journalism nowadays is bound to mere reporting - no hard analysis. What appeared in the print media today are straight-forward reports, almost 85 per cent of which are politically-oriented and tailored to some leaders.

We dont have anymore good crime and court reporters who try to unearth the truth behind the scene, like what ex-Bernama reporter Ahmad Puad Onah (now with Grand Brillance) did until the early morning when Botak Chin was about to be hanged at Pudu Jail.

We dont have anymore the calibre of A Kadir Jasin, Hardev Kaur, Ahmad Talib and Ahirudin Atan who went deep into certain issues and produced materials of international standard for the newspapers.

Where are the likes of Nuraina Samad, Ibrahim Yahya, Jaafar Hussein, Abu Bakar Ismail, Nashruladdin (now with Malaysiakini) and Sufi Yusof who always made a non-issue topics into most interesting articles?

Reading newspapers and watching television nowadays are to confirm what we have heard on the streets, except for few.

Economic analysis are hard to come these days. During my tenure at Business Times, names like Fauziah Ismail, Kartini Kadir and Mustapa Kamil (Mus is still with NST) are the good ones. Ho Kay Tat, too got a class of his own.

Journalism after 2000 did not augur well to the business of the media institution itself. Most journalists are there to 'makan gaji'. Quality of reporting has taken a big dip ever since some 37 senior journalists (many of whom are Malays) left their respective media companies in 2000 or 2001.

During the 80s and 90s, we even sent out our reporters for a two or three month stint at foreign media in Japan, Korea, Indonesia, England and other countries on a reciprocal program.

We dont have that anymore. If not for foreign assignments to cover the Prime Minister or other senior leaders, our reporters would be geographically-blind.

No wonder the circulation of mainstream newspapers are taking a big dive of late. Why? The editors or the bosses are too busy with politics while their staffs are made to provide pillars to their interest.

Forget about good stories which concern the rakyat. Politic is numero uno!

(Tiger's Mind : Recently, during a conversation with me, the Information Minister couldnt hide his disappointment on what he experienced at two press conferences in Kuala Terengganu and Kuala Lumpur involving the Prime Minister. He was suprised that there was no question raised by the press on the event, but instead the questions posed were only about local politics. The events involved efforts by the government to create numerous jobs for the rakyat in East Cost under ECR. The other event was a regional seminar which was attended by leaders from all over the world. What a shame! Nowadays,..journalists dont have to do their homework ka?)

HILANG SEGALANYA DALAM TANAH RUNTUH

Posting Kedua - 5.30 petang

Ketika menonton RTM semalam, saya dapat menyaksikan bagaimana pasukan keselamatan terdiri daripada Tentera, Polis, Bomba dan Penyelamat, Smart Team, Jabatan Perkhidmatan Awam, PBSM, NGO bertungkus-lumus membantu mangsa tanah runtuh.

Mereka menjalankan tugasan masing-masing. Ada yang mengawal keadaan di tempat kejadian, ada yang membina denai dan jalan, ada yang membantu mereka yang cedera dan menghantar pesakit ke hospital, ada yang menyediakan minuman dan makanan.

Mereka bertugas tanpa mengira masa dan keadaan. Basah ketika hujan lebat dan sejuk ketika angin bertiup kencang. Basah kuyup. Digigit nyamuk. Macam-macam lagi. Penderitaan orang lain adalah juga penderitaan mereka. Mereka berkhidmat demi kepentingan masyarakat.

Yang menyakitkan hati ialah golongan yang menyebabkan malapetaka ini berlaku. Ini kerana menurut pakar geologi, Datuk Dr Ibrahim Komoo, tanah runtuh adalah bencana yang disebabkan oleh manusia. Oleh kerana ada manusia cuai dan tamak, maka berlakunya tanah runtuh. Tanah runtuh meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.

Di manakah mereka yang "jahat" ini berada sekarang? Paris, London atau New York?

Marilah kita mencari mereka sehingga dapat.

Posting Asal - 1.59 petang.

Ketika bersembang dengan rakan-rakan malam tadi, topik perbualan kami sudah tentulah mengenai kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, yang menyebabkan empat orang terkorban. Salam takziah kepada keluarga mangsa.

Dalam kesedihan itu, kami juga berbincang mengenai nasib yang akan menimpa mangsa yang kehilangan harta benda. Hilang rumah dan kenderaan. Hilang barang-barang berharga termasuk perabot mahal atau barangan kemas yang tertimbus.

Keadaan ini sudah tentulah menjadi satu tekanan setelah melalui peristiwa pahit. Segala kehilangan itu tidak akan dapat "diganti" kerana bencana alam tidak termasuk dalam perlindungan insurans. Melainkan mereka menginsuranskan barangan di syarikat tertentu. Jika tidak, hilanglah segala-galanya.

Dalam pada itu, tindakan rakyat negara ini yang prihatin dan berjiwa besar dengan menghantar pakaian dan makanan ke tempat perlindungan sementara, adalah tindakan terpuji dan perlu dicontohi.

Semoga semangat seperti ini sentiasa subur dan dikekalkan. Tahniah kepada golongan ini.

Saturday, December 6, 2008

TANAH RUNTUH DI BKT ANTARABANGSA

Posting Keduabelas - 4.45 petang

Warta Khas RTM jam 4.30 petang tadi memaparkan air mengalir deras di sebuah taman di kawasan bencana kerana air sungai di situ melimpah masuk kerana ditimbus tanah. Penyampainya, Rosli Nordin, juga meminta orang ramai tidak perlu berpusu-pusu datang ke tempat kejadian kerana ia akan "menyesakkan" tempat kejadian dan menghalang usaha mencari mangsa yang tertimbus dan pemindahan mangsa bencana. Ia bukan satu pesta tetapi malapetaka. Mereka perlu faham.

Posting Kesebelas - 4.15 petang

Bagi penduduk beragama Islam di beberapa taman di Bukit Antarabangsa, kejadian tanah runtuh hari ini adalah satu dugaan sempena menyambut Aidil-Adha kali ini. Ia satu dugaan besar yang menyaksikan ramai kehilangan tempat tinggal dan ada pula kehilangan nyawa orang terdekat. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini. Setakat ini, tiga terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang bermula jam 3.50 pagi tadi.

Posting Kesepuluh - 1.59 tengahari

Pasukan Penyelamat termasuk Smart Team kini bertungkus-lumus untuk memastikan mangsa tanah runtuh selamat dan mereka yang tertimbus ditemui segera. Air daripada sungai berdekatan mulai melimpah memasuki kawasan bencana. Ada banglo yang "bergerak" dan ranap daripada tempat asalnya kerana tolakan tanah.

Posting Kesembilan - 11.9 pagi

Jalan menuju ke Bukit Antarabangsa ditimbus oleh tanah setinggi bukit. Usaha untuk membersihkan tanah itu dijalankan untuk membolehkan "jalan" dibuat bagi membolehkan lebih 3,000 penduduk keluar daripada kawasan bencana. Itu yang dilaporkan oleh Unit Bencana RTM yang mengadakan siaran langsung dari semasa ke semasa. Sebuah banglo dilaporkan ranap teruk dan mengelongsor mengikut tanah di situ.

Posting Kelapan - 10.26 pagi

Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Tajuddeen Wahab, yang tinggal di kawasan itu dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Penduduk yang dibawa keluar pula ditempatkan di suatu tempat tinggal sementara.

Posting Ketujuh - 9.10 pagi

Sibotak melaporkan tanah di kawasan itu tidak stabil dan mula bergerak. Jika anda di kawasan itu, mungkin boleh melaporkan untuk kepentingan pembaca kita.

Posting Keenam - 8.50 pagi

Laporan wartawan meja jenayah RTM, Along Shafeek, memberitahu DT bahawa 18 dilaporkan masih hilang dan 96 penduduk di kawasan itu sudah mendaftar. Teruskan bersama RTM untuk mengikuti siaran langsung dari Bukit Antarabangsa. Tiga wartawan meja jenayah RTM berada di lokasi iaitu Along, Gaddafi dan Taufik. Operasi pasukan keselamatan diketuai oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Posting Kelima - 8.35 pagi

Semua wartawan tidak dibenarkan berada berdekatan kawasan tanah runtuh. Mereka diminta berada kira-kira 500 meter daripada kawasan bencana sekarang. Ini termasuk wartawan RTM yang sudah berada sejak jam 6 pagi tadi. Oleh itu, mungkin visual tempat kejadian secara dekat tidak dapat dipaparkan oleh RTM. Marilah kita mengharapkan pihak berkuasa memberikan kebenaran kepada RTM untuk membuat laporan lebih dekat dengan kawasan berkenaan.

Posting Keempat - 8.15 pagi

Seorang pelayar DuniaTiger - KARLBUM, melaporkan kakak iparnya tidak boleh keluar. Mungkin tidak boleh keluar daripada rumah atau kawasan runtuh terbabit. Marilah kita berdoa agar kakak ipar beliau selamat dan dilindungi tuhan.

Posting ketiga - 7.21 pagi.

RTM melaporkan dua mayat dikeluarkan - dewasa dan kanak-kanak. Enam sekeluarga dikatakan masih tertimbus.

Posting Kedua - 7.01 pagi

Warta Pagi RTM1 jam 7 pagi menyiarkan siaran pertama kejadian itu.

Dalam laporan itu disiarkan visual banglo mewah tertimbus dan pasukan penyelamat termasuk menggunakan helikopter sudah berusaha mencari mangsa. Lima yang dikeluarkan ditempatkan di surau berdekatan dan mereka yang cedera pula dihantar ke hospital.

Posting Asal - 6.44 pagi.

Tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa. Laporan awal menyatakan 10 buah banglo tertimbus.

Friday, December 5, 2008

ADA BUTA SEJARAH, ADA GILA BARU

Tahniah kepada pihak yang berusaha mengekalkan Stadium Merdeka. Usaha mereka berbaloi kerana menerima anugerah daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Saya masih ingat ketika ada "orang gila" yang hendak memusnahkan Stadium Merdeka itu, ramai yang berani bersuara walaupun ketika itu suara mereka mungkin kecil berbanding "gergasi" yang bukan saja kuat, tetapi diberi perlindungan.

Namun, tempat bersejarah bagi rakyat Malaysia dijaga oleh tuhan, maka projek itu tidak dapat dilaksanakan dan Stadium Merdeka dipulihara semula. Akhirnya, mereka mendapat anugerah UNESCO.

Kebelakangan ini, ramai yang buta sejarah. Kerana buta sejarah, mereka menjadi gila dan hendak memusnahkan sejarah. Sejarahlah yang akan "memakan" mereka.

ZAHID MINTA JEMAAH JAGA KESIHATAN

Kini, 26 ribu jemaah haji Malaysia berada di tanah suci itu untuk menyertai kira-kira empat juta jemaah haji lain di seluruh dunia.

Wukuf di Arafah, kemuncak ibadah haji hanya tinggal dua hari lagi.

Wartawan RTM, Adnan Ghailan, malam tadi melaporkan Masjidil Haram sudah melimpah ruah dengan jutaan jemaah berusaha mendapat tempat di dalam masjid utama umat Islam ini.

Jemaah yang berada di luar terpaksa berpuas hati kerana setiap inci ruang kosong dipenuhi.

Semakin dekat harinya semakin bersungguh-sungguh jemaah beribadah bukan setakat yang wajib tetapi juga yang sunat.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga diri dan kesihatan .

Tegas beliau, jangan memaksa diri kerana matlamat utama menyempurnakan kewajipan haji yang merupakan rukun Islam ke 5.

Beliau meminta saudara mara dan umat Islam di Malaysia bersama-sama mendoakan supaya hajat haji jemaah dimakbulkan.

(Renungan Rimau : Semoga Zainal dan Norsimah tabah menghadapi segala dugaan. Halim, Hisham dan Manja juga diharapkan berada dalam keadaan yang baik.)

Thursday, December 4, 2008

TAMBAH SATU TAHUN LAGI

Hari ini, hari istimewa. Setahun lagi sudah berlalu menuju ke countdown.

Untuk itu, saya ada teka teki.

Apa dia apabila kita beli warna hitam dan ketika digunakan warna merah tetapi apabila dibuang berwarna kelabu?

(Posting tru NE90 - Pelita Bangsar)

Wednesday, December 3, 2008

TIDAK PAYAH TIMBUL ISU BASI

Posting Kedua - 5.05 petang

Apa yang dimaksudkan ketuanan? Baca artikel di Utusan Malaysia hari ini.

Posting Asal - 11.10 pagi


Dua hari ini saya menghadapi masalah keracunan makanan.

Tiada daya untuk menulis blog, setakat hanya menyiapkan ruangan Belang Bertempat dalam Sinar Harian hari ini.

Apabila keracunan makanan sudah tentulah masalah cirit-birit dan muntah.

Perkataan muntah ini sering saya kaitkan apabila ada pihak timbulkan isu Ketuanan Melayu. Dalam ertikata lain, apabila ada pihak yang membangkitkan isu Ketuanan Melayu ini, tekak saya berasa loya dan hendak muntah.

Tidak hairanlah dua hari ini saya terasa hendak muntah.

Rupa-rupanya ramai pemimpin politik yang menimbulkan isu Ketuanan Melayu.

Berhentilah. Tidak payahlah sentuh isu itu lagi.

Tumpukan usaha membabitkan kepentingan rakyat.

Sunday, November 30, 2008

1 SEN 1 KEHIDUPAN

Kebelakangan ini, saya banyak "melihat" duit satu sen di pelbagai tempat seperti di gerai, stesen bas atau di tepi jalan. Adakalanya, saya melihat duit lima sen atau sepuluh sen di tepi jalan. Ia "terbiar" dan orang ramai tidak menghiraukannya.

Saya pun tidak mengutipnya kerana kebiasaannya "melihat" duit itu dan terpaksa bergegas ke tempat lain kerana mesyuarat atau urusan penting. Alasan, katakan.

Jika dulu, ketika berjalan kaki ke sekolah rendah di Masjid Tanah, saya sering berangan-angan untuk menemui duit siling ini untuk berbelanja. Ketika itu, nasi lemak boleh dibeli dengan harga lima sen saja. Jika menjumpai sepuluh sen, sudah pasti kenyang kerana dua bungkus nasi lemak boleh dinikmati. Dah tua ke?

Oleh itu, alangkah baiknya blogawan memulakan satu kempen "1 sen 1 kehidupan" untuk mengutip duit siling ini untuk disedekahkan kepada sesiapa saja yang bermula. Jika 10 satu sen dikumpul, ia menjadi 10 sen. Jika seratus ia menjadi seringgit. Seribu satu sen menjadi sepuluh ringgit.....dan seterusnya. Amacam?

Saya yakin blogawan di negara ini semuanya baik-baik belaka. Jika projek ini boleh diteruskan mungkin ia boleh dijadikan inisiatif blogawan Malaysia. Tiadalah pula orang mengatakan blogawan di negara ini perangai "entah apa-apa" saja.

Sebenarnya, idea ini bukanlah original atau tulen daripada saya. Ini kerana saya baru menonton CNN yang melaporkan British Airways mengutip derma daripada penumpang mereka untuk diserahkan kepada usaha membantu HIV di Afrika.

Ambil idea untuk kebaikan atau kepentingan orang ramai bukankah satu perkara yang baik. Betul tak?

SYUKUR HIDUP DI NEGARA YANG AMAN

Posting Ketujuh - 10.10 malam

ALJAZEERA : Stesen TV itu melaporkan apa yang berlaku di Mumbai seolah-olah menunjukkan bahawa "jalan air" kemungkinan digunakan oleh penyerang untuk masuk ke bandar itu. Wartawan Aljazeera juga melaporkan bahawa ada persatuan nelayan yang pernah membuat laporan kepada polis mengenai "gerak-geri" orang tertentu yang amat mencurigakan.

Negara kita dikelilingi air. Setakat ini, semuanya selamat kecuali penyeludup "gudang garam" dan penyeludup "manusia" yang mencuba nasib sepanjang masa.

Posting Keenam - 7 malam

REUTER: Penyerang di Mumbai menggunakan alamat di Malaysia untuk menyewa rumah di sana. Baca di sini .

Posting Kelima - 6.35 petang

INDIA : Ketua Keselamatan Negara India mahu meletakkan jawatan.

Angka 26-11 di Mumbai, India sama seperti 9-11 di Amerika Syarikat?

Posting Keempat - 4.20 petang

NIGERIA : Kekacauan berlaku di Nigeria dan ramai yang terkorban.

Posting Ketiga - 4.16 petang

BANGKOK : Lima puluh orang cedera dalam serangan menggunakan bom di Thailand.

Posting Kedua - 4.07 petang

INDIA : Menteri Dalam Negeri India, Shivraj Patil, mahu meletakkan jawatan, berikutan kejadian serangan pengganas di Mumbai baru-baru ini. Kejadian itu menyebabkan lebih 190 orang terkorban dan lebih 300 cedera.

Posting Awal - 3.40 petang

Mendengar jawapan spontan rakyat Malaysia yang baru pulang dari Bangkok,Thailand dan Mumbai, India yang disiarkan oleh media elektronik sejak dua hari lalu, menyedarkan kita bahawa betapa bertuahnya tinggal di negara ini.

Malaysia yang aman dan tiada kekacauan.

Rata-rata mereka bersyukur kejadian kekacauan seumpama itu tidak berlaku di Malaysia. Mereka yang mengalaminya dan sudah tentu mengetahui betapa peritnya tinggal di negara yang menghadapi kekacauan dan serangan pengganas.

Seperti dinyatakan oleh Dr Azmi Hassan daripada Centepis UTM dalam temuramah di Warta Perdana RTM1 Khamis lalu, kekacauan di sini boleh dielakkan kerana Malaysia mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang berjaya menghalang kekacauan daripada berlaku.

Pandangan beliau itu disokong oleh Ketua Pemuda MIC, T Mohan, yang dalam temuramah dengan wartawan RTM meminta rakyat negara ini sedar betapa pentingnya akta dan undang-undang mencegah yang berjaya mengawal kekacauan di negara ini.

Akta yang berusaha membanteras ancaman keselamatan yang boleh melumpuhkan negara. Ini termasuk tindakan golongan yang sengaja mahu mewujudkan suasana huru-hara termasuk pelampau agama yang bercita-cita menawan negara ini.

Ketika ada pihak yang mahu ISA dihapuskan atau dikaji semula, majoriti rakyat negara ini memahami keperluan untuk mengekalkan akta itu demi untuk menjamin keselamatan mereka di samping menghindarkan perbuatan sabotaj oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Saturday, November 29, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU

Penyampai Warta Perdana RTM, Fathil Hidayat, hari ini melangsungkan perkahwinan di Johor Bahru.

Semoga pasangan ini kekal ke akhir hayat.

CNN TERUS JADI HAKIM DUNIA

Posting Ketiga - 11.26 pagi

Ketua Pengarah Keselamatan berkata dua penyerang dibunuh di Hotel Taj Mahal. Seorang komando Black Cat terbunuh. Polis kini masuk ke Hotel Taj Mahal untuk memastikan keselamatan di dalam hotel itu terjamin. Ada penghuni hotel tidak membuka pintu ketika serangan komando dilakukan kerana takut diserang pengganas.

Posting Kedua - 11.15 pagi

Dua penyerang maut. Ketua Pasukan Komando India dilaporkan oleh TV India sebagai berkata operasi di Hotel Taj Mahal sudah berakhir. Apapun pasukan keselamatan akan membuat sidang akhbar sebentar lagi. Beratus wartawan berebut-rebut untuk mendapatkan tempat di hadapan sidang akhbar itu.

Posting Asal- 10.07 pagi

Semua pihak ingin tahu siapakah yang bertanggungjawab dalam serangan di Mumbai yang menyebabkan lebih 150 terkorban dan 300 cedera.

Ketika ini, seperti biasa tuduhan dilemparkan kepada pihak pelampau Islam. Ada pihak iaitu Deccan Mujahidin yang dikaitkan dengan Mujahidin India mengaku melakukannya.

Dua hotel yang diserang ialah Hotel Taj Mahal dan Hotel Eberoi menyebabkan ramai yang terkorban. Selain itu, sebuah pusat Yahudi - Chabad juga ditawan.

Ketika laporan ini ditulis semua televisyen utama dunia termasuk CNN, BBC dan Aljazeraa membuat liputan sejak dua hari lalu.

Ketika ini, pertempuran antara pasukan keselamatan India dengan kumpulan yang menyerang dan menawan Hotel Taj Mahal berlaku. Ini menyebabkan bunyi letupan dan tembakan kedengaran. Di beberapa tempat di Hotel Taj Mahal, kebakaran berlaku. Pasukan bomba baru sebentar tadi cuba memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, dalam banyak laporan yang disiarkan nampaknya CNN kini beria-ia benar untuk mengaitkan serangan itu dengan Pakistan.

Dalam temuramah dengan pemimpin India dan Pakistan, CNN nampaknya ingin membawa penontonnya bahawa Pakistan adalah pihak yang bertanggungjawab dengan serangan itu. Dalam satu temuramah dengan pemimpin Pakistan, soalan bertalu-lalu mengatakan Pakistan terbabit dihamburkan.

Bagi BBC, mereka hanya menyatakan tindakan itu dilakukan oleh pihak pelampau saja.

AlJazeera pula menemuramah pakar yang memberi pandangan seimbang yang menyatakan ada kemungkinan pasukan dari Pakistan tetapi ada juga hanya satu dakwaan. Mereka menemuramah Adil Najam - pakar politik Asia Selatan dari Universiti Boston.

Baginya, serangan itu dibuat oleh pelbagai pihak mungkin pengganas dalaman. "Kita tidak boleh membuat tuduhan begitu saja. Biarlah pihak berkuasa mencari buktinya." Beliau juga mempersoalkan mengapa Presiden Bush dan Presiden-Elect Obama tidak membuat kenyataan sejak dua hari lalu. (Tiba-tiba temuramah dengan Ajil terputus. Pengacara berkata diharapkan "kejadian putus itu" tidak terbabit dengan konspirasi apabila Adil menyatakan mengenai Presiden Amerika itu.) Satu kebetulan?

Yang menariknya, selepas kejadian serangan itu, Pakistan menghantar pakar keselamatan dan perisikan untuk membantu India dalam menentukan siapakah yang bertanggungjawab.

Friday, November 28, 2008

DATUK RAZALI MENINGGALKAN KITA

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland dekat sini kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama hari ini.

Al-fatihah.

(Renungan Rimau : Datuk Razali adalah seorang pakar dalam bidang pendidikan. Perlantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran adalah amat tepat. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh. Amin)

PASTIKAN YANG BAIK BERTAMBAH BAIK


(Amokh)

(DCK)

Blogawan Rocky Bru menulis mengenai pertukaran peneraju GLC Malaysia sekarang. Antara yang disebutkan ialah Tan Sri Azman Mokhtar (Khazanah) dan Datuk Seri Che Khalid (TNB).

Harapan saya, apa yang berlaku dalam GLC perlu memberi manfaat kepada semua pihak terutama rakyat jelata yang menerima perkhidmatan mereka.

GLC gemilang, rakyat senang. GLC cerdik, hidup rakyat baik.

Ada beberapa GLC atau agensi kerajaan yang masih "bersih" daripada skandal dan penyelewengan. Ini termasuk Petronas dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menjadi harapan rakyat Malaysia agar GLC ini terus bersih dan gemilang.

TUANKU TENGKU BUDRIAH MANGKAT

Raja Perempuan Besar Perlis, Tuanku Tengku Budriah Tengku Ismail telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.47 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Almarhum yang juga bonda Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin mangkat pada usia 84 tahun.

Bagi menghormati kemangkatan almarhum, rakyat negeri Perlis akan berkabung selama tiga hari mulai hari ini.

Ia diumumkan dalam pengisytiharan oleh Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu, pagi tadi menerusi Radio Perlis FM pada jam 7.15 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Almarhum dibawa pulang dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat TUDM.

Jenazah seterusnya menerima penghormatan terakhir keluarga dan rakyat jelata di Istana Arau, Perlis sehingga jam 3 petang.

Rakyat pelbagai kaum dan peringkat hadir menghormati Almarhum yang disifatkan dekat dengan rakyat semasa pemerintahannya sebagai Raja Perempuan Perlis dan Raja Permaisuri Agong.

Turut hadir pemimpin negara termasuk Menteri-menteri Kabinet.

Al-Fatihah.

Thursday, November 27, 2008

RAMPAGE IN INDIA CITY - 82 KILLED

Teams of gunmen stormed luxury hotels, a popular restaurant, hospitals and a crowded train station in coordinated attacks across India's financial capital, killing at least 82 people, taking Westerners hostage and leaving parts of the city under siege Thursday, police said.

A group of suspected Muslim militants claimed responsibility.- AP.

LAT ADALAH IKON NEGARA

Lukisan Lat amat unik dan istimewa. Ia menyentuh perasaan kita. Lukisannya membuat kita memandang ke dalam diri sendiri selain menghayati paparan yang dipersembahkan. Lukisannya Lat menerjah ke seluruh dunia. Lat adalah kebanggaan negara.

Khas buat pengumpul setem dan peminat kartun Lat, Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan setem Kartun Malaysia Lat yang merupakan siri animasi popular pada tahun 1998.

Pelancaran kartun Malaysia Lat, disempurnakan Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama kartunis Lat atau nama sebenarnya, Datuk Mohamad Nor Khalid.

Setem kartun Lat menawarkan empat tema; 'The kampung boy', 'Permainan anak kampung', 'Guru sekolah yang garang' dan Town Boy. Setiap satu berharga 50 sen.

Setem ini juga, antara tumpuan pada pameran 'Jom ke minggu Setem 2008 yang akan berlangsung di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur bermula 1 hingga 7 Disember ini. Masuk percuma dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Selain jualan setem dan filateli, pelbagai acara menarik turut diadakan.

Antaranya pertandingan merekabentuk setem dan meneka kuantiti setem dengan hadiah lumayan. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://www.pos.com.my atau menghubungi talian 03 -2274 1122.

Wednesday, November 26, 2008

MILENIA MUSLIM - DISEMBER 2008



Sahabat, Zulkafly Baharudin, suruh baca artikel Mior Kamarul Shahid mengenai media arus perdana dalam ruangannya - Mato-Mato Media. Jangan lupa temuramah dengan Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

TIDAK MAHU BAYAR HARGA AMBIENCE?

Ambience secara mudah boleh diterjemahkan kepada suasana atau keadaan sekeliling sesuatu tempat. Sebagai contoh ambience dalam sebuah restoran termasuklah dari segi decoration, kerusi meja atau perhiasan di sekelilingnya.

Ia mungkin juga boleh dikaitkan dengan keadaan kebersihan atau bau-bauan di restoran itu.

Jika masuk ke kedai mamak, anda akan mendapat "bau percuma". Ada yang keluar daripada restoran mamak mendapat bau kari atau bau roti canai. Pagi ini, DRH mendapat bau kari Restoran Syed. Nasib masing-masing.

Perkataan ambience ini pernah dikaitkan dengan seorang bekas Presiden sebuah negara. Selepas makan, beliau meminta bil makanannya. Apabila melihat bil yang terlalu tinggi, beliau bertanya kepada pegawai khasnya mengapa harga makanan itu mahal.

Pegawainya menyebut bahawa beliau bukan saja perlu membayar harga makan itu saja tetapi ia termasuk ambiencenya sekali. Lalu, beliau berkata kepada pegawainya bahawa beliau tidak mahu membayar harga ambience itu tetapi hanya mahu membayar makanan. Lain kali jangan pergi ke restoran yang kena bayar ambience. Apa punya Presiden lah?

Ambience tempat kerja juga menentukan seseorang itu boleh bertahan atau terpaksa berundur. Dalam ertikata lain jika ambience atau suasana di tempat kerja tidak menyeronokkan, sudah pasti seseorang itu akan meletakkan jawatan.

Melainkan orang yang bersikap tidak kisah atau berkulit sekeras "gajah". Ataupun tiada pilihan.

Bagaimana ambience di tempat kerja anda?

Tuesday, November 25, 2008

BERZIKIR DI PADANG GOLF?

Ketika bersekolah, saya suka bermain ragbi.

Apabila sudah bekerja, saya mula berjinak-jinak dengan sukan bowling dan mencuba golf selama setahun. Bagaimanapun, bowling masih terus menjadi permainan utama pada masa lapang.

Baru-baru ini, ketika bersembang dengan seorang pegawai tinggi ATM, saya diberitahu beliau dan isteri gemar bermain golf bersama.

Pada hari minggu dan cuti, pagi-pagi lagi beliau sudah keluar bermain golf dengan isteri. Kira-kira jam 9 atau 10 pagi, beliau akan balik ke rumah untuk bersarapan dengan anak-anak.

Apa yang menarik dalam perbualan itu, beliau menerangkan riadah bermain golf digunakannya untuk berzikir. Menurutnya, ketika berjalan di padang golf itu, beliau mengambil peluang untuk bersenam dan berzikir.

Inilah peluang keemasannya untuk beribadat sambil bersukan. Katanya, jika di atas tikar sembahyang pun, belum tentu beliau boleh berzikir berjam-jam seperti di padang golf.

Idea yang bagus. Kita boleh amalkan.

Monday, November 24, 2008

JANGAN ULAS JIKA TIDAK TAHU

Oleh Yunus Alias

Beberapa fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dijadikan polimik umum.

Beberapa NGO bukan Islam membuat kritikan terbuka terhadap sesuatu fatwa dan fungsi majlis berkenaan yang dianggap menumpu kepada perkara kecil dan remeh.

Kenapa NGO bukan Islam membuat pandangan sebegitu?

Mereka jahil tentang maksud fatwa dan fungi Majlis Fatwa Kebangsaan melindungi kesucian Islam di negara ini.

Kita analisis isu fatwa ini dan melihat kewajaran kritikan NGO berkenaan.

Tajuk analisis kita ialah: FATWA: JANGAN MUDAH MENGHUKUM.....

Sejak kebelakangan ini pelbagai pihak bercakap mengenai Fatwa.

Mereka mungkin tidak menyedari perkara yang dibincangkan itu amat sensitif dan menghina kesucian agama Islam.

Mereka tidak memahami apakah Fatwa. Bagaimana fatwa itu menjadi begitu penting dalam mengatur kehidupan umat Islam di seluruh dunia.

Apakah kaitan fatwa dengan hukum-hakam Islam?

Mereka sebenarnya bukan mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi mereka jahil tentangnya beranggapan fatwa itu sama seperti perundangan lain.

Inilah yang berlaku. Persepsi mereka perlu diperbetulkan.Mereka perlu diberi kefahaman mengenai fatwa supaya tidak mempertikaikan sesuatu fatwa .

Dalam hubungan ini kita tidak boleh menghukum mereka.

Tangungjawab kita bagi menjelaskan fatwa dan fungsinya dalam kehidupan umat Islam.

Kita percaya mereka tidak bertujuan untuk menghina Islam dengan memandang remeh terhadap sesuatu fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Mereka mungkin terpengaruh dengan media yang membincangkan sesuatu fatwa meskipun perbincanghan itu dalam lingkungankepentingan umat Islam.

Cadangan menghukum pihak bukan Islam yang dikatakan mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa amat tidak wajar sama sekali.

Hukuman mungkin dikenakan jika perkara sama berlaku selepas penjelasan dan pemahaman secukupnya diberikan kepada mereka.

Pada peringkat ini kita tidak sewajarnya menganggap teguran pihak bukan Melayu terhadap fatwa sebagai penghinaan terhadap kesucian Islam.

Antara fatwa yang diperkaikan ialah pengkid dan senaman Yoga.

Majlis Fatwa Kebanghsaan mengharamkan kedua-dua perkara itu kerana ia bertentangan dengan syariaat Islam.

Bagi senaman yoga, majlis itu mendapati amalan membabitkan gerakan fizikal,bacaan mantera dan pemujaan menyatukan diri dengan Tuhan bertentangan dengan syariat Islam.

Beberapa NGO memberikan pandangan mereka sebagai reaksi terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Mereka dilihat seolah-olah mencabar majlis itu apabila ada pandangan meminta majlis berkenaan memberikan fokus kepada isu lain yang lebih serius.

Mereka juga memberi pandangan amalan berkenaan tidak mengancam kedudukan Islam.

Apakah reaksi kita terhadap komen-komen seperti itu?

Sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh berusuara dan memberikan pandangan.

Bagaimanapun ia mempunyai batas-batasnya agar tidak menyentuh dan menghina agama orang lain.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga tidak terkecuali. Fatwa yang diputuskan mesti diterima pakai oleh umat Islam di negara ini.

Umat Islam tidak boleh mempertikaikan fatwa berkenaan.

Ia menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda.

Apakah Enakmen ini terpakai bagi orang bukan Islam.

Seksyen 298A Kanun Keseksaan boleh digunakan bagi orang bukan Islam yang menghina agama Islam.

Kita perlu bersikap rasional dan realistik dalam isu fatwa ini.

Menghukum tanpa pertimbangan yang adil akan dilihat sebagai tidak bertamadun.

Oleh itu usaha perlu dilakukan bagi memberi kefahaman mengenai fatwa kepada bukan Islam supaya mereka faham dan menghormati kesucian agama Islam dan tidak mempertikaikan lagi sesuatu fatwa yang dikeluarkan.

Bagi umat Islam fatwa adalah panduan yang perlu dipatuhi bagi menghindar berlaku perlanggaran terhadap hukum Islam.

Jika perbuatan atau amalan kita bertentangan dengan hukum Islam, kita akan menanggung dosa dan terpesong akidah.

(Renungan Rimau : Berhati-hati jika hendak memberi pandangan mengenai fatwa. Apatah lagi jika yang memberi pandangan itu tidak tahu atau tidak berapa cerdik).

Sunday, November 23, 2008

WAKTU SESUAI MAKAN CENDOL?

Bilakah agaknya orang ramai suka makan cendol?

Pasti ramai yang akan menjawab waktu panas.

Salah.

Wak Herman, penjual cendol dari Paya Jaras memberitahu saya, waktunya ialah ketika angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan ketika waktu redup. Bukan waktu panas.

Itu jawapan peniaga cendol lebih 20 tahun.

Hari yang digemarinya? Jumaat kerana boleh membuat jualan yang banyak. Sebelum dan selepas Jumaat.

Jika hujan, beliau "tutup kedai" dan balik ke rumah.

Beliau bukan saja membuat cendol tetapi juga gula dan air batunya sendiri. Ada peti sejuk besar untuk membuat air batu.

Pendapatan? Paling sedikit ialah RM50 sehari.

Ada blogawan yang hendak tukar profesion?

ANAK DAN HANTU MENOLAK BAPA

Semalam, balik kampung di Melaka.

Mendengar cerita daripada Zek mengenai jiran kami. Selang beberapa rumah.

Kisah mengenai seorang anak tidak baik dengan bapanya.

Akibatnya, bapa yang sudah kematian isteri membawa diri tinggal bersama adik perempuannya yang sudah berkeluarga. Maka tinggallah tujuh orang dalam sebuah rumah kecil. Rumah kos rendah.

Anak tidak pernah menjengok bapa, apatah lagi berhubungan dengannya.

Alasan yang diberikan anak ialah "bapa kahwin lagi" ketika bekerja di Singapura.

Ini menyakitkan hati anak itu dan ibunya.

Hakikatnya, bapa tidak pernah kahwin dua. Itu hanya anggapan anaknya.

Selepas pencen, bapa balik bersendirian untuk tinggal di rumahnya. Kemudian tinggal bersama anak. Tetapi anak tidak melayannya. Maka bapa berpindah ke rumah adik.

Pada mulanya bapa tinggal di rumahnya sendiri. Rumah yang dibuat di tanah anugerah bapanya. Tetapi lama kelamaan, beliau takut untuk tinggal berseorangan. Ini kerana "ketakutan" melihat pelbagai jenis makhluk di rumah itu. Rumah itu ada "hantu".

Tiada pilihan. Anak tidak menerimanya dan rumah sendiri banyak "hantu".

Sedih. Anak menolak bapa. "Hantu" pun menyuruh bapa pergi.

Minta dijauhkan.

Friday, November 21, 2008

ROMBAKAN KABINET UNTUK MCA SAJA?

Setakat ini, dua kali Perdana Menteri menyebut mengenai rombakan Kabinet. Yang terbaru ialah semalam.

Blogawan, KUDA KEPANG mengulas perkara itu yang menyebut ketika ini pihak yang ada kaitan dengan rombakan itu sedang menunggu dengan penuh minat.

Saya melihat rombakan itu mungkin hanya membabitkan wakil MCA dan Gerakan kerana kedua-dua parti itu baru saja selesai pemilihan pucuk pimpinan masing-masing.

Mungkin ia tidak membabitkan Ahli Parlimen UMNO kerana parti itu akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan pada Mac ini. Sudah pasti Perdana Menteri akan mengambil pertimbangan mengenai perkara itu kerana Mac hanya beberapa bulan lagi.

Jika ada perubahan dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO, sudah pasti ada keperluan untuk mengadakan rombakan Kabinet ketika itu. Oleh itu, tidak mungkin ada Menteri yang hanya dilantik selama empat bulan saja.

Tetapi, semuanya tidak mustahil.

Menteri sekarang tiada dalam Kabinet selepas rombakan? Tidak mustahil juga.

KERAJAAN PERAK MAKIN TERDESAK?

RTM terus membongkar apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak sekarang.

Semalam dalam Warta Perdana RTM1 jam 8 malam, mereka menyiarkan kenyataan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli.

Dato' Seri Mohd Tajol membongkar rahsia Menteri Besar sekarang Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang memperolehi banyak projek sebelum ini ketika beliau menjadi Setiausaha PAS Perak.

Ahli-ahli Dewan dikatakan terkejut dengan penjelasan yang diberikan Dato'Seri Mohd Tajol Rosli itu.

Mereka bagaikan tidak percaya seorang yang berhemah seperti mohd Nizar boleh menidakkan nikmat yang diberikan kepadanya sebelum ini

Yang perlu menjadi renungan rakyat Perak ialah sikap sebenar Menteri Besar yang dipilih mereka sebelum "kampong tergadai" tidak disedari.

Thursday, November 20, 2008

SHAHRIZAT LAWAN RAFIDAH

Datuk Shahrizat Jalil akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO menentang Tan Sri Rafidah Aziz pada Mac ini. Keputusan itu diumumkan petang ini. Itupun jika TS Rafidah masih tidak berganjak dengan pelan peralihan pada Jun 2009 atau mahu mengundurkan diri.

(Renungan Rimau : Kalau saya jadi Shahrizat, saya tidak mahu umum bertanding jawatan Ketua Wanita. Tetapi umum tidak bertanding jawatan Naib Ketua Wanita dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Kamilia Ibrahim. Kemudian saya tunggu. Jika tiada jawapan sehingga tarikh akhir untuk menghantar borang pencalonan, baru saya umum bertanding. Amacam? Bagus tak rancangan itu?)

JANGAN SUKA SEBAR FITNAH

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dalam penampilan pertamanya sejak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu meminta semua pihak berhenti menyebar fitnah terhadap Timbalan Perdana Menteri dan isteri.

Beliau berkata, dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor pernah menemui Altantuya adalah tidak benar.

Abdul Razak berkata demikian pada sidang akhbar di Hotel Maya di sini hari ini. – Utusan.

(Renungan Rimau : Ketika menemuduga calon yang mahu mencari kerja, saya pernah bertanya apa dosa besar yang mereka pernah buat. Antara jawapannya ialah - berjudi, menipu emak keluar malam, ponteng sekolah atau minum arak. MasyaAllah, rupanya mereka tidak tahu apa itu "dosa besar". Apa yang disebutkan itu ialah dosa kecil yang boleh menjuruskan kepada dosa besar. Saya suruh mereka balik buka kitab semula. Untuk pengetahuan adik-adik - zina dan fitnah itulah antara dosa besar yang perlu dielakkan. Jika dah buat, kena bertaubat. Siapa yang fitnah Tun Dr Mahathir Mohamad zalim pada DSAI perlu minta maaf kepada TDM. Baru-baru ini, ada seorang sahabat menyesal kerana salahsangka kepada TDM. Beliau mahu berjumpa TDM untuk minta maaf kerana baru tahu apa yang sebenarnya berlaku.)

Wednesday, November 19, 2008

MALAYSIA MANFAATKAN INTERNET

BANGKOK — Malaysia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan Singapura adalah negara di Asia Pasifik yang penduduknya paling ramai memanfaatkan kemudahan Internet dengan 55 hingga 80 peratus penduduknya mempunyai akses kepada Internet menjelang 2007.

Sebagai perbandingan, lima negara menduduki tangga paling bawah — Myanmar, Timor-Leste, Tajikistan, Bangladesh dan Kemboja — mempunyai kurang satu peratus daripada penduduknya menggunakan Internet manakala purata bagi rantau ini ialah 20 peratus.

Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bagi Asia dan Pasifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unescap) berkata disebalik kemajuan pesat di Asia dan Pasifik dalam memanfaatkan teknologi maklumat (ICT), masih wujud perbezaan ketara antara negara perpendapatan tinggi dan negara berpendapatan rendah dalam akses kepada Internet.

Katanya masih wujud jurang besar walaupun kajian menunjukkan penggunaan telefon dan Internet mencatatkan peningkatan dalam tempoh lima tahun lepas sejak Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Maklumat (WSIS) pertama kali diadakan pada 2003.

“Bagaimana untuk menangani ’jurang digital’ ini menjadi fokus pada mesyuarat yang sedang berlangsung di Bangkok dengan peserta terdiri daripada pakar ICT daripada kerajaan, akademik, PBB dan agensi antarabangsa lain dan sektor swasta, termasuk Microsoft,” kata Unescap dalam kenyataan.

Agensi itu berkata jumlah pengguna telefon bimbit meningkat hampir 70 kali ganda di Asia Selatan antara tahun 2000 dan 2007 dan lebih 40 kali ganda di Asia Tengah manakala di Asia Tenggara, yang secara kolektifnya mempunyai pasaran yang lebih maju, jumlah penggunanya masih tumbuh kira-kira 10 kali ganda.

“Namun, pertumbuhan paling pesat dicatatkan di negara paling miskin di rantau ini. Negara yang paling kurang membangun di rantau ini adalah kumpulan yang menyaksikan penggunaan telefom bimbit meningkat hampir 80 kali ganda,” katanya.

Mesyuarat kumpulan pakar itu, WSIS+5 dan Isu Baru di Asia dan Pasifik, berobjektif sebagai platform untuk membincangkan aspek teknikal pembangunan ICT dan pandangan pakar mengenai isu utama — seperti masalah berkaitan infrastruktur — yang perlu ditangani di peringkat serantau.

Antara isu dibincangkan ialah status semasa ICT dan pelaksanaan Pelan Tindakan WSIS di rantau Asia-Pasifik dan isu utama yang mengekang komunikasi melalui ICT di negara-negara membangun.

Juga dalam agenda ialah integrasi ICT dalam program pengurangan risiko bencana yang efektif, sebagai contoh, dengan menyediakan penyelesaian teknikal seperti sistem amaran awal, sistem komunikasi lebih baik untuk membantu usaha pemulihan selepas kejadian bencana di seluruh rantau ini. - BERNAMA

(Renungan Rimau : Gunakanlah internet untuk kebaikan. Adalah lebih baik blogawan syok sendiri daripada memfitnah orang lain. Kalau syok sendiri, seseorang blogawan itu mungkin membuat orang menganggapnya pelik atau spesies tertentu, tetapi jika blogawan itu berbohong atau memfitnah, ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk mencemarkan imej orang lain).

CUTI SEKOLAH NAK PERGI MANA?

Sehari sebelum cuti sekolah, Cynta mengemukakan soalan ini kepada mamanya, "Cuti ini hendak pergi mana?. Mamanya diam seketika. "Tengoklah, jika daddy ada cuti." jawabnya ringkas seolah-olah berusaha mematahkan soalan seterusnya.

Semalam, Cynta mengemukakan soalan yang hampir sama, "Cuti ini, kita tidak boleh pergi Australia ke mama?. Mamanya diam seketika. Dalam kepalanya tidak tahu untuk menjawab soalan itu. Namun, kerana "kepintarannya", beliau memberi jawapan ini. "Kita tunggulah. Nanti, daddy buat keputusan."

Daddy?????

(Renungan Rimau: Mungkin perlu dianjurkan satu summer camp di Australia yang mana penganjur memastikan kanak-kanak selamat dan bergembira di sana. Yang penting, harganya murah dan munasabah. Daddy takyah pergi. Tapi..summer camp di Malaysia pun ok juga jika ada penganjur yang bijak menyusun program yang membina otak. Tentu ada, tetapi yang terbaik di mana nak cari. Dulu Datuk Hassan Ali ada menganjurkannya. Kini, beliau dah jadi "hero" di Dewan Undangan Negeri Selangor. Fahamannya pun dah lain. Ahh...summer camp di Subang Jaya sajalah).

Tuesday, November 18, 2008

PAKLAH TIDAK MAHU MEMIHAK


(SHAHRIZAT : "Alaa bezanya tiga bulan saja, pendek sangat. Apa punya barang". RAFIDAH : "Dia ni ke yang nak lawan saya?". Gambar oleh AGENDADAILY)

SAYA TIDAK MAHU MEMIHAK...Dalam reaksi pertamanya mengenai isu Wanita UMNO, Paklah berharap mereka dapat menyelesaikannya secara matang menjelang Perhimpunan Agung UMNO Mac depan. "Ketika ini, saya tidak mahu berkata apa lagi, saya nak dengar dulu. Saya sebenarnya tidak mahu ganggu. Saya berpihak di sini, orang sana marah, berpihak di sana, orang sini marah, maklumlah semua nak suruh kita berpihak kepada dia," katanya menjawab soalan wartawan Malaysia di Tashkent, Uzbeskistan. - AGENDANEWS.

Baca juga tulisan Hanafiah Man di AGENDADAILY .

(Renungan Rimau : Semua sudah besar. Ada yang besar dari segi saiz. Mereka bolehlah berfikir sendiri. Biarkanlah mereka selesaikan masalah dalam kain.)

Monday, November 17, 2008

PENGARAH MALAYSIA MENANG ANUGERAH

Chris Chong Chan-fui membanggakan Malaysia.

Filem beliau BLOCK B menang Hadiah Filem Pendek Antarabangsa di Festival Filem Antarabangsa Mar del Plata, Argentina.

Tahniah.

Sunday, November 16, 2008

BERHENTILAH MEMBUAT TUDUHAN (2)


(Jen Aziz dan Jen Azizan di Kem Bukit Jugra, Banting, semalam. DIY terlindung di tengah. Gambar Utusan Malaysia.)

Bacalah artikel ini yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 12 November lalu.

Oleh Raja Syahrir Abu Bakar

PERBARISAN Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-75 di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Khamis lalu nyata meriah sekalipun ketumbukan itu baru-baru ini menerima berita yang agak ‘merunsingkan’.

Lebih tepat, berita yang dimaksudkan adalah mengenai penangguhan pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 yang dijangka hanya mula diperoleh pada tahun 2011, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata, penangguhan itu terpaksa dilakukan dalam keadaan negara mengalami krisis ekonomi global, memberi ruang peruntukan itu disalurkan kepada sesetengah segmen masyarakat yang lebih memerlukan.

Dengan tenang, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal pada sidang akhbar selepas perbarisan itu memberitahu, pesawat-pesawat Nuri yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berkeadaan baik dan boleh digunakan sehingga 2015.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang turut hadir lantas mempersetujui kenyataan Abdul Aziz tadi malahan mereka berdua sependapat tempoh tersebut masih boleh dipanjangkan sekiranya ATM, khususnya TUDM meneruskan kerja-kerja penambahkbaikan ke atas Nuri dari semasa ke semasa.

....BACAAN ARTIKEL SETERUSNYA DI AKHBARCYBER .

(Renungan Rimau : Apabila Malaysia memiliki kapal selam, ramai yang berpendapat apa gunanya kita membeli dan memilikinya kerana musuh boleh menyerang bila-bila masa menggunakan peluru berpandu untuk menghancurkan kapal selam kita. Dalam ertikata lain, kita tidak sempat lari, peluru berpandu itu telah menghancurkan kapal selam kita. Inilah fikiran singkat. Kita memilikinya kerana pelbagai guna. Bukan untuk pergi perang saja tetapi menjaga kepentingan negara seperti perairan negara yang banyak minyak. Gunakanlah akal sedikit sebelum bercakap. Lagi satu, pasal Eurocopter, pelbagai tuduhan dilemparkan seolah-olah kerajaan tidak "amanah dan cekap" dalam pembelian itu. Tanyalah ATM yang akan menyangkal segala tuduhan itu kerana mereka adalah golongan profesional yang menyaring semua tender yang dikeluarkan. Jika tender itu mengikut prosedur termasuk diperakui oleh PAC, yang turut dianggotai oleh anggota pembangkang, mengapa isu itu selalu dimainkan. Pandai pula menggunakan sentimen "nyawa" anggota tenteralah atau isu "joy ride". Tahu tak mereka bahawa ada juga kapalterbang yang belum "siap" lagi, tetapi banyak negara sudah menandatangani perjanjian untuk membelinya. Tengoklah kepada nama pembuatnya. Sudah tentulah kita tidak beli daripada pengeluar yang tidak ada rekod baik. Satu lagi Eurocopter itu sudah banyak digunakan di pelbagai negara dan terbukti amat berkesan. Jangan mempolitikkan isu pembelian sehinggakan kita terpaksa terus menggunakan Nuri dan apabila ada "kejadian tidak diingini", kerajaan juga yang dipersalahkan. Gunalah otak sikit.)