Thursday, September 11, 2008

KEKALKAN HIDUP BAHAGIA DI MALAYSIA

Menonton laporan pengenalan Nur Islam di Afrika di Buletin Utama TV3 jam 8 malam tadi menginsafkan saya betapa bertuahnya rakyat di negara ini dapat menyempurnakan ajaran Islam dalam keadaan yang bebas dan sempurna. Begitu juga penganut agama lain.

Laporan Azura Zainal Ratin itu memaparkan bagaimana pihak keselamatan Tanzania melepaskan tembakan rambang kepada umat Islam yang baru keluar sembahyang Jumaat di sebuah masjid yang menyebabkan lebih 30 orang terbunuh.

Footage televisyen malam tadi menunjukkan umat Islam bergelimpangan di jalan raya dan kejadian mereka di pukul dengan kayu serta disepak terajang, amat menyayatkan hati.

Ini kerana dasar kerajaan negara itu yang menindas umat Islam dengan dakwaan tertentu termasuk dikatakan menggunakan masjid sebagai tempat melindungi penjenayah dan dakwaan wujudkan imam yang mencerca agama lain sedangkan ia sebaliknya.

Di Malaysia, umat Islam bebas mengerjakan tuntutan agama dengan pembinaan masjid di seluruh negara di bawah kerajaan yang pernah diberi pelbagai gelaran oleh pembangkang termasuk "kafir". Malah pemimpinnya juga digelar "firaun".

Begitu juga penganut agama lain termasuk Kristian, Buddha dan Hindu yang bebas mengamalkan anutan agama mereka. Malah, di Selangor lebih banyak kuil dibina daripada masjid sedangkan jumlah penganut Hindu lebih kecil berbanding umat Islam.

Di kawasan kediaman saya di Subang Jaya, Selangor, ada tiga kuil besar yang dibina di penempatan majoritinya bangsa Melayu. Ini tidak menghairankan kerana sebelum ini kawasan ini adalah ladang kelapa sawit yang ditukarkan menjadi kawasan perumahan.

Saya juga setiap hari melihat penganut Hindu melakukan upacara agama mereka di kuil dalam perjalanan ke tempat kerja. Ini kerana kuil itu betul-betul terletak di tepi jalan yang membolehkan sesiapa saja melihatnya. Tiada sebarang masalah.

Bagi saya, selagi umat Islam di negara ini bebas untuk mengerjakan tuntutan agama tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak, mereka akan hidup gembira dan bersedia untuk berkongsi hidup di negara tercinta ini dengan sesiapa saja.

Bagaimanapun, ketika ada yang cuba membuat sesuatu yang "menyakitkan" hati mereka, sudah tentu mereka tidak duduk diam dan akan mempertahankannya di titisan darah terakhir. Lihatlah bagaimana Forum Memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam ditentang oleh semua pihak termasuk pemimpin pembangkang yang beragama Islam.

Kini ada cadangan yang bobrok untuk tidak membenarkan azan diperdengarkan di masjid-masjid di Selangor (pembesar suara tidak boleh dihalakan ke luar tetapi ke dalam masjid saja). Ia satu pekembangan tidak sihat malah mampu menimbulkan ketegangan.

Selain itu, ada usaha meminta peruntukan 30 peratus daripada kewangan Majlis Agama Islam Selangor untuk kegiatan agama lain seperti dibongkarkan oleh bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor, dalam ceramahnya di Permatang Pauh, bulan lalu. Cadangan ini juga tidak sihat dan amat mengganggu fikiran.

Saya berdoa agar cadangan dan sebarang usaha yang "menyakitkan" hati orang Melayu perlu diberhentikan kerana mengambil kata-kata hikmat Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang berbunyi begini, "Jika orang Melayu gembira di negara ini, orang lain pun akan gembira juga" adalah satu ungkapan paling tepat. Fahamilah.

14 comments:

abe MIE 'TERJAH' said...

http://pkrpasdap.blogspot.com

melayu adalah bangsa menumpang begitulah datuk.

melayu dikaji asal-usul dari keturunan indonesia. kalau begitu senang kita kaji kejadian manusia daripada adam hawa. kalau evolusi barat,manusia dari beruk.

sepatutunya kajian perlu terarah dalam masa 600 tahun kebelakangan dan sekitar 50tahun bagi kewarganegaraan dianggap pendatang.

PAS dan PKR tak kisah kalau melayu jadi pendatang haram di negara sendiri.

ibrahim yahaya said...

Sdr Abe Mie,

Melayu yang berpayungkan Raja-Raja Melayu adalah bangsa teras atau "core" di negara ini manakala kaum lain adalah kumpulan yang dibawa masuk oleh British ke Tanah Melayu untuk tujuan pekerjaan. Ini sejarah dan tidak boleh diubah. Semua pihak faham dan tidak akan terasa jika ia dijelaskan dengan baik dan bukan dipermain-mainkan.

Tidak hairan, ketika membentuk Perlembagaan, pengasas bangsa bersetuju untuk memasukkan yang hak dan batil di dalamnya. Ini termasuk hak keistimewaan Melayu dan hak kerakyatan kepada bukan Melayu. Ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ia sudah dipersetujui dan dihayati. Orang Melayu tidak boleh berkata kepada kaum bukan Melayu supaya balik ke negara asal mereka kerana Malaysia sudah menjadi tanah tumpah darah mereka. Apatah lagi yang dilahirkan di sini. Mereka sepakat untuk tinggal di negara ini bukan seperti berjuta rakyat China di Indonesia yang balik ke negara asal apabila Sukarno meminta mereka berbuat demikian jika tidak mahu mengikut apa yang ditetapkan oleh kerajaannya ketika itu termasuk menukar nama kepada nama Indonesia bagi membentuk bangsa Indonesia. Malaysia tidak berbuat demikian.

Oleh itu, semua kaum perlu bersikap sebagai warganegara Malaysia iaitu memahami dan mengikut apa yang terkandung dalam Perlembagaan dan bukan bersikap sebagai "warga asing" yang mahu mengubah ini dan itu tanpa memahami sejarah negara. Ini penting agar sesiapa saja tidak dilihat sebagai "orang yang tidak rasional" dalam membuat tuntutan yang tidak masuk akal. Fahamilah.

Anonymous said...

melayu nak hidup kaya,
hidup bahagia ni hanya melayu yang miskin dina saja.

melayu nak kuasa saja
hidup bahagia ni hanya melayu yang baru dapat kerja je.

MAWAR BERDURI said...

Dear Mr. Tiger

Ramai manusia bila dia membaca, melihat dan mendengar..dia akan mendapat pengajaran daripada pengamatannya terhadap sesuatu perkara, topik hari ni cukup kan menginsafkan kita yang melihat bahawa tidak ada yang lebih penting dari harga sebuah keamanan, tapi sangat menyakitkan minda dan hati pabila ada manusia2 yang sudah tidak endahkan keamanan demi membeli sebuah kuasa atas nama keadilan.

Ingin membentuk kerajaan rakyat atas dasar dia ingin menjadi Raja lah 2.

Mempertikaikan hak pribumi atas dasar perkongsian. tapi landasannya perkongsian yang tidak pernah seimbang dan menidakkan hak penduduk asal yang menjunjung kedaulatan Agama dan Bangsa.

Apa saja yang dikata dan di kota dikatakan dusta. sedang mereka datang merata2 menabur cerita kononya dari fakta sejarah padahal untk merebut kuasa dan harta mau bawa p penjara kali???? mudah2an.

Salman Madani said...

Salam,

Pada masa yang lalu, dan mungkin pada masa ini juga, orang Melayu selalu bertolak ansur dan suka mengalah.

Kadang-kadang pemimpin Melayu tidak berani bersikap tegas, ketika sepatutnya mereka bertindak dengan tegas.

Walaupun dalam kes tertentu, sikap ini mungkin ada baiknya, tapi ia juga membayangkan kelemahan orang Melayu yang mungkin boleh diambil kesempatan oleh orang lain.

Oleh itu, pemimpin Melayu mungkin perlu juga merenungkan kembali adakah tindakan yang mereka ambil selama ini betul ataupun salah.

Anonymous said...

assalamualaikum tok rimau
sebenarnya sebagai salah satu agama terbesar dibenua afrika umat islam disana juga tidak dapat lari dari cabaran dan dugaan tidak seperti kita di malaysia yang bebas dalam anutan masing2
mungkin kerana itu juga sikap tidak ambil peduli dan tahap sensitiviti terhadap orang islam di malaysia semakin rendah dari kaum lain..
sebenarnya bukanlah niat mereka utk kerajaan meluluskan terus permintaan mereka seperti mana tuntutan untuk universiti mereka pada zaman pra dan baru2 merdeka dulu, tetapi ia hanya sebagai isyarat awal untuk agenda mereka seterusnya..
ini akan berlaku nanti jika pemimpin tidak peka dan tidak cukup bijak untuk menanganinya
kita terpaksa akur yang kita hidup dalam masyarakat majmuk yang terpaksa menghormati satu dan lain tetapi jangan sampai melampau kerana semua benda ada hadnya, even the sky still we call it a limit
junkopile

Anonymous said...

Salam semua...
Melayu terlalu lembut hati dan amat bersopan santun dalam kehidupan mereka seharian. Orang Melayu memang sudah dijadikan demikian hasil didikan orang tua dan agama. Kalau kita nak ubah sikap orang Melayu, kita juga terpaksa mengubah semua ciri-ciri kehidupan mereka yang sudah berakar umbi beratus/beribu tahun yang lalu.

Anonymous said...

Salam Ramadan Al Mubarak Datuk...

Perkembangan politik di negara kita sehingga ke hari ini tidak terlepas dari unsur-unsur perkauman. Apa yang paling menggusarkan hati kita ialah apabila dengan beraninya hak Islam cuba disanggah oleh bangsa lain. Sebagai contoh, saranan Teresa Kok untuk tidak menyiarkan azan kepada awam oleh surau dan masjid adalah suatu saranan yang paling mencabar kewibawaan Islam.

Hal ini tidak boleh dibiarkan dan dipandang mudah oleh kita yang beragama Islam. Ini agak keterlaluan. Kita sudah sedia maklum seruan azan di masjid dan di surau adalah untuk mengajak umat Islam untuk mengerjakan solat. Jika masjid dan surau tidak debenarkan menyiarkan azan menghala ke arah luar, apa kes? Bila kita sebut sikit perihal bangsa lain menumpang, tau lak mereka marah...

ibrahim yahaya said...

Sdr Anon,

Bahagia lagi penting daripada kaya. Ada orang kaya yang ada pelbagai fobia, tidak akan bahagia dan selalu dalam keadaan risau. Umpamanya, keselamatan mereka. Setiap hari mereka sentiasa berhati-hati dari segi keselamatan diri dan keluarga. Apa akan jadi pada dirinya, isteri dan anak-anak di sekolah. Adakah ada orang yang akan menculik anaknya di sekolah? Macam-macam lagilah.

Jika anak orang miskin mencuri atau menagih dadah, mungkin kita boleh fahamilah kerana desakan hidup. Tetapi ada juga anak orang kaya yang menagih dadah. Alasan? Terlalu banyak duit sehingga tidak tahu hendak buat apa dengan duit itu. Oleh itu, beli dadah atau pil ectascy untuk berseronok.

Oleh itu, eloklah jadi orang kaya bahagia, tidak fobia dan keluarga yang kehidupan mereka teratur. Anak isteri pulang rumah setiap hari dan tidak berpeleseran. Anak tidak terbabit dalam jenayah dan penagihan dadah. Anak tidak bunuh orang. Anak-anak faham dan hayati ajaran agama. Isteri daripada golongan yang solehah dan pandai menjaga keluarga. Bukan keluar pagi dan balik malam tanpa tujuan. Anak pula terbiar "tiada" beribu.

ibrahim yahaya said...

Sdr Harun Al-Rashid,

Teresa Kok dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini menyatakan beliau tidak pernah memberi cadangan dan saranan agar azan diperlahankan di semua masjid di Selangor. Katanya, maklumat yang disebarkan itu adalah niat jahat yang ditaburkan oleh golongan tertentu. Teresa berkata, beliau sudah biasa dengan azan berkenaan.

amirul said...

Salam Tok Tiger,

Boleh caya ke tu Tok? Atau hanya menafikan saja kenyataan yang telah dibuat oleh Teresa kok?

Ataupun ini pun satu konspirasi BN untuk mewujudkan sensiviti perkauman? Biasala tu apa yang pembakang buat semuanya betul!

Mengapa pemberian air 20m3untuk kawasan selangor dilanjutkan sehingga 31 Dec ini? Mengapa tak sampai PRU13?

Anonymous said...

Keadaan akan jadi susah apabila ada pihak2 yang akan membangkitkan kemarahan antara kaum untuk tujuan politik. Menimbulkan perasaan kurang senang kepada musuh untuk menarik perhatian kaum bukan Melayu. Ini salah satu punca masalah ini.

Tinta Biru said...

Salam Datuk,
Apa yang saya tonton di TV 3mengenai Nurislam di Afrika memang menginsafkan. Sampai begitu sekali kekejaman yang mereka lakukan pada mat Islam namun saya sentiasa berdoa semoga ALLAH memberikan kekuatan pada kita semua tanpa mengira bangsa dan agama agar diberi kekuatan untuk mempertahankan perpaduan dikalangan kita kerana apa yang berlaku di AFRIKA tidakakan berlaku diBUMI kita MALAYSIA selagi kita berpegang teguh kepada perpaduan dan persahabatan kita sesama kaum.

Anonymous said...

Alahai... saudara Ibrahim Yahya pun turut memutar alam ya? Inilah masalahnya orang yang pro-UMNO. Sudah sesat. Kembalilah ke jalan yang benar.

Siapa cakap ada orang yang tak nak benarkan azan di masjid tertentu di Selangor?

Cuba rujuk fakta dan laporkan fakta.

Jangan buat andaian.

Orang-orang macam saudaralah sebabnya berlaku perpecahan antara kaum, kerana mengungkitkan isu-isu yang tidak wujud.

Saya cabar saudara sertakan sumber maklumat yang boleh dipercayai (selain Utusan Malaysia ya, sebab itu propaganda kerajaan) yang menyatakan ada orang yang mahu "tidak membenarkan azan diperdengarkan di masjid-masjid di Selangor", seperti yang saudara dakwa itu.

Sekian.