Tuesday, September 9, 2008

JAUHI BALA, BANYAKKAN PAHALA

Antara golongan yang mendapat berkat dan banyak pahala pada Ramadan ini ialah golongan peniaga makanan dan minuman. Itupun jika mereka menyediakan makanan/minuman dengan bersih dan menggunakan bahan masakan yang halal belaka.

1. Memastikan daging/ayam yang digunakan halal dan bukan dibeli daripada golongan yang tidak diketahui dari mana punca mereka mendapat bekalan. Jangan menggunakan daging daripada ternakan yang berpenyakit atau dicuri daripada kandang atau reban.

2. Memastikan penyediaan makanan itu bersih termasuk ketika memotong sayur, daging atau ayam di tempat yang tidak kotor seperti di tepi longkang atau meletakkan bahan makanan di atas simen yang kotor. Peniaga juga perlu memilih hanya sayur-sayuran yang bersih dan baik saja serta memastikan tiada ulat atau kotoran yang terlepas pandang. Bagi yang menggunakan telur ayam atau itik, adalah digalakkan membasuhnya terlebih dahulu sebelum memecah telur itu ke dalam kuali atau periuk. Jika tidak dibasuh, tahi ayam yang melekat di telur itu akan terus "terjun" ke dalam kuali atau periuk.

3. Memastikan makanan yang disediakan benar-benar masak dan bukan mengambil sikap sambil lewa atau hentam keromo saja. Makanan yang tidak dimasak akan menyebabkan pelanggan sakit perut atau menerima malapetaka. Pastikan makanan yang sedang dimasak diawasi untuk menggelakkan ia tercemar. Pengawasan mungkin dilupakan kerana peniaga sibuk meneliti masakan lain yang dimasak serentak.

4. Memastikan makanan yang sudah dimasak ditutup dengan baik bagi memastikan lalat tidak menghingapinya yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Jangan ingat bahawa orang lain tidak melihat tindakan kita, maka kita biarkan makanan itu terbiar di atas meja yang mungkin dijamah oleh binatang lain termasuk kucing, tikus, lipas atau cicak. Peniaga perlu memastikan makanan itu bersih dan sentiasa bersih.

5. Memastikan makanan itu dimasukkan ke dalam bekas yang bersih dan teratur ketika hendak di bawa ke gerai yang mungkin terletak beberapa kilometer daripada rumah. Jangan memasukkan makanan itu ke dalam beg plastik tetapi perlu menggunakan bekas yang sesuai agar mutunya sentiasa baik dan terjamin. Belanjalah sedikit untuk membeli bekas-bekas yang sesuai.

6. Memastikan makanan yang dihidangkan di gerai sentiasa bersih sepanjang masa. Jangan biarkan lalat atau serangga lain tumpang singgah atau menikmati makanan itu. Jika makanan itu sudah dihinggapi lalat, pastikan makanan itu dibuang dan jangan dijual kepada pelanggan. Jangan menggunakan surat khabar untuk menutup makanan kerana bahan pencetak yang ada di akhbar itu akan masuk ke dalam makanan.

7. Memastikan makanan yang elok saja dijual. Jangan menjual makanan basi atau tidak boleh dimakan sehingga menyebabkan pembeli menghadapi keracunan makanan. Jangan jual makanan semalam. Begitu juga penjual air minuman yang perlu memastikan air yang dijual itu bersih dan tidak tercemar. Gunakan ais yang bermutu tinggi dan bukannya bongkah ais yang kotor dan terbiar.

8. Memastikan diri bersih dan memakai pakaian bersih. Jika menggunakan apron, pastikan apron itu bersih dan perlu cuci jika ia kotor dan menjijikkan. Mesti menggunakan apron yang bersih setiap hari. Eloklah peniaga memakai topi atau mengikat rambut untuk menggelakkan rambut atau kelimumur jatuh ke dalam makanan.

9. Jika berniaga ikan bakar, pastikan ikan yang dibakar itu benar-benar masak dan bukan separuh masak yang boleh menyebabkan pelanggan sakit perut. Pilihlah ikan yang segar dan terbaik untuk dijual. Jangan menggunakan ikan yang hampir busuk atau matanya sudah merah tetapi "menutupnya" dengan menggunakan sambal atau kunyit yang banyak ketika membakarnya.

10. Memastikan makanan yang dijual tidak basi terutamanya makanan yang disediakan sejak awal pagi seperti bubur atau lauk pauk. Kebiasaannya jika tukang masak menggunakan santan yang tidak baik atau lama, lauk-pauk akan cepat basi.

11. Jangan menggunakan bahan perisa "satu bakul" untuk menyedapkan makanan. Adalah lebih baik tidak menggunakan bahan perisa bagi menggelakkan lebih ramai rakyat Malaysia berkepala botak atau mendapat penyakit kronik. Jangan gunakan terlalu banyak cuka yang boleh menyebabkan sakit perut. Elakkan menggunakan bahan berasid dalam makanan.

12. Jika anda tidak sihat kerana batuk kronik atau menghidapi selsema yang teruk, tidak payahlah berniaga kerana kuman daripada penyakit anda akan berhijrah ke makanan. Pastikan anda sihat agar makanan pun bersih dan menyelerakan.

Jauhi bala dan perbanyakkan pahala pada bulan berkat ini.

Pelanggan pun, eloklah masak sendiri jika ada masa.

8 comments:

sumandak bayu said...

Salam Tok Tiger,

Sebenarnya inilah yang sangat-sangat diharapkan oleh semua pelanggan.

Walau pun gerai kecik/warung tapi tahap kebersihan tetap jugak dijaga.

Tapi yang lebih afdal kalo kita dapat masak sendiri cuma masa kita ja tak mengizinkan......Apa pun pelanggan kena juga pilih makan demi kesihatan.

ibrahim yahaya said...

Sdr Sumandak Bayu,

Salam kembali.

Jika kita masak sendiri, semuanya dalam kawalan kita. Kita boleh menjaga kebersihan makanan, tidak terlebih garam, tidak menggunakan perisa, basuh telur ayam, pastikan ikan itu segar, sayur tidak berulat, santan segar dan banyak lagi.

Rendang ayam isteri yang sedap sentiasa dijadikan "pembuka selera" ketika berbuka puasa. Hanya perlu dipanaskan saja. Ketika sahur, hanya menikmati cereal, susu dan kurma. Agar Ramadan mendapat keuntungan jiwa dan jasad.

Tinta Biru said...

Salam Datuk,
Betul kata datuk saya sokong 100%, Kadang2 ada peniaga yang bersikap sambil lewa dalam penyediaan makanan. Tak berbaloi dengan duit yang kita gunakan untuk membeli makanan tu bila waktu berbuka rasa kuih yang dibeli semcam je. Dengan tawar nye, ada yg terlebih garam, lepas tu yang sakit hati sangat jual makanan yang dah basi. maksudnya makanan semlm yang tak habis jual dijual semula keesokan hari. Tu yang sakit hati sangat. Sebab tulah sampai sekarang lebih baik masak sendiri untuk hidangan keluarga lagi SEDAP. duit pun JIMAT.

ibrahim yahaya said...

Sdr Tintabiru,

Salam kembali.

Saya merasakan dalam bulan puasa ini, kita boleh merancang dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur.

Elok juga kita mendidik keluarga untuk makan makanan yang "berat" seperti nasi dan lauk tetapi pada waktu bersahur hanya menikmati makanan "ringan" seperti cereal dan susu. Jika diamalkan akan menjadi perkara biasa.

Ketika berbuka, mungkin kita boleh menetapkan hanya makan nasi, sayur, ikan/daging/telur goreng dan satu lauk saja. Tumpuan mungkin hanya diberikan kepada persediaan untuk masak lauk sedangkan sayur dan ikan/daging/telur mudah dilakukan. Ada juga pihak yang membuat rendang daging/ayam dan hanya perlu dipanaskan apabila ingin menikmatinya.

Semua bahan masakan ini boleh disediakan ketika "waktu lapang" umpamanya hari minggu atau bercuti. Oleh itu, sebenarnya kita boleh masak sendiri jika kita merancang dengan teliti. Cubalah.

Anonymous said...

Halal dan bersih harus diutamakan. Tetapi tahun ini makanan di Bazaar Ramadan sangat mahal.

ibrahim yahaya said...

Sdr Puterabumi,

Buatlah pertimbangan dengan baik. Jika teringin sangat hendak makan, tetapi harganya mahal sedikit, maka eloklah beli. Jangan fikir sepuluh kali. Takut kempunan nanti dan tidak semena-mena tergolek di lantai. Jika teringin atau mengidam tetapi pandai memasaknya, eloklah masak sendiri.

Apapun, hanya belanja sikit dalam bulan Ramadan. Jangan beli banyak sangat sehingga membazir, poket pun bocor dan saiz badan pun mula naik. Kerugian jiwa dan jasad.

Unknown said...

saya dah banyak tahun tolong ayah saya berniaga gerai. jadi masak/biasa sangat dengan cara/style/culture orang berniaga gerai ni..

kita kena observe betul betul orang yang berniaga musim ramadhan ni.. selalunya ramai yang bidan terjun. tiada pengalaman berniaga. jadi SELALUNYA mutu makanan mereka tak bagus. presentation mereka cantik, tapi rasa kurang..

nak identify peniaga baru senang aje, selalunya orang baru berniaga ni, agak kekok bila melayan pelanggan, pastu terlebih senyum, pastu bekas-bekas mereka isi makanan/lauk tu nampak macam tupperware/pinggan mangkuk kat dalam almari rumah aje(masih baru).. mereka juga selalunya tak bawak duit pecah(kecil).. dan paling nyata, mereka berniaga sikit aje pasal takut rugi (contoh:- jenis lauk banyak, tapi sikit-sikit), orang biasa berniaga tak akan camtu..

Peniaga-peniaga bidan terjun ni SELALUNYA kurang mahir dalam banyak segi.. takpela.. orang kita nak cari rezeki.. cuma harapnya, dalam mereka mencari rezeki lebih, pelanggan tak teraniaya..

Anonymous said...

Yang lagi satu dan lebih penting PASTIKAN pendapatan adalah dari sumber halal bukan dari sumber haram seperti duit rasuah, duit hasil kerja memfitnah, curi, tidak amanah dan sebagainya.