Oleh Ibrahim Yahaya
(Sinar Harian - 5/11/2008)
Rakyat Amerika Syarikat sudah memilih presiden mereka pada Pilihan Raya Presiden semalam, sama ada pemimpin berkulit hitam dari Illinois atau bekas veteran Vietnam dari Arizona. Itu pilihan mereka yang pasti memberi kesan kepada dunia keseluruhannya.
Namun,yang lebih penting pilihan raya kali ini mencatatkan pelbagai sejarah tersendiri. Sejarah latarbelakang calon-calonnya terutama warna kulit dan calon wanita seperti Hillary Clinton, jumlah pengundi yang ramai, serta jumlah perbelanjaan pilihan raya yang melambung tinggi melebihi $1 bilion (RM3.52 bilion).
Walaupun pilihan raya kali mungkin tidak sedramatik ketika pemilihan antara George W Bush dan Al-Gore pada 2000, tetapi ia memaparkan bagaimana rakyat di negara besar yang mengamalkan demokrasi itu sudah mula menerima seorang calon kulit hitam dan seorang calon paling tua dalam sejarah pilihan raya Presiden. Hillary juga hampir menjadi calon wanita pertama untuk bertanding Presiden Amerika Syarikat.
Sejak awal-awal lagi, Parti Demokrat yakin bahawa segala kelemahan pentadbiran Presiden George W Bush selama ini akan memberi kelebihan kepada mereka terutama dasar peperangan di Iraq dan terbaru Kemelut Ekonomi Dunia.
Bagi mereka, kerosakan George Bush sudah sampai ke kemuncaknya sehingga mencemarkan imej Parti Republikan yang dianggap telah melaksanakan dasar yang bukan saja membunuh rakyat AS tetapi juga rakyat di Iraq.
Ini berikutan dasar menyerang Iraq atas alasan adanya senjata pemusnah nuklear. Sebaliknya, Presiden Saddam dan rakyat Iraq menjadi mangsa daripada kejadian serangan Amerika Syarikat dan perbalahan etnik yang semakin menjadi-jadi di negara Islam itu.
Bagaimanapun, Parti Republikan yang kini memikul “kerosakan” Bush itu, yakin mereka akan menang kali ini berdasarkan usia calon Demokrat, Barrack Obama yang terlalu muda dan kurang berpengalaman untuk menerajui negara besar yang “memimpin dunia”.
Malah mereka menyifatkan Obama, seorang pemimpin yang sering dikaitkan dengan pelbagai individu pelik, “masih muda” dan “belum matang” untuk memimpin Amerika Syarikat.
Bagi Obama yang berusia 47 tahun, beliau mahu mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS. Impiannya itu disokong oleh ramai penduduk Afrika-Amerika dan rakyat kulit putih yang sudah mula bosan dengan dasar George Bush.
Pesaingnya daripada Parti Republikan, John McCain, 72, pula mahu menjadi Presiden paling tua dalam sejarah AS, jika beliau menang. Bagi kem McCain, pengalaman luas calon mereka itu adalah satu kelebihan besar kepada rakyat AS.
Berdasarkan tinjauan pengundi di seluruh negara, Obama memiliki kelebihan besar ke atas veteran Perang Vietnam itu pada pilihan raya Presiden kali ini, yang dianggap paling mendebarkan dalam tempoh satu generasi.
McCain, bagaimanapun, masih menaruh keyakinan dan kemnya sentiasa berusaha keras dalam kempen saat akhir untuk membuktikan tinjauan itu meleset dan sekali gus mengekalkan legasi Parti Republikan di Rumah Putih – menggantikan Bush.
Dalam pilihan raya kali ini lebih 140 juta orang keluar mengundi iaitu kira-kira 64 peratus daripada jumlah penduduk yang layak mengundi berdasarkan kriteria umur.
Penganalisis menjangkakan jumlah pengundi yang akan turun mengundi kali ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah pilihan raya Presiden AS dalam tempoh 232 tahun.
Di samping pengundi kulit putih daripada kalangan kelas pekerja, pengundi wanita, golongan muda dan kulit hitam memainkan peranan penting dalam pilihan raya kali ini.
Kedua-dua calon sebenarnya bertarung untuk memungut sekurang-kurangnya 270 daripada 538 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk memenangi kerusi Rumah Putih.
Undi itu diagihkan kepada negeri mengikut jumlah penduduk masing-masing dan pemenang undi popular di sesebuah negeri akan membolot semua undi Badan Perwakilan pemilihan dari negeri berkenaan.
Antara negeri yang kini beralih menyokong Obama ialah Florida, Indiana, Missouri, Carolina Utara, Nevada dan Ohio. McCain juga mahu mendapat sokongan di Pennsylvania, Ohio, Florida atau Virginia kerana jika gagal “menakluki”negeri-negeri ini, maka adalah amat sukar bagi beliau mendapat 270 undi.
Selain memilih Presiden AS, pilihan raya juga akan memilih anggota bagi semua 435 kerusi Dewan Perwakilan, 35 daripada 100 anggota Senat, serta 11 daripada 50 Gabenor negeri di AS.
Dalam pada itu, laporan ajensi melaporkan beribu-ribu sukarelawan, peguam dan ejen persesekutuan dikatakan bertebaran di seluruh AS untuk memantau pilihan presiden.
Kerahan itu dilakukan ekoran kebimbangan bahawa bilangan pengundi yang dijangka tertinggi dalam sejarah akan meletakkan beban yang tidak mampu ditampung oleh sistem pengundian dan dengan itu mencetuskan krisis di peti undi.
Kenangan pahit pilihan raya Presiden 2000 antara George W Bush dengan Al-Gore yang terpaksa diputuskan oleh Mahkamah Agung, masih menghantui rakyat Amerika.
Ramai antara mereka percaya sistem yang diterima pakai selepas kekecohan pada Pilihanraya 2000, khususnya di Florida, hanya merumitkan lagi proses pengundian.
Barisan panjang pengundi telah pun disaksikan di banyak negeri “atas pagar” yang mengadakan pengundian awal sebelum pertarungan ke Rumah Putih antara Obama dan McCain daripada Parti Republikan.
Kira-kira 800 pemerhati Persekutuan juga dikerahkan oleh Jabatan Kehakiman ke 59 kawasan panas di 23 negeri.
Bagi Malaysia, keputusan pemilihan Presiden Amerika Syarikat tidaklah memberikan kesan serta-merta kepada kedudukan politik dan ekonomi Malaysia berbanding apa yang dirasai oleh negara sekutu kuat AS di Eropah dan Asia.
Kedua-dua calon itu mempunyai kelebihan dan kekurangan kerana mereka sudah pasti mengikut dasar yang ditetapkan oleh parti mereka sebelum ini.
Obama mungkin dilihat sebagai seorang yang “lebih terbuka” tetapi dasar partinya sejak dulu lagi lebih menjaga kepentingan negara ini berbanding Parti Republikan. Dalam ertikata lain, mereka mengamalkan sikap yang suka melindungi kepentingan negara.
Bagaimanapun, dasar Parti Republikan yang tidak disenangi terutama melancarkan perang terhadap Iraq telah membunuh ramai rakyat yang tidak berdosa di negara itu. Ini tidak selari dengan dasar luar Malaysia yang sering memperjuangkan keamanan dan keharmonian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang ditemui dalam sesi penerangan mengenai pakej rangsangan ekonomi di Parlimen semalam, menyifatkan kedua-dua calon mempunyai kelebihan mereka sendiri.
Beliau yakin sesiapa saja yang dipilih menjadi Presiden diharapkan dapat mengadakan dasar yang membantu memulihkan kemelut ekonomi dunia sekarang di samping mewujudkan dunia yang aman dan makmur.
(Renungan Rimau: Barack Obama menang dan beliau berkata akan mengambil tindakan segera mengenai peperangan di Iraq)
Wednesday, November 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Tok,
Samada rakyat US dpt menerima penduduknya yang berkulit hitam itu menjadi presidennya?
Kita juga boleh bertanyakan soalan yang sama di Malaysia, yakni,
Samada rakyat Malaysia boleh menerima orang yang berkulit hitam itu menjadi PM kita?
Selepas lebih 50tahun merdeka ini saya masih belum dapat menerima orang yang berkulit hitm itu sebagai PM Malaysia.
Sayapun tak tahu sebabnya Tok.
Saya rasa Tok,
itulah sebab utama agaknya timbulkannya kenyataan-kenyataan dan tindakan pedas dari Hindraft.
...kerana sebenarnya pun sukar bagi mereka menerima orang berkulit sawa matang seperti kuta ini menjadi PM mereka.
Salam Datuk.
Diharap dengan kemenangan Obama, suasana di Iraq akan berubah, tiada lagi peperangan, tiada lagi penindasan...
Salam Datuk Rimau
Kemenangan Obama adalah kemenangan seluruh rakyat Amerika yang mahukan pengunduran tentera Amerika di Iraq.
Tahniah dan syabas..Tugasannya amatlah sukar sekali kerana keadaan Negara Amerika amatlah tidak menentu berikutan krisis ekonomi global..Kita tunggu dan lihat apakah langkah yang diambil beliau untuk mengembalikan kestabilan ekonomi Amerika dan global serta kepintarannya dalam menyelesaikan isu pengunduran tentera di Irag....
Post a Comment