Sunday, July 27, 2008

ADAKAH KULI BOLEH DAPAT CUKUP UNDI?

Adakah Tengku Razaleigh Hamzah akan mendapat 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Presiden UMNO Disember ini?

Jika anda bertanya kepada orang kuat Kuli, mereka amat yakin Anak Raja Kelantan itu akan melepasi peringkat pertama ini. Alasan mereka, bekas Menteri Kewangan ini adalah calon yang paling sesuai untuk memperbetulkan-kemelut politik dan ekonomi di negara ini.

Yang penting beliau tidak dijadikan sasaran oleh pembangkang sepertimana yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, seolah-olah masalahnya tidak padam-padam. Ketika ini, seolah-olah ada usaha terancang untuk memalukan TPM dari semasa ke semasa. Bilakah akan tamat hanya tuhan saja yang mengetahuinya.

Kritikan yang ada terhadap Kuli ialah pengharaman UMNO yang dinafikan oleh beliau dan kini terbukti berlaku di luar pengetahuannya serta ketika beliau berada di luar negara.

Orang kuat Kuli menegaskan golongan yang mereka temui di seluruh negara memberikan sokongan padu kepadanya. Bagi mereka, Kuli adalah harapan negara untuk memulihkan ekonomi sekarang yang semakin membimbangkan kerana faktor-faktor dalaman dan luaran.

Mereka tidak letih dan jemu untuk memastikan individu yang banyak berjasa dan membantu bangsa Melayu mendapat tempat di hati Melayu dan kaum lain di negara ini.

10 comments:

zeme said...

Salam Datuk IY,

Sekiranya ahli-ahli UMNO benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan nasib parti UMNO sebelum PRU13, inilah masa sesuai untuk merubah kepimpinan tertinggi parti.

YBM Ku Li adalah alternatif terbaik sebagai bakal Presiden dan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden. Kedua-dua tokoh ini jelas bebas dari segala anasir dan skandal yang boleh mempengaruhi kepimpinan dan pentadbiran parti.

Isu pengharaman UMNO selepas pemilihan tertinggi UMNO 1987 yang dikaitkan dengan YBM Ku Li perlu diperjelaskan fakta sebenarnya kenapa dan mengapa parti UMNO diharamkan pendaftaran pertubuhannya. Pengharaman di buat oleh undang-undang setelah meneliti pelbagai bukti yang jelas antaranya menunjukkan terdapat perwakilan yang mengundi pada pemilihan parti 1987 daripada cawangan UMNO yang tidak sah.

Fakta pengharaman ini seolah-olah cuba dihapuskan untuk terus meninggalkan mentaliti bahawa UMNO yang ditubuhkan pada 1946diharamkan disebabkan kerenah YBM Ku Li. Landas perlembagaan jelas menunjukkan sebab-sebab mengapa parti UMNO terpaksa diharamkan dahulu kerana pertandingan pemilihan terdapat unsur-unsur yang tidak sah.

Jadi kini tiada sebab untuk memanipulasi isu pengharaman UMNO dengan penawaran dan percalonan YBM Ku Li dalam pertandingan jawatan Presiden UMNO pemilihan 2008 nanti.

Wasalam

Anonymous said...

akum dato...
rasa saya lah...akan ada kejutan pada pemilihan kali ini.ia mungkin boleh jadi lepas ataupun sebelum.....banyak mesyuarat bahagian akan habis hujung bulan 8.Muar dah menampakkan akan sokong Ku Li.....saya rasa akan ada banyak lagi kejutan yang akan bangun kan Pak Lah dari tidurnya.Lepas ni tak boleh la guna dah Ku Cari Damai Abadi...Dah tak damai dah.........

terubuk jantan said...

Dato,
Sejak mesyuarat cawangan umno bersidang bulan ini terdapat 2 cawangan di negeri kelahiran Timbalan Perdana Menteri Ds Najib telah mengusulkan agar jawatan presiden ditandingi oleh beliau tidak kepada P.M.Dato, akhbar-akhbar tempatan pula kurang bercerita mengenai usul ini dan DS Najib pula meminta jangan ada lagi mana-mana cawangan dan bahagian mencalonkan beliau kerana komitmen beliau pada peralihan kepimpinan june 2010.Disudut hati saya,tertanya-tanya adakah suara akar umbi dicawangan tidak dipandang dengan serius oleh timbalan presiden ini sedangkan kebanyakan dari kita mahukan peralihan kepimpinan dan kuasa dengan kadar yang begitu segera(Tanyalah pada akar umbi Umno).Dato, saya juga sempat singgah tadi di blog A KADIR JASIN,Amat-amat tertarik dengan posting beliau "AN ANGRY OLD MAN" kerana "orang tua" saya juga begitu....sila baca Dato.

zeme said...

Salam Datuk IY,

Perkhabaran diketahui salah satu usul mesyuarat Cawangan Jalan Enggang yang telah selesai bersidang semalam telah mengusulkan percalonan YBM Ku Li bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan Disember ini sekali gus mengikut jejak 32 Cawangan UMNO Bahagian Gua Musang sebelum ini.

UMNO Cawangan Jalan Enggang telah mengambil satu pendekatan yang mementingkan suara akar umbi yang hendakkan perubahan dalam kepimpinan tertinggi parti Disember ini.

Wasalam.

junkopile said...

assalamualaikum tok tig
rasanya yg paling penting untuk seorang presiden umno ini ialah dia berupaya untuk melaksanakan tjwb sebgai perdana menteri malaysia juga bukan hanya untuk orang kuat masing2, orang tempat masing2 dan sewaktu dengannya,
so orang yang paling layak jadi pm bukan orang kuli, orang pak lak orang najib dan orang2 sewaktu tetapi orang malaysia.
semua orang mahukan perubahan yang lebih baik tetapi adakah mereka pasti perubahan itu lebih baik dari mengekalkan permainan di masa tambahan
p/s kok tak cubo mano nak tau

ibrahim yahaya said...

Sdr Zeme,

Ahli UMNO sudah tentu mempunyai pilihan masing-masing. Ahli UMNO adalah terdiri daripada mereka yang menyertai parti untuk memastikan UMNO terus memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Jika UMNO sudah tidak aktif memperjuangkan bangsa, maka mereka perlu berbuat sesuatu. Jika UMNO masih membela Melayu, mereka perlu memberi sokongan padu. Jika UMNO lemah, mereka perlu memperbetulkan keadaan termasuk memilih pemimpin yang berwibawa. Tepuk dada tanya hati anda.

ibrahim yahaya said...

Sdr Tunku Malik,

Jika ada kengkawan kita di seluruh negara yang tahu cawangan UMNO yang memilih Kuli, adalah lebih baik mereka melaporkan dengan menghantar komen dalam DuniaTiger. Setidak-tidaknya kita tahu orang mana yang sokong Kuli. Kalau tahu sebab menyokong lagi baik. Orang Muar nampaknya sakan sokong Kuli. Orang lain bagaimana? Boleh hantar maklumat ke?

ibrahim yahaya said...

Sdr TJ,

Dalam politik ini perlu jaga hati, jaga hati kawan, jaga hati ahli parti, jaga badan, jaga kedudukan, jaga nama sendiri, jaga nama keluarga, jaga perangai, jaga sikap, jaga tabiat, jaga nafsu dan segala macam jaga-jaga. DS Najib kini sedang menjaga pelbagai perkara termasuk jaga hati pemimpin. Kita mungkin boleh faham dengan beliau - berjaga-jaga. Tetapi kita juga kena ingat jangan sampai jadi "jaga" saja. Itu je.

ibrahim yahaya said...

Sdr Junkopile,

Memanglah semua layak. Tetapi kita kena pilih mereka yang paling layak. Pilihlah yang terbaik di kalangan pemimpin terbaik. Pilihlah yang budiman dan bukan pelesit atau jembalang tanah. Ada pemimpin, masa mula-mula ok tetapi apabila sudah berkuasa, dia bertukar menjadi pelesit yang tidak menghiraukan orang di bawah. Apa ni?

ibrahim yahaya said...

di petik daripada blog Datuk Ron - Kuda Kepang (Isnin 28 Julai 2008)

HANYA 47 DARIPADA 20401 CAWANGAN MAHU ABDULLAH BERSARA?

Hanya 47 cawangan daripada sembilan bahagian di seluruh negara setakat ini berani menolak kehendak Majlis Tertinggi UMNO supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikekalkan sebagai Presiden dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timblan Presiden dalam pemilihan pimpinan tertinggi parti di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Disember 2008.

Ini bermakna cawangan-cawangan ini juga secara tidak langsung telah menyanggah formula peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib mulai Jun 2010.

Jumlah di atas memang satu peratusan yang amat kecil kerana keseluruhan 191 bahagian UMNO di Malaysia kini mempunyai 20,401 cawangan.

Tetapi, ini membuktikan kenyataan Abdullah pada 10 Julai 2008, bahawa “formula peralihan kuasa yang dibuat secara muafakat antara beliau dan timbalannya mendapat sokongan besar daripada akar umbi yang mahu melihat parti terus kukuh dan aman” tidaklah diterima oleh keseluruhan warga UMNO akar umbi.

Hakikat ini juga membuktikan kenyataan Najib pada 26 Julai 2008, yang meminta "semua cawangan UMNO yang bermesyuarat supaya tidak lagi membangkitkan usul pencalonan beliau sebagai Presiden pada pemilihan parti itu Disember ini” memang agak sukar untuk diterima oleh warga UMNO di peringkat cawangan.

Tindakan cawangan-cawangan di atas juga tidak pedulikan kenyataan Khairy Jamaluddin pada 11 Julai 2008, yang meminta “pelbagai pihak tidak mempertikaikan tempoh dua tahun peralihan kuasa” Abdullah kepada Najib.

Ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Naib Presiden UMNO, bahawa sesetengah pihak berpendapat tempoh peralihan kuasa tersebut terlalu lama, Khairy yang hanya Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata: “Saya tak mahu ulas panjang mengenai kenyataan pemimpin lain yang mempertikaikan tempoh masa peralihan tersebut. Saya tidak tahu apa motif dan agenda mereka.”

Senarai cawangan-cawangan yang setakat ini menolak Abdullah sebagai Presiden UMNO adalah seperti berikut:

Keseluruhan 39 cawangan dalam Bahagian Gua Musang, Kelantan. Cawangan-cawangan ini mengusulkan supaya UMNO Bahagian Gua Musang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah selaku ketuanya, sebagai calon Presiden UMNO.

Cawangan Kampung Ubai, Bahagian Pekan, Pahang. Cawangan ini mengusulkan supaya Najib selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan dicalonkan sebagai Presiden.

Cawangan Bukit Kuantan 2, Bahagian Paya Besar, Pahang. Cawangan ini juga mengusulkan semoga bahagiannya mencalonkan Najib menentang Abdullah.

Cawangan USJ2, Bahagian Kelana Jaya, Selangor. Cawangan ini mengusulkan bahagiannya mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin calon Timbalan Presiden.

Cawangan Air Keroh, Bahagian Bukit Katil, Melaka. Cawangan ini hanya mengusulkan Abdullah melepaskan jawatan Presiden UMNO dan tidak lagi bertanding dalam pemilihan parti Disember 2008.

Sebuah cawangan (nama sebenar belum diperolehi) dalam Bahagian Alor Gajah, Melaka, juga mencadangkan supaya Abdullah mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO.

Cawangan Jalan Enggang, Bahagian Ampang, Selangor. Cawangan ini mengusulkan kepada bahagiannya supaya mencalonkan Razaleigh mencabar Abdullah.

Sebuah cawangan (nama sebenar belum diperolehi) dalam Bahagian Pandan, Selangor, mengusulkan “bukan Abdullah” sebagai Presiden UMNO.

Cawangan Desa Jaya, Bahagian Johor Bahru, Johor. Cawangan ini mengusulkan bahagiannya mencalonkan Muhyiddin selaku calon Presiden UMNO.

Cawangan Parit Simis Darat, Bahagian Parit Sulong, Johor. Cawangan ini mengusulkan bahagiannya mencalonkan Najib selaku Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden.

Senarai di atas mungkin tidak mencerminkan jumlah yang sebenarnya kerana tindakan yang dianggap sebagai anti-Abdullah ini tidak langsung dilaporkan oleh media perdana.

Akhir sekali, ramai pengirim komen ke blog ini yang bertanya, berapa banyak lagikah cawangan yang berani membawa usul seperti di atas dan adakah usul berkenaan akan membawa kesan kepada corak pencalonan yang akan dibuat oleh peringkat bahagian yang akan bersidang mulai September 2008?

Wajarlah kita serahkan kedua-dua pertanyaan ini kepada warga UMNO akar umbi yang masih menjalankan persidangan cawangan masing-masing dan juga para pemimpin bahagian yang akan bersidangan tidak lama lagi.

Pokoknya, warga UMNO akar umbi peru insaf bahawa tanpa cawangan, tidak akan ada bahagian, perhubungan dan Majlis Tertinggi UMNO. Ini bermakna UMNO cawangan adalah berkuasa untuk mencartakan destini dan masa depan perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanahair asalkan mereka jujur, ikhlas, tegas, berani, konsisten dan komited kepada misi perjuangan UMNO. – Ruhanie Ahmad