Malam tadi, saya bertemu Datuk Zahidi Zainul Abidin. Beliau mahu bertanding Ketua Pemuda UMNO jika berjaya mendapat pencalonan. Beliau mahu memulihkan Pemuda UMNO yang didakwa dirosakkan oleh sesetengah pemimpin sekarang.
Beliau merayu kepada saya agar meminta rakan-rakan dalam media membantunya. Tujuan? Untuk menerangkan mengapa beliau mahu bertanding dan kekotoran yang sudah dilakukan dalam UMNO. Ini penting bagi membolehkan beliau mendapat pencalonan yang cukup.
Mengapa perlu media? Datuk Zahidi, 46 tahun, mendakwa calon-calon yang berminat tidak akan dibenarkan oleh pemimpin tertentu untuk keluar media cetak atau elektronik. "Semua kawan-kawannya. Kita tidak akan ada peluang untuk memberikan suara kita. Jadi mintalah kawan-kawan yang boleh membantu kita keluar televisyen. Buat macam debat dan biarkan semua hendak bertanding bercakap apa yang mereka hendak lakukan untuk Pemuda. Ini penting bagi memastikan calon seperti saya cukup mendapat pencalonan."
Kekotoran sekarang terlalu amat busuk. Datuk Zahidi mendakwa apa yang dilakukan akan merosakkan UMNO. "Mereka menabur duit yang banyak" Bukti? "Saya diberitahu mengenai perkara ini dan ini akan menjadi satu malapetaka kepada UMNO. Mereka ada di mana-mana dan inilah yang menghancurkan negara. Ada antara mereka yang tidak menjiwai perjuangan UMNO. Perjuangan membela bangsa Melayu. UMNO bukan parti ideologi seperti PAS tetapi perjuangan membela bangsa."
Datuk Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Perlis berkata daripada rekod sebelum ini ada pemimpin yang tidak layak menjadi Ketua Pemuda. "Cuba lihat apa yang berlaku sekarang di mana lima negeri jatuh. Bayangkan kalau yang tidak layak ini menjadi pemimpin. Ada pemimpin yang mempunyai pelbagai perancangan termasuk menyekat orang tertentu. Saya ni, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO tidak dibenarkan bertanding pada PRU12. Alasannya, jika saya menang maka saya akan menjadi ancaman kepada mereka. Ini perlu disedari oleh ahli UMNO. Jangan tersalah pilih orang macam ini walaupun diberikan habuan."
Beliau berkata apa yang dilalui oleh UMNO pada PRU12 amat perit sekali. "Persepsi orang terhadap pemimpin tertingi parti kerana individu tertentu. Kalau kita biarkan ini terus berlaku, tidak ada siapa yang akan menyokong UMNO. Ini puncanya orang sudah salah pandangan terhadap UMNO kerana orang tertentu. Kita jangan takut untuk memperbetulkan keadaan ini. Ada pemimpin yang berdegar-degar untuk memperbetulkan keadaan, tetapi sekarang senyap saja dan mahu bertanding di jawatan kurang penting saja. Sungguh malang."
Datuk Zahidi kesal fenomena memberi wang ini amat dahsyat dan dibuat secara licik. "Dulu EXCO Pemuda semua orang kenal. Mereka keluar dari kilang pemuda di cawangan dan bahagian. Kini, EXCO Pemuda pun orang tak kenal. Ada antara mereka tidak pernah menjadi Pemuda cawangan atau bahagian. Jangan biarkan mereka berbuat sesuatu untuk meraih undi."
Menurut pemimpin dari Perlis ini, pada pemilihan lalu, beliau mahu bertanding Ketua Pemuda tetapi melupakan hasrat itu kerana sebab tertentu. "Ramai kawan-kawan rapat yang bekerja dipecat. Mereka ini yang saya sokong untuk bekerja."
"Saya merayu agar ahli UMNO di seluruh negara sedar mengenai perkara ini. Kita perlu memberhentikan sandiwara yang berlaku. Ada perkara diputuskan oleh kerajaan dan kemudian ada pihak lantang bersuara menentangnya kerana untuk menjadi jaguh. Tidak payahlah melaung-laungkan dalam pentas politik atau Dewan Rakyat untuk menunjukkan mereka pejuang kepentingan Melayu. Cukuplah sandiwara ini. Rakyat jangan diperbodohkan lagi oleh kumpulan yang menguasai segala-galanya."
Datuk Zahidi menegaskan beliau berani menyuarakan perkara ini kerana tidak mahu UMNO hancur dan tidak relevan pada masa akan datang. "Saya ni dari bawah. Saya tidak perlu menjadi jutawan. Saya ingin memberi khidmat untuk memulihkan parti. Dalam politik, saya bermula dari bawah dan merasai segala pengalaman. Ada calon ingin bertanding tidak pernah menjadi Ketua Pemuda Cawangan atau Bahagian. Ada calon yang kehilangan negeri. Ada calon yang merosakkan segala-galanya sekarang. Fikirkanlah demi kebaikan UMNO dan yang penting orang Melayu."
Thursday, July 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
10 comments:
Memang betul cakap hang tu Zahidi. Tapi hang tahankah karena pemuda la ni?
YBhg Datuk,
Saya bersetuju jika saudara Zahidi ini ingin bertanding asal dia berniat baik untuk UMNO
Cukuplah, UMNO diterajui oleh golongan aristokrat yang tidak pernah susah.
Sudah tentu apabila tidak pernah susah, maka mereka ini tidak faham dengan kesempitan hidup golongan bawahan akibat tekanan ekonomi.
Mereka ini, (golongan aristokrat) tetap mampu bermewah di kala orang lain menderita.
Ini menjadikan UMNO yang diterajui mereka tidak lagi relevan dan dominan kepada golongan bawahan dan golongan muda yang jijik melihat kepura-puraan golongan aristokrat ini.
Saya menyarankan UMNO sekarang mengadakan PRU 13, saya yakin belum tentu suku daripada kerusi parlimen mampu dimenanginya.
UMNO sekarang, ialah untuk keluarga mereka sahaja, tidak untuk orang atau golongan biasa lagi, hanya didominasi kaum kerabat mereka sahaja, sedangkan orang yang diketengahkan itu tidak layak dari segenap segi untuk menjadi pemimpin.
Namun ada juga, pada hemat saya kebolehan anak-anak pemimpin ini, iaitu bercakap.... bercakap mereka memang pandai, tetapi apa yang diomongkan mereka itu belum tentu betul seratus peratus.
Saya berpendapat, golongan muda sekarang perlu beramai-ramai menyertai UMNO.
Dengan cara ini pemimpin aristokrat termasuk MENANTU, kaum kerabat mereka boleh disingkirkan secara total, apabila golongan melayu profesional memenuhi dan menjadi majoriti UMNO sekarang.
Lantaran itu, golongan otak kosong golongan aristokrat ini tidak mampu lagi menekan suara ramai dengan mendapatkan sokongan palsu akibat pelbagai kata dua yang dilemparkan sebelum itu.
Jika saya yang tidak handal berpolitik ini pun, jika berdebat secara terbuka dengan golongan kaum kerabat aristokrat ini sudah tentu mampu memperkotak-katikkan mereka ini.... saya rasa saya tidak layak menjadi pemimpin politik, ini kan lagi mereka yang hanya bercakap kosong sahaja..... oleh itu sedar diri sendiri... kalau tak mampu tidak usahlah... bagi peluang orang lain yang mampu dan berminat untuk berkhidmat.
Tetapi apa yang lebih penting, seseorang pemimpin itu mestilah tidak mementingkan diri sendiri, malah sentiasa berfikir untuk kesejahteraan seluruh rakyat tanpa berat sebelah kepada mana-mana kumpulan sahaja.
Sekian YBhg Datuk.
JONLABUYABEDABEDU
Sdr Azlan,
Nampaknya, beliau berazam untuk memulihkan Pemuda dengan tulang empat kerat dan kekuatan hati.
Beliau juga tahu rintangan yang perlu dihadapi tetapi sanggup memberanikan diri.
Baginya, UMNO lebih penting daripada kemusnahan diri.
Parti perlu diperkasakan bukan dipandang hina bangsa sendiri.
Rayuannya, akar umbi perlu bertindak segera membuang barah yang sudah merebak tanpa disedari.
Jika lambat, parti keramat akan runtuh dan orang Melayu menyesal di kemudian hari.
Khairy Jamaluddin adalah seorang yang paling bijak di Malaysia ketika ini. Beliau mempergunakan seluas-luas ruang yang beliau miliki. Tidak seinci pun peluang itu tidak digunakan. Orang yang berstrategi begini harus dihormati, kerana bijak. Orang lain tidak harus dengki, tetapi sebaik-baiknya ialah mengikuti jejak langkah beliau bagaimana mencapai cita-cta samada dalam perniagaan, politik dan rumahtangga. Dalam perniagaan beliau maju begitu cepat, dalam politik beliau naik pangkat secara drastik dan dalam hal rumahtangga beliau berjaya memiliki anak Perdana Menteri. Inilah contoh anak muda yang perlu dipelajari dan dicontohi oleh para pemuda lain di Malaysia, Indonesia dan Brunei. (Saya cuba memandang perkara yang baik sahaja....hal-hal yang buruk tidak akan saya ulas)
Sdr Jon,
Menjadi kaya bukan satu dosa. Ia juga bukan penghalang untuk berjasa kepada bangsa. Apatah lagi hasil titik peluh yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Menjadi kaya kerana menekan dan merompak hak orang lain adalah satu dosa. Ia juga perbuatan hina yang tidak menguntungkan bangsa.
Bukan mudah menjadi pemimpin tetapi tidak susah untuk menjadi pengikut. Pemimpin baik, pengikut akan jadi baik. Pemimpin ikhlas dan jujur akan tetap disanjung tetapi mereka yang bongkak dan sombong, akhirnya akan tersungkur.
Sdr AZB,
Jika mengambil iktibar daripada cerita Hang Nadim, kita dapati pemuda bijak dibunuh kerana ramai pembesar negeri menghasut Sultan mengenai kemungkinan anak muda itu akan "melawan tauke". Apakah wujudnya kisah Hang Nadim Moden yang akan menyaksikan banyak "semangat" yang akan dibunuh? Masa yang menentukannya.
SALAM DATO...
GO MUKHRIZ!GO MUKHRIZ!GO MUKHRIZ!GO MUKHRIZ!...
Sdr TJ,
Barulah saya tahu siapa yang Sdr sokong. Semua boleh bertanding tetapi yang paling penting jangan main kotor. Jika banyak duit, tidak boleh bagi kepada perwakilan tetapi derma kepada orang miskin dan memerlukan di luar bandar.
Saya setuju dengan Dato'.. Siapa pun boleh bertanding asalkan tidak menggunakan permainan kotor terutamanya politik wang. Memang orang kita ni kalau bab tabur wang untuk mendapat sesuatu keinginan, tak kisah kalau berhabis duit. Kalau kena caranya takpe tapi kalau main kotor, elakkan. Nanti takut terbawa-bawa bila dah menang.. Susah pula nak ubat...
Secara kasarnya, ada kejadian di mana Zahidi juga adalah di antara yang mahu mengadakan himpunan ahli UMNO untuk TDM mengadakan ceramah pada satu ketika dahulu tetapi akhirnya batal dan kecut kerana diberi amaran katadua oleh Shahidan. Cabaran seawal itupun tidak mampu diharunginya, dan akhirnya dia tidak dicalonkan dalam PRU12 yang lalu.
Saya tidaklah sangat mempertikaikannya untuk bertanding Ketua Pemuda tetapi jika niatnya ikhlas saya rasa elok kalau beliau menyokong calon calon yang ada sekarang seperti Dr Khir Toyo, Mukhriz atau KJ, memberi sumbangan kepada UMNO tidak semestinya menanti hingga menjadi 'ketua'.
Post a Comment