Saturday, July 26, 2008

BETUL KE BERITA INI? SIAPA SUDIN?

Membaca berita di bawah ini membuat saya tertanya-tanya mengenai kesahihan beberapa perkara.

Pertama ialah betul ke lima Ketua Bahagian UMNO Wilayah Persekutuan tidak akan dicabar? Tiada ke orang hendak menawarkan diri menjadi Ketua Bahagian selepas10 daripada 13 kerusi Parlimen di WP jatuh ke tangan pembangkang?

Kedua ialah jawatan Setiausaha Bahagian UMNO Putrajaya sudah bertukar jika diambilkira berita MStar Online sebelum ini.

Siapa yang betul, Utusan Malaysia atau MStar Online? Sudin Samat ke atau Syokree Shafee?

Ejen kenit memberitahu saya, Ketua Bahagian UMNO Putrajaya akan ditandingi oleh seorang calon yang dipanggil "badut" oleh pihak-pihak tertentu. Betul ke yang hendak menentang itu badut atau beliau benar-benar mahu bertanding melawan Ketua Bahagian sekarang?

Apapun, kita tunggulah sama ada "badut" itu (tidak sedap bunyinya kerana ejen kenit berkata tokoh itu seorang yang bersih dan tidak main duit) akan mendapat pencalonan untuk melawan Ketua Bahagian. Beliau perlu lima cawangan yang mencalonkan beliau.

Di bawah ini berita Utusan Malaysia hari ini.

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR 25 Julai - Sebanyak lima daripada 13 ketua UMNO bahagian di Wilayah Persekutuan (WP) dijangka kekal tanpa bertanding pada pemilihan bahagian, Oktober ini.

Antara yang dijangka kekal ialah Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Azim Mohd. Zabidi; Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Ridzuan Abdul Hamid.

Lapan lagi jawatan yang dijangka menyaksikan pertandingan sengit ialah UMNO Bahagian Wangsa Maju, Seputeh, Bandar Tun Razak, Batu, Segambut, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Labuan.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa, Abdullah Mat berkata, Zulhasnan dijangka dipilih semula sebagai Ketua UMNO Bahagian itu kerana kesemua 48 cawangan berikrar berdiri teguh di belakang beliau.

Menurutnya, mereka menyifatkan Zulhasnan berjaya menyatupadukan kesemua ahli UMNO dan BN di kawasan itu.

''Setakat ini, 14 daripada 48 cawangan yang mengadakan mesyuarat telah mencalonkan semula Zulhasnan untuk Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.

''Melihat arus perkembangan pada masa ini saya yakin Zulhasnan akan menerima pencalonan daripada semua 48 cawangan,'' ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zulhasnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memenangi jawatan itu pada 2004 apabila menang tanpa bertanding sewaktu menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.


Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Putrajaya, Sudin Samat berkata, walaupun mesyuarat cawangan hanya akan bermula esok tetapi arus perkembangan mendapati Tengku Adnan tidak akan dicabar untuk jawatan itu.

''Setakat ini, 25 cawangan telah menyatakan sokongan dan akan mencalonkan semula Tengku Adnan,'' ujarnya.

Bagi Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Bintang, Kamarol Zaman Haron berkata, Azim dijangka tidak ditentang dan akan mendapat sokongan penuh 25 cawangan bahagian itu.

''Setakat ini hanya dua daripada 29 cawangan telah bermesyuarat dan pada dasarnya tidak ada calon lain akan menentang Azim,'' katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Kepong, Mohd. Amin Mohd. Hatam berkata, Ridzuan yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dijangka mendapat mandat untuk mengekalkan jawatan yang disandang.

Katanya, walaupun hanya satu daripada 25 cawangan telah mengadakan mesyuarat namun rata-rata menyatakan sokongan kepada Ridzuan.

8 comments:

terubuk jantan said...

Salam Dato,
Dengan senario politik pada waktu ini terutama di wilayah agaknya ahli-ahli disana selesa dan bahagia dgn ketua-ketua bahagian mereka rasanya tok......Dato dahulu di Wilayah tahun 80an dan 90 an satu nama cukup digeruni di parlimen Tiwangsa iaitu DR Sulaiman Mohammad.."pahlawan Melayu tu tok" sudah lama tokoh ini mendiamkan diri beliau rindu jugak denagn kelibat beliau,Tok sekarang ini ada satu ketua bahagian yang garang jugak rasanya bahagian cheras, Ok d.i.y saya berhenti untuk memberi komen sehari dua ini kerana ada tugasan di luar Kuala Lumpur yang menuntut saya memberi sepenuh tumpuan...goodluck D.I.Y.

Desperado said...

Salam TUAN...

Nampaknya tuan kena percaya pada ejen kenit tuan la...baca akhbar dengan internet dah pening dibuatnya...izinkan saya link kan blog tuan ke blog saya...

www.pilihananda08.blogspot.com

abe MIE 'TERJAH' said...

http://pkrpasdap.blogspot.com

abe MIE ingin berkongsi pengalaman politik UMNO di Taman Medan, PJ Selatan-PJS.

Pada 1999, pilihanraya menyebabkan Datun PAduka Hajjah Noorkhaila Jamaluddin telah menang dan menjadi EXCO wanita. Dia disukai rakyat dan saya pada masa itu menjadi wartawan. Dia takut pada Khir Toyo yang tidak sukanya yang suka membela rakyat dan selalu mengemukakan masalah rakyat kepada Majlis Mesyuarat EXCO Selangor.

pada 2004, Pengganti beliau, Haji Wahab mendapat majoriti melebihi 12ribu dan tertinggi di selangor, ketiga tertinggi di Malaysia. Ini kerana penduduk taman medan masih mengingati janji dan sumbangan Norkhaila.

Dia turun padang. Dia selalu menelefon saya dan saya mengikutnya ke tempat sampah, rumah setunggan, ibu tunggal, jalan rosak, dsb. Itu sebabnya orang suka beliau tapi Khir tak suka. Khir pernah beritahunya, kalau hendak masuk politik mesti ada wang, jadi Norkhaila adalah orang biasa macam kita semua, selalu susah.

2008, UMNO-BN kalah lebih 3000 undi pada PKR sebab salah letak calon. Calon disukai oleh Khir, iaitu MEMUSNAHKAN SEMUA CAWANGAN YANG MENYOKONG NORKHAILA DENGAN WANG DAN TIDAK DIPANGGIL UNTUK MENSYUARAT PERTANDINGAN. Akibatnya, hampir 80% penyokong Norkhaila mengundi PKR free-free aje sebab protes. Abe MIE dan isteripun berbuat demikian kerana tidak puas hati.

Jadi, pasal pemilihan UMNO, abe MIE takut UMNO akan jadi lupa diri. sekarang 2008, bukannya 2004 di mana UMNO berada dalam ZON BAHAYA.

Anonymous said...

...renungan bersama
Apabila UMNO kalah dalam pilihanraya, maka mereka pun berkokok supaya orang Melayu bersatu. Pada mereka bersatu itu hanya boleh dibuat dengan satu cara sahaja, iaitu sokong UMNO, kalau tak sokong UMNO maknanya orang Melayu tidak bersatu dan berpecah belah. Apabila orang Melayu berpecah belah mengikut tafssiran mereka, maka masa hadapan orang Melayu akan malap semalapnya.

Tetapi apabila UMNO menang, dan ramai daripada Melayu yang berada didalam UMNO itu melakukan pelbagai kesalahan sehingga boleh merugikan massa Melayu, puak-puak ini diam tidak berdecit. Siapakah yang menumbangkan Bank Bumiputra, kalau tidak mereka yang berada dalam UMNO? Siapakah yang menjadikan bahasa Melayu melukut kalau tidak UMNO sendiri? Siapakah yang menjadikan Islam, ugama yang dianuti oleh orang Melayu sebagai satu ugama tempelan sahaja kalau tidak UMNO? Siapakah yang menyebabkan masalah sosial di kalangan remaja Melayu semakin meruncing dan parah kalau tidak UMNO?Siapakah yang mendatangkan budaya hedonisitik yang menjadikan ramai orang Melayu lebih berfoya foya? Siapakah yang mendatangkan budaya makan percentage dalam projek pembangunan sehingga menyebabkan sebahagian orang melayu yang ada kabel UMNO kaya, tetapi yang berusaha secara benar merempat? Siapakah yang menyebabkan rasuah semakin menjadi jadi di Negara ini kalau tidak UMNO? Siapakah yang menggunakan akta penambilan tanah dan kemudian membeli tanah orang Melayu dengan harga lebih murah daripada sekeping karipap bagi sekaki persegi tanah dan kemudian menjual tanah tersebut kepada bangsa lain dengan harga beratus kali lebih tinggi kalau tidak UMNO?

Bagi kumpulan ini, kesemua ini boleh dimaafkan sebab mereka Melayu dan mereka menang pilihan raya. Sebab itulah bagaimana besar pun kesalahan yang dilakukan, selagi taat kepada UMNO dan pemimpin UMNO, maka atas nama Melayu, mereka sedia diampunkan?

Rambler

ibrahim yahaya said...

Sdr TJ,

Salam kembali. Selamat bertugas.

Garang biarlah bertempat. Jangan garang tak tentu hala. Nanti orang fikir kita pelik pulak.

ibrahim yahaya said...

Sdr Desperado,

Baca dengan tenang dan biarlah otak kita memproses semua maklumat yang disampaikan dalam MSM atau media baru. Jika otak kita tenang, kita akan dapat membuat pertimbangan yang baik dan bukan telan bulat-bulat apa yang dipaparkan. Ada yang disampaikan bertujuan untuk mengelirukan kita. Berhati-hatilah dalam peperangan menyebarkan maklumat ketika ini.

Silakan.

ibrahim yahaya said...

Sdr Abe Mie,

Itulah yang berlaku dalam politik tanahair di sesetengah tempat di mana ada usaha "membunuh" ahli politik yang baik dan rajin. Sudah tentu Tuhan pun tidak suka jika kita berbuat demikian dan jangan marah jika bala diturunkan. Jika ada ahli politik yang malas atau berperangai buruk, tidak salah kita tukar dan gantikan dengan yang lebih baik.

ibrahim yahaya said...

Sdr Rambler,

Bagi saya, golongan yang menjadi pengkhianat dan petualang bangsa adalah kumpulan yang perlu ditentang oleh orang Melayu. Kedua ialah golongan pelesit yang menghisap darah orang miskin dan suka merompak hak orang lain yang perlu dihapuskan sama sekali. Ketiga ialah kumpulan yang memikirkan diri sendiri lebih penting daripada parti perlu ditolak jauh ke tengah laut agar menjadi habuan ikan jerung yang tengah lapar. Keempat ialah kumpulan yang menggunakan kuasa kerana rapat dengan PM untuk menaikkan kerjaya politik mereka. Kumpulan ini perlu dilondehkan segera agar semua orang tahu betapa buruknya perangai mereka.