Friday, August 1, 2008

DEMAM PANAS DAN MAKHLUK HALUS

Hari ini, seorang teman memberitahu saya, mengenai peristiwa isterinya tiba-tiba diserang "penyakit ganjil".

Seluruh badan isterinya tiba-tiba kejang.

Beliau segera membawanya ke hospital dan doktor mula memberikan rawatan kecemasan. Namun, penyakit isterinya tidak sembuh dan tidak dapat dikenalpasti.

Kakitangan hospital termasuk seorang pengawal keselamatan begitu yakin isterinya "dirasuk" dan "diganggu" kerana matanya adakalanya terbeliak. Malah, pengawal itu "tahu" isterinya dirasuk dengan hanya memegang ibu jari kaki.

Bermula daripada situlah, beliau berusaha untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Dua pengamal perubatan tradisional menyatakan isterinya disampuk makhluk halus. Teman saya itu berikhtiar begitu walaupun sebagai individu yang mahir dalam bidang pencarian makhluk itu, beliau tidak pernah nampak makhluk halus merasuk isterinya.

Oleh kerana sayangkan isteri, beliau terus berikhtiar walaupun beliau yakin dan percaya tiada makhluk halus yang "menyampuk" isterinya.

Akhirnya, beliau bertemu seorang sahabat yang pakar dengan ubat akar kayu yang membuat "ubat" berdasarkan perkiraan angka tertentu termasuk nama pesakit.

Setelah membuat perkiraan tertentu, sahabat berkenaan juga menyatakan tiada makhluk halus yang merasuk atau menganggunya tetapi isteri beliau menghidap demam panas atau demam kepialu. Kepanasan itu mengganggu urat saraf dan otaknya.

Sahabatnya itu membuat "ubat" menggunakan akar kayu dengan membuat beberapa perkiraan berdasarkan nama isterinya.

Dengan keizinan Allah SWT, isterinya yang diberikan ubat akar kayu itu sembuh keesokan harinya. Nasibnya begitu baik kerana jika terlambat demam kepialu itu boleh menyebabkan isterinya tidak boleh bercakap dengan baik.

Yang uniknya, pengamal perubatan berasaskan akar kayu itu tahu bahawa lidah isteri teman saya sudah "masuk" ke dalam walaupun beliau tidak memberitahunya.

Itulah kehebatan Allah SWT dan pemberian kepada hambaNYA.

2 comments:

Kulupbana said...

Salam Datuk,
Selama ini saya cukup prejudis dengan pengamal perubatan tradisional kerana mereka ini pada saya hanyalah menangguk di air keruh; kumpul duit selagi boleh lantaran ganjaran dari pesakit sangat lumayan terutamanya jika mengubati orang ternama mahupun kes berprofil tinggi; mak datin yang mahukan suami kembali ke sisi.

Hinggalah saya tergamam apabila berdepan dengan ustaz yang secara spontan menulis tiga nama yang saya kenali serta jangkakan sebagai orang yang disyaki menjadi petualang; sedangkan nama-nama tersebut tidak pernah dicanang mahupun disentuh dalam pertemuan kami sebelum itu.

Hebat ustaz muda ini namun apabila banyak kali dia tidak respon pada mesej pesanan ringkas dan pesanan suara yang amat terdesak memohon bantuan susulan saya mula sangsi dan pasrah tentang sejauh mana keikhlasannya membantu mahupun melunasi amanah dipertanggungjawabkan Allah padanya. Wallahuallam.

Untuk rekod, saya yakin pendapatannya mencecahi pulohan ribu ringgit saban bulan.

ibrahim yahaya said...

Sdr KB,

Salam kembali.

Pengamal perubatan tradisional ini jika pelanggan mempercayai dan menyakini dengan ikhtiar mereka, sudah pasti akan mendapat habuan yang baik. Malah dibawa ke seluruh dunia untuk berubat.

Bagaimanapun, teman saya ini hanya membantu keluarga, saudara-mara dan rakan keluarga. Beliau tidak "mengkomersialkan" perkhidmatannya kerana tidak mahu "membuat duit" dengan kepakaran yang ada termasuk menghalau makhluk halus.

Semoga ustaz muda itu akan terus membantu Sdr.