Friday, August 1, 2008

TENGKU ADNAN BAKAL DICABAR?

Inilah berita yang saya laporkan sebelum ini. Bagi mereka yang mahu tahu siapa "BADUT' yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ikutilah berita di bawah ini. Pemimpin muda itu ialah mantan Ketua Pegawai Operasi Biro Latihan dan Keahlian UMNO Malaysia. Beliau juga adalah Ketua Penerangan Penaja Bahagian Putrajaya. Bukan orang sembarangan. Kesian Hang Nadim moden ini.

Untuk itu, saya tabik kepada Utusan Malaysia yang turut menyiarkan berita "calon-calon" muda di seluruh negara yang ingin berkhidmat kepada parti.

PUTRAJAYA 31 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dijangka dicabar oleh bekas Pengerusi Eksekutif Biro Latihan UMNO Pusat, Ahmad Fairuz Othman bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Setakat ini, Tengku Adnan memperoleh enam pencalonan cawangan sekali gus melepasi had kelayakan untuk mempertahankan jawatan itu manakala Ahmad Fairuz pula memperoleh satu pencalonan.

Bagaimanapun perkembangan itu hanya akan diketahui pada hujung minggu ini apabila hampir 70 peratus cawangan di sini menyelesaikan mesyuarat masing-masing.

Tujuh daripada 23 cawangan UMNO di sini yang telah menyelesaikan mesyuarat masing-masing ialah cawangan Matahari, Dahlia, Dedap, Teratai, Anggerik, Kenanga dan Pakma.

Had kelayakan bertanding jawatan Ketua Bahagian memerlukan sokongan daripada sekurang-kurangnya lima pencalonan cawangan.

Bagi jawatan Ketua Pemuda Bahagian pula, penyandangnya, Datuk Ahmad Zaki Zahid, 37, telah memperoleh lima pencalonan.


Dalam pada itu, saya juga menghormati pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ikuti berita Utusan Malaysia di bawah ini. Hormatilah pandangan akar umbi.

KULAIJAYA 31 Julai - Pucuk pimpinan UMNO perlu menghormati pandangan dan suara akar umbi di peringkat cawangan yang mencalonkan pemimpin tertinggi pada pemilihan parti Disember ini.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ahli UMNO peringkat cawangan berhak untuk mencalonkan sesiapa sahaja kerana ia termaktub di dalam perlembagaan parti.

"Walaupun pencalonan pemimpin tertinggi adalah hak UMNO bahagian, tetapi kita harus ingat cawangan boleh mencalonkan pemimpin yang dikehendaki dan terpulanglah kepada bahagian sama ada hendak menerima atau tidak.

"Kita kena ingat UMNO adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Jika hak cawangan dinafikan, mereka akan beranggapan parti mengamalkan kuku besi dan ini tidak sihat serta tidak bagus untuk UMNO," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama beberapa pemimpin UMNO bahagian di Johor di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri yang menjadi ahli UMNO cawangan di bahagian Pagoh juga perlu mendengar suara-suara akar umbi dan begitu juga semua pemimpin lain termasuk Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegas Muhyiddin, semua pihak harus menghormati pendirian cawangan-cawangan dengan cara menyuburkan demokrasi bagi membolehkan UMNO terus relevan dalam apa juga keadaan.

Oleh itu, katanya, cawangan perlu dibiarkan terus bersuara dan memberikan pandangan mereka.

''Tidak molek dan tidak wajar jika ada pihak yang menyekat pandangan dan suara mereka kerana ia merupakan pendapat ahli parti di peringkat akar umbi,'' katanya.- Utusan.

No comments: